Pada 5 Mei 2016 jam 4.32 pm, sebuah helikopter model Eurocopter AS350 milik Hornbills Skyway telah hilang daripada radar ketika melalui kawasan hutan di Sebuyau, kira-kira 80 km dari Kuching. Helikopter malang ini dikendalikan oleh seorang juruterbang dan membawa 5 penumpang, antaranya termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Perladangan dan Komoditi, Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama, Perladangan dan Komoditi. Selepas beberapa jam helikopter putus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara, usaha Mencari & Menyelamat (Search & Rescue, SAR) telah dimulakan oleh pelbagai agensi, termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Tentera DiRaja Malaysia. Pasukan SAR telah menjumpai jasad mangsa pertama di Sungai Lingga, Batang Lupar pada hari berikutnya. Pada 6 Mei 2016 jam 3.35 pm, jasad mangsa yang pertama telah tiba di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Umum Sarawak, Kuching.



Disaster Victim Identification (DVI) atau dikenali sebagai Identifikasi Mangsa Bencana, yang merupakan satu proses untuk pengurusan dan pengenalan identiti mangsa akibat kejadian sesuatu bencana. Dalam operasi ini, objektif utama DVI adalah mengenalpasti dan mengesahkan identiti mangsa dengan secepat mungkin dan dikuti dengan pengesahan sebab kematian mangsa. Keutamaan diberi kepada pengesahan identiti jasad mangsa akan memberi closure kepada keluarga mangsa yang berada dalam keadaan kesedihan. Sebab kematian (cause of death) yang diberikan selepas pemeriksaan postmortem (PM) dijalankan, akan membantu penyiasatan polis melalui laporan bedahsiasat. Laporan bedahsiasat oleh Pakar Perubatan Forensik turut akan membantu penyiasatan keselamatan (safety investigation) Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi mengenalpasti punca yang menyebabkan kemalangan berlaku. Laporan bedahsiasat juruterbang juga akan diperlukan dalam siasatan BSKU untuk mengecualikan sebab faktor penyakit, faktor di bawah pengaruh alkohol atau bahan terlarang yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan udara. Ini akan digunakan sebagai panduan untuk mengelakkan kemalangan udara daripada berlaku lagi.


Merujuk kepada takrifan INTERPOL, proses DVI melibatkan 4 fasa, iaitu Tempat Kejadian (Scene), Postmortem (PM), Antemortem (AM) dan Rekonsiliasi (Reconciliation). Dalam tragedi Eurocopter AS350 ini, pasukan DVI terdiri daripada pelbagai agensi, iaitu pasukan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan UNIMAS, pasukan Forensik Odontologi KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan PDRM dan pasukan Radiologi KKM.
Setakat ini, 5 mangsa telah dijumpai, diperiksa dan disahkan identiti. Kesemua identiti jasad mangsa tragedi ini disahkan melalui perbandingan cap jari. Perbandingan cap jari, odontologi dan DNA merupakan primary identifier yang digunakan dalam pengesahan positif mangsa bencana secara antarabangsa dan dalam protokol INTERPOL. Pemeriksaan pergigian atau Odontologi yang dijalankan ke atas 4 mangsa dalam tragedi ini berjaya dipadankan dengan data AM yang dikumpulkan. Data AM merupakan maklumat mengenai mangsa semasa hidup seperti rekod pergigian, tanda lahir, tanda tatu, penggunaan prostetik, pembedahan yang pernah dijalankan, deskripsi unik daripada pihak waris dan keluarga mangsa terdekat. Selain daripada cap jari dan Odontologi, pengesahan identiti mangsa tragedi ini turut boleh dijalankan dengan cepat kerana adanya secondary identifier yang dijumpai pada jasad mangsa, iaitu barangan peribadi yang unik dan dompet yang lengkap dengan kad pengenalan diri.
Kejayaan operasi ini adalah disebabkan oleh kerjasama yang mantap di kalangan agensi. Repatriasi jasad mangsa-mangsa telah diuruskan oleh TUDM dan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan. Setakat ini, usaha SAR masih sedang dijalankan untuk mencari jasad mangsa juruterbang berbangsa Filipina yang masih hilang.
KKM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan SAR dan DVI yang terlibat di dalam usaha mencari dan menyelamat serta pengecaman identiti mangsa. Wira-wira yang tidak didendang ini sentiasa bersiap sedia menjalankan tugas dengan penuh dedikasi tanpa mengenal penat lelah. Syabas dan terima kasih diucapkan.



