Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia (ME 22 2022)
Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan mengenai situasi terkini penyakit tangan, kaki dan mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia.
Bagi tahun 2022 (bermulanya tempoh Fasa Peralihan ke Endemik COVID-19), sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 22/2022 (pada 4 Jun 2022), sejumlah 82,846 kes telah dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 32 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 (semasa pandemik COVID-19) iaitu 2,485 kes. Berbanding dengan 30,489 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik COVID-19), ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.7 kali ganda. Manakala kes dilaporkan di seluruh negara bagi ME 22/2022 sahaja adalah 16,954 kes, menurun sebanyak 9.3% berbanding ME 21/2022 iaitu 18,688 kes (Rajah 1).
Pada tahun 2022, sehingga 4 Jun 2022, Negeri Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 23,305 kes (28.13%). Ia diikuti oleh WP Kuala Lumpur & Putrajaya 9,540 kes (11.52%), Perak 8,032 kes (9.70%), Kelantan 5,782 kes (6.98%) dan Johor 5,234 kes (6.32%); sementara negeri-negeri lain pelaporan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 4,600 kes (Rajah 2).
Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 74,841 kes (90%), diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun seramai 6,520 kes (8%). Manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu seramai 1,485 kes (2%)
Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) penyebab HFMD di Malaysia, tiga (3) virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti pada tahun 2022, adalah Enterovirus 71 (EV71), Coxsackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16). Pada tahun 2022, sehingga kini, terdapat tiga (3) kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU). Kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan masih di bawah pemantauan rapi di ICU. Manakala kes ketiga telah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah pada 31 Mei 2022.
Sehingga kini, sebanyak 1,746 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga (3) negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah WPKL & Putrajaya iaitu 562 wabak (32.2%), diikuti Selangor 208 wabak (11.9%) dan Sarawak 206 wabak (11.8%). Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan pra-sekolah iaitu 1,059 wabak (61%) diikuti oleh rumah persendirian dengan 605 wabak (35%) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 56 wabak (3%). Wabak dikira apabila terdapat dua (2) atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.
Untuk makluman, cuti menjaga anak diberikan oleh Kerajaan kepada Penjawat Awam iaitu ibu atau bapa atau penjaga kepada anak yang disahkan HFMD dan memerlukan pengasingan. Cuti yang diberikan ini adalah diperuntukkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian S.R.5.4.4 (Kemudahan Cuti Kuarantin) yang telah ditambahbaik dan berkuatkuasa pada 4 Mac 2022. Penyakit HFMD merupakan salah satu penyakit daripada tujuh (7) penyakit yang diberikan kemudahan tersebut. Oleh itu, KKM menyeru Ketua Jabatan dalam perkhidmatan awam untuk mengambil berat berkenaan kemudahan ini dan sama-sama mengambil tanggungjawab dalam membantu kerajaan menangani penularan kes HFMD di Malaysia.
Bagi tahun 2022, sehingga 4 Jun 2022, tindakan kawalan dan langkah pencegahan bagi penyakit HFMD yang telah dilaksanakan di seluruh Malaysia adalah seperti berikut:
Jadual 1: Ringkasan Aktiviti Kawalan dan Pencegahan HFMD
Bil. | Aktiviti | Bilangan |
1 | Bilangan premis diperiksa | 31,621 |
2 | Bilangan premis ditunjukajar dan dipantau pelaksanaan disinfeksi | 25,240 |
3 | Penutupan premis (secara sukarela) | 305 |
4 | Penutupan premis (di bawah peruntukan Akta CDC) | 1,041 |
5 | Pembukaan premis | 894 |
6 | Persampelan | 2,416 |
7 | Pendidikan kesihatan | 121,126 |
8 | Townhall Meeting | 246 |
9 | Lawatan ke Indoor Playground | 237 |
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
7 Jun 2022 @ 9:30 pagi
Lampiran 1
Jadual 2: Aktiviti Kawalan dan Pencegahan bagi HFMD yang dijalankan oleh Negeri
AKTIVITI | Bil. Premis Diperiksa | Bil. Premis Disinfeksi | Penutupan premis (Secara Sukarela) | Penutupan premis (Akta 342) | Pembukaan premis | Persampelan | Pendidikan kesihatan | TownHall Meeting | Lawatan ke Indoor Playground |
JOHOR | 3,788 | 3,392 | 5 | 83 | 59 | 119 | 7402 | 13 | 110 |
KEDAH | 550 | 327 | 34 | 35 | 23 | 26 | 9535 | 5 | 0 |
KELANTAN | 2,716 | 1,874 | 11 | 21 | 22 | 97 | 9105 | 16 | 0 |
MELAKA | 75 | 57 | 15 | 44 | 16 | 131 | 4510 | 5 | 0 |
NEGERI SEMBILAN | 3,825 | 1,798 | 33 | 28 | 23 | 70 | 8350 | 9 | 4 |
PAHANG | 2,976 | 2,605 | 4 | 33 | 23 | 544 | 20062 | 32 | 16 |
PERAK | 6,173 | 4,848 | 74 | 129 | 124 | 641 | 21194 | 100 | 38 |
PERLIS | 87 | 87 | 8 | 40 | 33 | 15 | 1174 | 2 | 0 |
PULAU PINANG | 1028 | 691 | 8 | 53 | 59 | 29 | 4614 | 9 | 2 |
SABAH | 7,233 | 6,443 | 0 | 43 | 33 | 206 | 11051 | 16 | 4 |
SARAWAK | 603 | 501 | 3 | 27 | 28 | 0 | 6431 | 5 | 4 |
SELANGOR | 374 | 291 | 35 | 179 | 164 | 173 | 742 | 8 | 24 |
TERENGGANU | 1,334 | 1,331 | 13 | 24 | 23 | 75 | 3848 | 15 | 4 |
WP.LABUAN | 30 | 25 | 0 | 2 | 4 | 0 | 1610 | 2 | 3 |
WPKL | 829 | 970 | 62 | 300 | 260 | 290 | 11468 | 9 | 28 |
KUMULATIF | 31,621 | 25,240 | 305 | 1,041 | 894 | 2,416 | 121126 | 246 | 237 |