Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 13 Jun 2016: Situasi Terkini Demam Denggi dan Zika di Malaysia bagi Minggu 22/2016 (29 Mei Hingga 4 Jun 2016)

$
0
0

5

Pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada minggu ke-22 (29 Mei hingga 4 Jun 2016) mendapati kes Demam Denggi telah meningkat sebanyak 3.6% di seluruh negara iaitu 1,272 kes berbanding 1,228 kes pada minggu sebelumnya. Terdapat tujuh (7) buah negeri yang menunjukkan peningkatan kes iaitu Selangor 72 kes (11.2%), Negeri Sembilan 25 kes (75.8%), WP Kuala Lumpur & Putrajaya 7 kes (5.2%), Johor 5 kes (4.1%), Pahang 3 kes (13.6%), Sabah 1 kes (2.2%) dan WP Labuan 1 kes (100%). Dari Januari hingga 4 Jun 2016, secara kumulatif, kes Demam Denggi telah menunjukkan peratus peningkatan sebanyak 2.6% (1,287 kes) iaitu 50,600 kes, berbanding 49,313 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015.

1

Di samping itu, terdapat dua (2) kematian yang dilaporkan pada minggu ke-22 di mana kedua-duanya adalah di negeri Selangor. Jumlah kumulatif kematian Denggi dari Januari sehingga 4 Jun 2016, adalah sebanyak 111 kematian berbanding 144 kematian bagi tempoh sama tahun 2015, iaitu penurunan sebanyak 22.9% (33 kematian).

Peratusan lokaliti wabak juga menunjukkan peningkatan sebanyak 6.5% iaitu daripada 418 lokaliti pada minggu ke-21 kepada 445 lokaliti pada minggu ke-22. Walaubagaimanapun, jumlah lokaliti hotspot didapati berkurangan daripada 60 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 54 lokaliti pada minggu ke-22. Kejadian lokaliti hotspot melibatkan enam (6) buah negeri iaitu di Selangor (44 lokaliti), Johor (4 lokaliti), Perak dan WP Kuala Lumpur & Putrajaya masing-masing 2 lokaliti, manakala Negeri Sembilan dan Terengganu juga masing-masing melibatkan 1 lokaliti.

KKM turut memantau pelaksanaan Operasi Penguatkuasaan Pembiakan Aedes secara besar-besaran di seluruh negara yang bermula pada 11 April 2016. Sehingga 7 Jun 2016, sebanyak 196,504 premis telah diperiksa dan jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak 998 kompaun dengan nilai RM 499,000. Semasa Operasi Penguatkuasaan ini juga, sebanyak lapan (8) tapak binaan ditutup daripada 162 tapak binaan yang diperiksa. Di samping itu, 15 tapak binaan telah diambil tindakan mahkamah iaitu lima (5) di Selangor, empat (4) di WP Kuala Lumpur & Putrajaya manakala tiga (3) tapak binaan masing-masing di Terengganu dan di Negeri Sembilan.  KKM memandang serius isu pembiakan Aedes di tapak binaan ini dan memohon agar semua pemaju tapak binaan melantik Pest Control Operator  untuk melakukan aktiviti pencegahan dan kawalan Aedes di tapak-tapak binaan tersebut.

Sempena bulan Ramadhan ini, KKM juga ingin menasihatkan pihak penjaja dan pengunjung pasar Ramadhan agar dapat menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata yang akan berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah hendaklah memantau tempat-tempat tumpuan awam agar bebas daripada pembiakan Aedes seperti kawasan rekreasi, pusat beli belah, kawasan pengangkutan awam dan kawasan rehat dan rawat.  PBT juga hendaklah memastikan kawasan tanah atau lot kosong dibersihkan  sekiranya terdapat pembuangan sampah haram dan penguatkuasaan tegas hendaklah diambil ke atas  pihak terbabit.

Secara global, situasi terkini jangkitan virus Zika yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tempoh dari 1 Januari 2007 sehingga 1 Jun 2016, menunjukkan  terdapat sebanyak 60 buah negara telah melaporkan jangkitan virus Zika. Survelan KKM mendapati sehingga 6 Jun 2016, tiada jangkitan Zika yang dikesan di negara ini berdasarkan kepada keputusan ujian yang dilakukan ke atas 485 sampel oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan juga Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Selain itu, saringan yang dilakukan ke atas pelawat di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) juga menunjukkan tiada pelawat yang disyaki dijangkiti virus Zika setakat ini.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia

13 Jun 2016

234



Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles