Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 2 Julai 2016 – Pencegahan Demam Denggi Sempena Cuti Perayaan

$
0
0

Pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati jumlah kumulatif kes Demam Denggi dari Januari hingga 25 Jun 2016, adalah sebanyak 55,765 kes berbanding 56,533 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015. Ini menunjukkan petanda yang baik yang mana kes telah berkurangan sebanyak 1.4% (768 kes) berbanding tempoh yang sama tahun 2015. Manakala bagi kes mingguan, pada minggu ke-25 (19 hingga 25 Jun 2016) jumlah kes Demam Denggi di seluruh negara adalah 1,777 kes berbanding 1,803 kes pada minggu sebelumnya iaitu pengurangan sebanyak 1.4%. Namun begitu, terdapat peningkatan kes di lima (5) buah negeri iaitu Sabah (12.9%), Johor (6.5%), WP Kuala Lumpur & Putrajaya (4.5%), Melaka (11.6%) dan Terengganu (50.0%).

Untuk kematian pula, terdapat empat (4) kematian yang dilaporkan pada minggu ke-25. Jumlah kumulatif kematian Denggi dari Januari sehingga 25 Jun 2016, adalah sebanyak 122 kematian berbanding 162 kematian bagi tempoh sama tahun 2015, iaitu penurunan sebanyak 24.7% (40 kematian).

den1

den5

Pemantauan KKM juga menunjukkan jumlah lokaliti wabak meningkat sebanyak 12.5% daripada 575 lokaliti pada minggu ke-24 kepada 647 lokaliti pada minggu ke-25. Jumlah lokaliti hotspot turut meningkat daripada 52 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 74 lokaliti pada minggu ke-25. Kejadian lokaliti hotspot melibatkan enam (6) buah negeri iaitu di Selangor, Johor, Perak, Sarawak, WP Kuala Lumpur & Putrajaya dan Pulau Pinang.

Pergerakan orang ramai secara meluas semasa cuti sekolah dan musim perayaan boleh menyebabkan jangkitan Demam Denggi lebih cepat merebak jika terdapat nyamuk Aedes di persekitaran mereka. Sehubungan itu, sempena musim perayaan yang bakal disambut pada minggu hadapan, KKM menasihatkan masyarakat untuk melakukan aktiviti pencegahan seperti berikut;

  1. Memastikan tiada bekas atau tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes di kawasan kediaman masing-masing semasa pulang bercuti ke kampung.
  2. Memasukkan bahan pembunuh jentik-jentik ke dalam takungan air kekal terutama apabila tidak menggunakannya lebih dari tempoh seminggu.
  3. Menggunakan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa yang berada di dalam rumah.
  4. Menggunakan bahan penghalau nyamuk (repelen) kepada bahagian badan yang terdedah untuk gigitan nyamuk, terutama pada waktu nyamuk aktif menggigit (5–7 pagi dan 5–7 petang).
  5. Mengelakkan diri daripada pergi ke kawasan wabak atau hotspot denggi. Maklumat tersebut boleh didapati daripada aplikasi mobil iDengue.

13581995_10153550868361237_4058135152036678657_o

Di samping itu, KKM juga memohon kerjasama semua pengusaha bas untuk melakukan semburan aerosol di dalam bas setengah jam sebelum penumpang menaiki bas. Ini bertujuan untuk membunuh nyamuk Aedes dewasa yang mungkin berada di dalam bas dan seterusnya dapat mengelakkan penyebaran virus Denggi.

Daripada Jun 2015 sehingga 25 Jun 2016, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan juga Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian ke atas sebanyak 502 sampel untuk mengesan jangkitan Zika di negara ini dan setakat ini tiada sampel yang positif. Di samping itu, saringan yang dilakukan ke atas pelawat di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) menunjukkan tiada pelawat yang disyaki dijangkiti virus Zika. Secara global pula, laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu dari 1 Januari 2007 sehingga 23 Jun 2016, menunjukkan jangkitan virus Zika telah berlaku di sebanyak 61 buah negara.

Sekiranya ada di kalangan masyarakat yang mengalami gejala Demam Denggi dan Zika dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital yang berhampiran. Pengesanan dan rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa dan mencegah komplikasi kedua-dua penyakit tersebut. Pihak KKM ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan ceriakan Aidilfitri anda bebas daripada sebarang penyakit.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia

2 Julai 2016

den2den3den4



Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles