Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 17 Julai 2016: Status Terkini Kes Difteria di Malaysia

$
0
0

IMG_2888

Pada 16 Julai 2016, seorang suri rumah berumur 41 tahun disahkan difteria telah dilaporkan, menjadikan ini kes difteria pertama di kalangan orang dewasa di Malaysia pada tahun 2016. Beliau mula mengalami demam pada 11 Julai 2016 dan mengadu tonsil membengkak, serak suara dan sukar menelan. Pesakit telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembau pada 13 Julai 2016. Beliau disyaki menghidap difteria dan dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, dan kemudiannya dimasukkan ke wad untuk isolasi serta rawatan. Keadaan pesakit adalah stabil. Pada 16 Julai 2016, ujian makmal mengesahkan bahawa beliau positif difteria. Ini adalah kes sporadik (terpencil). Rawatan profilaksis telah diberikan kepada semua kontak pesakit ini termasuk ahli keluarga serta kakitangan kesihatan dan hospital, juga lain-lain langkah kawalan sedang dijalankan.

Kes baru ini menjadikan jumlah kes sebanyak 15 dengan lima (5) kematian. Pecahan kes mengikut negeri adalah Melaka tiga (3) kes dengan satu (1) kematian, Kedah tujuh (7) kes dengan satu (1) kematian, Sabah empat (4) kes dengan tiga (3) kematian dan Negeri Sembilan satu (1) kes.

Pada hari ini juga, Hospital Universiti Sains Malaysia pula melaporkan satu kes disyaki diferia. Pesakit merupakan seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun, mengalami demam dan sakit tekak semenjak 13 Julai 2016. Beliau juga mengalami bengkak muka dan leher. Keputusan ujian makmal belum diperolehi. Pesakit dalam keadaan stabil dan telah diberi rawatan anti-toksin difteria.

12

Bakteria Corynebacterium diphtheriae boleh menjangkiti tekak orang dewasa dan kanak-kanak. Apabila status kesihatan individu tersebut tidak optima, bakteria akan berkembang biak dan menyebabkan gejala. Ia boleh disebarkan melalui titisan respiratori dan akan memberi risiko kepada orang lain, khususnya kanak-kanak yang kurang daya tahan tubuh dan mereka yang tiada antibodi kerana tidak mendapatkan imunisasi atau status imunisasi tidak lengkap.

Justeru, sekali lagi saya menyeru agar ibubapa memastikan anak-anak di bawah umur 7 tahun telah mendapat imunisasi 5-serangkai yang lengkap. Ia bagi memberi perlindungan optima dan mengelakkan anak dari mendapat jangkitan. Semoga langkah pro-aktif semua pihak akan dapat meningkatkan imuniti anak serta imuniti kelompok, seterusnya membendung kejadian difteria dari terus menjadi masalah kesihatan awam.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

17 Julai 2016

13502856_1197891086896764_7502195795323689300_o



Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles