Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 22 Ogos 2016 – Pemantauan ke Atas Pelawat yang Tiba dari Negara yang Berisiko Mengalami Transmisi Demam Kuning (Yellow Fever) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa selaras dengan keperluan Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa  (International Health Regulations) 2005 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Malaysia melaksanakan pemantauan ke atas pelawat-pelawat yang tiba dari negara yang berisiko mengalami transmisi Demam kuning (Yellow fever). Sehingga kini terdapat sebanyak 42 buah negara yang disenaraikan oleh pihak World Health Organisation (WHO) iaitu 13 buah negara di Amerika Selatan dan Tengah manakala 29 negara di Afrika.  Brazil merupakan salah sebuah negara yang disenaraikan oleh pihak WHO sebagai sebuah negara yang berisiko mengalami transmisi Demam kuning.

Satu taklimat mengenai Demam kuning dan keperluan suntikan vaksinasi Demam kuning serta berkaitan penyakit Zika virus telah diberikan di Institut Sukan Negara pada 29 Jun 2016 kepada semua pegawai dan atlit kontinjen Olimpik Malaysia. Taklimat ini diberikan untuk memastikan semua atlit dan pegawai yang terlibat dalam Sukan Olimpik Rio Brazil mengambil vaksin Demam kuning selewatnya 10 hari sebelum berlepas ke Rio Brazil.

Vaccination record, international certificate of vaccination, syringe
Vaccination record, international certificate of vaccination, syringe — Image by © Dr. Wilfried Bahnmüller/imagebroker/Corbis

Selain itu, KKM juga melaksanakan beberapa langkah ketat dalam usaha untuk mencegah kemasukan penyakit Demam kuning ke dalam Negara bagi mengekalkan status Malaysia sebagai Negara tiada kes Demam kuning. Di antaranya adalah, seseorang pelawat warganegara asing atau waraganegara Malaysia yang tiba dari atau pernah melawat negara yang tersenarai sebagai berisiko mengalami transmisi Demam kuning dikehendaki mengemukakan sijil vaksinasi antarabangsa Demam kuning yang sah. Vaksinasi Demam kuning juga diperlukan bagi mereka yang transit melebihi 12 jam melalui pintu masuk udara negara yang mengalami risiko transmisi Demam kuning. Kegagalan mematuhi keperluan Kesihatan ini boleh menyebabkan pengembara dikuarantin di pusat kuarantin kesihatan untuk tempoh tidak melebihi enam (6) hari sebelum dibenarkan memasuki Malaysia. Keperluan kesihatan ini dikuatkuasakan ke atas semua warganegara asing dan warganegara Malaysia yang tiba dari atau pernah melawat negara risiko tinggi tersebut, termasuklah Brazil.

Bermula dari 12 Ogos 2016 sehingga 21 Ogos 2016, seramai 37 orang yang tiba dari Brazil telah disaring di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (36 penumpang) dan Pulau Pinang (seorang penumpang). Namun begitu terdapat empat (4) orang yang didapati tidak mematuhi keperluan vaksinasi Demam kuning dan diletakkan di bawah prosedur kuarantin untuk tujuan pemantauan sebelum dibenarkan memasuki Malaysia. Ke-empat-empat mereka didapati berada dalam keadaan sihat. Namun, ke-empat-empat mereka telah memilih untuk pergi ke negara lain sebelum dibenarkan memasuki Malaysia.

images (2)

Demam kuning adalah penyakit berjangkit yang akut yang disebabkan oleh Arbovirus dari Genus Flavivirus dan keluarga Flaviviridae. Ia adalah penyakit bawaan vektor iaitu nyamuk aedes yang telah dijangkiti oleh virus tersebut. Demam kuning yang berlaku di bandar disebarkan oleh nyamuk kepada manusia. Manakala Demam kuning di hutan merebak dari nyamuk kepada monyet dan juga kepada manusia (zoonotic). Penyakit ini pada peringkat awal (fasa pertama) menunjukkan gejala seperti demam, badan menggigil (chills), sakit badan, sakit kepala, loya dan muntah. Sebanyak 15% (fasa kedua) akan menunjukkan gejala demam dengan jaundis, sakit bahagian abdomen, muntah dan perdarahan di mana sebanyak 50% dari mereka ini akan meninggal dunia. Dilaporkan sehingga sebanyak 85% kes menunjukkan gejala ringan atau tidak menunjukkan gejala. Tiada rawatan khusus untuk mengubatinya dan pengambilan vaksin Demam kuning merupakan salah satu langkah perlindungan yang amat penting dari mendapat jangkitan penyakit tersebut.

Sehingga kini tiada kes Demam kuning yang dilaporkan di Malaysia. Namun begitu, Malaysia mempunyai risiko transmisi jangkitan penyakit ini disebabkan terdapatnya vektor pembawa penyakit ini yang banyak iaitu nyamuk Aedes. Virus Demam kuning boleh dibawa masuk ke Malaysia melalui tetamu atau pelawat yang tiba dari negara-negara yang berisiko mengalami transmisi Demam kuning yang tidak mengambil vaksinasi Demam kuning dan dijangkiti penyakit ini.

Sehubungan itu, dimaklumkan KKM akan terus melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya dalam usaha untuk mencegah kemasukan penyakit Demam kuning ke dalam Negara dan bagi mengekalkan status Malaysia sebagai Negara tiada kes Demam kuning, kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan dalam mematuhi keperluan kesihatan ini demi kesihatan dan keselamatan negara. Maklumat lanjut berkaitan penyakit Demam kuning boleh diperolehi di laman sesawang KKM iaitu http://www.moh.gov.my atau facebook CPRC Kebangsaan KKM.

 Terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia  

22 Ogos 2016

yf.JPG



Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles