Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

KESIAPSIAGAAN DAN RESPONS KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA TERHADAP MIDDLE EAST RESPIRATORY SYNDROME CORONAVIRUS (MERS-CoV)

$
0
0

KENYATAAN AKHBAR

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

 KESIAPSIAGAAN DAN RESPONS KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA TERHADAP

MIDDLE EAST RESPIRATORY SYNDROME CORONAVIRUS (MERS-CoV)

Employees from a disinfection service company sanitize the interior of a theater in Seoul, South Korea, June 18, 2015.  REUTERS/Kim Hong-Ji

Employees from a disinfection service company sanitize the interior of a theater in Seoul, South Korea, June 18, 2015. REUTERS/Kim Hong-Ji

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau perkembangan jangkitan MERS-CoV yang sedang berlaku di negara-negara Timur Tengah dan negara-negara lain yang terlibat termasuk di Republik Korea. Sehingga 23 Jun 2015, pihak WHO (World Health Organisation) melaporkan sejumlah 1345 kes yang telah disahkan MERS-CoV termasuk sekurang-kurangnya 479 kematian yang dilaporkan di semua negara-negara yang dijangkiti. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 174 kes yang telah disahkan dijangkiti MERS-CoV termasuk 27 kematian telah dilaporkan di Republik Korea.

Pada 17 Jun 2015, Kementerian Kesihatan Thailand telah melaporkan kepada pihak WHO berkaitan kejadian kes pertama MERS-CoV (kes import) yang dilaporkan di Thailand. Kes adalah warganegara Oman yang pergi ke Thailand untuk mendapatkan rawatan lanjut. Hasil daripada laporan yang diterima daripada pihak WHO dan komunikasi secara terus pihak KKM dengan pihak Kementerian Kesihatan Thailand, buat masa ini tiada kes tambahan atau kluster dilaporkan berlaku di Thailand. Kerajaan Thailand telah dan sedang menjalankan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya bagi mencegah berlaku penularan penyakit di dalam dan ke luar negara.

Bermula dari Januari 2013 sehingga kini, pihak KKM melalui CPRC Kebangsaan (National Crisis Preparedness Response Centre) telah menerima sejumlah hampir 817 notifikasi kes PUI MERS-CoV dari seluruh negara. Kesemua kes PUI MERS-CoV yang dinotifikasikan disahkan sebagai bebas dari jangkitan MERS-CoV melalui ujian makmal yang telah dijalankan, kecuali satu (1) kes positif yang terdahulu dikesan pada bulan April 2014 di Batu Pahat Johor.

Justeru itu, KKM telah memperkukuhkan pelbagai aktiviti kesiapsiagaan dan respons di semua peringkat KKM bagi menghadapi potensi penularan jangkitan tersebut di Malaysia seperti berikut:

  • Selain aktiviti saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa Negara, edaran Kad Amaran Kesihatan (Health Alert Card) turut dijalankan. Aktiviti saringan kesihatan di pintu masuk ini bertujuan untuk mengesan pelawat yang menunjukkan tanda atau gejala penyakit berjangkit termasuklah Ebola dan MERS-CoV. Bagi MERS-CoV, tumpuan saringan juga kini terhadap pelawat yang tiba dari Republik Korea, selain para pelawat yang tiba dari Semenanjung Arab.
  • Para pelawat yang mempunyai gejala pernafasan ringan diberikan kad Tatacara Penilaian Kesihatan Kendiri (Home Assessment Tool), yang meliputi maklumat seperti gejala-gejala jangkitan MERS-CoV dan langkah-langkah pencegahan serta Kad Amaran Kesihatan.
  • Pengesanan kes yang disyaki atau Patient Under Investigation (PUI) for MERS-CoV yang dikesan sama ada semasa saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Negara, di hospital atau klinik, akan dirujuk untuk menerima pemeriksaaan dan rawatan lanjut ke salah satu daripada 52 hospital rujukan KKM bagi pesakit disyaki MERS-CoV. Sekiranya ujian mendapati pesakit tersebut disahkan positif MERS-CoV, pesakit akan dipindahkan ke salah satu dari 23 hospital rujukan khas pesakit sah MERS-COV (designated hospital) yang telah ditetapkan.

Screenshot 2015-06-24 18.26.57

Screenshot 2015-06-24 18.27.08

  • Bagi fasiliti bukan KKM (hospital swasta, hospital universiti dan hospital angkatan tentera), fasiliti ini juga perlu menerima kemasukan pesakit PUI MERS-CoV dan menghantar ujian pengesahan MERS-CoV ke makmal swasta. Pesakit yang disahkan positif MERS-CoV berdasarkan ujian pengesahan tersebut perlu dirujuk kepada hospital rujukan khas MERS-CoV (designated hospital) untuk pengurusan pesakit dan rawatan selanjutnya.
  • Terdapat 17 makmal seluruh negara yang boleh mengendalikan sampel klinikal bagi MERS-CoV, merangkumi 15 makmal di fasiliti KKM dan 2 makmal swasta iaitu Geneflux Diagnostic Sdn. Bhd atau Lablink (M) Sdn. Bhd.
  • Setiap fasilti kesihatan telah diberi penekanan agar memastikan semua langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi dipatuhi untuk mengelakkan sebarang penularan penyakit.
  • KKM bekerjasama rapat dengan pihak Lembaga Tabung Haji (LTH), Kementerian Luar Negeri, BUMITRA (Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia) dan MATTA (Malaysian Association of Tour and Travel Agents) bagi memberi taklimat mengenai MERS-CoV iaitu nasihat untuk penyediaan sebelum berlepas, langkah-langkah pencegahan dan kawalan tertentu yang perlu diambil semasa dan selepas haji atau umrah.
  • KKM bekerjasama rapat dengan Lembaga Tabung Haji, khusus untuk memberikan taklimat, menjalankan pemeriksaan kesihatan dan pemantauan suntikan vaksin untuk jemaah haji. Pada musim haji, pasukan perubatan KKM turut dihantar ke tanah Suci sepanjang tempoh Haji bagi menjaga keperluan perubatan jemaah haji. Terkini pada 8 Jun 2015, sesi taklimat MERS-CoV telah diadakan kepada anggota LTH dan Pasukan Rombongan Perubatan Haji. Taklimat berkaitan MERS-CoV juga diberikan kepada bakal jemaah haji semasa Kursus Perdana Haji di setiap negeri yang akan diadakan bermula pada 31 Julai 2015 hingga 17 Ogos 2015.
  • KKM bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan lain-lain untuk hebahan maklumat situasi terkini kejadian wabak MERS-CoV dan edaran nasihat kesihatan kepada anggota dan pelanggan di bawah organisasi masing-masing.
  • KKM telah memberikan panduan dan saranan kepada persatuan-persatuan perubatan seperti Association of Private Hospitals of Malaysia, Primary Care Doctor’s Organisation Malaysia, Medical Practitioners Coalition Association of Malaysia bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan berkaitan kejadian jangkitan MERS-CoV di kalangan pengamal perubatan swasta.
  • Garispanduan tatacara pengendalian kes yang disahkan atau disyaki MERS-CoV yang telah dikemaskini pada 12 Jun 2015 telah diedarkan kepada semua fasiliti kesihatan di Malaysia.
  • Hebahan pendidikan kesihatan mengenai MERS-CoV dan langkah-langkah pencegahan kepada orang awam turut dilakukan secara berkala melalui laman sesawang KKM, sesi wawancara dan temubual di stesen radio dan televisyen tempatan.

Sehingga kini, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat. Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV boleh diperolehi dari laman sesawang http://www.moh.gov.my.

Sekian dan terima kasih.

DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

24 Jun 2015




Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles