Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 28 Ogos 2016 – Situasi Terkini Virus Zika di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan berdasarkan maklumat terkini yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dari tahun 2007 hingga 24 Ogos 2016, terdapat sebanyak 70 buah negara yang telah melaporkan jangkitan virus Zika. WHO juga melaporkan sehingga tarikh 24 Ogos 2016, tiada kes virus Zika dikesan pada individu yang dikaitkan dengan acara Sukan Olimpik Rio 2016 yang telah berakhir pada 21 Ogos 2016. Jangkitan virus Zika adalah dikaitkan dengan komplikasi seperti microcephaly serta Guillain-Barre Syndrome (GBS) dan kini sedang menular di rantau Amerika.

WhatsApp Image 2016-08-28 at 11.55.11 AM

KKM juga mengambil perhatian laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura dan National Environment Agency, mengenai satu jangkitan tempatan virus Zika yang telah dilaporkan di Singapura pada 27 Ogos 2016 melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 47 tahun yang menetap di Blok 102 Aljunied Crescent dan bekerja di negara tersebut. Kementerian Kesihatan Singapura telah mengesahkan kes ini adalah kes jangkitan tempatan di mana pesakit tersebut tidak mempunyai sejarah melawat ke negara yang mempunyai jangkitan Zika. Selain itu, terdapat tiga (3) kes disyaki Zika di kalangan mereka yang tinggal dan bertugas di kawasan yang terlibat di Singapura.

KKM sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Singapura untuk lebih memahami situasi dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai jangkitan virus Zika tempatan yang pertama ini bagi menyelaras tindakan pencegahan dan kawalan bagi kedua-dua buah negara. Memandangkan Malaysia juga mempunyai vektor pembawa virus Zika iaitu nyamuk Aedes maka kejadian kes Zika boleh berlaku, sekiranya terdapat rakyat negara ini melawat negara yang telah berlaku jangkitan virus Zika dan tidak mengambil tindakan pencegahan awal. Sebagai langkah kesiapsaagaan, KKM telah meningkatkan pemantauan di dua pintu masuk utama di Johor Bharu dan mengedarkan risalah mengenai pencegahan jangkitan Zika. Kesiapsagaan pemantauan ini termasuk menyediakan kumpulan Paramedik di pintu masuk tersebut bagi menguruskan selanjutnya sekiranya terdapat pelawat yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan Zika.

Capturezika

Sumber: Channel News Asia

Bermula Februari 2016, KKM juga telah mempergiatkan  pemantauan serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan vektor di semua pintu masuk antarabangsa negara bagi pelawat asing dan rakyat Malaysia yang kembali dari negara yang mempunyai jangkitan virus Zika. Ini termasuk pintu masuk jalan darat dari negara jiran. Bagi pelawat-pelawat yang tiba dari negara-negara yang telah dijangkiti virus Zika, Kad Amaran Kesihatan (Health Alert Card) akan diberikan sebagai panduan dan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya mengalami gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika setelah kembali dari negara tersebut. Selain itu, pemasangan bunting dan risalah kesihatan juga diedarkan di pintu masuk antarabangsa yang mempunyai nasihat kesihatan mengenai virus Zika. Pada tahun ini sehingga Ogos 2016, lebih dari 2 juta pelawat telah disaring di pintu masuk udara, laut dan darat melibatkan dari 155 negara yang melaporkan jangkitan virus Zika. Sehingga kini masih tiada pelawat ke Malaysia yang disyaki dijangkiti virus Zika.

Selain itu, KKM telah mengambil langkah proaktif sebagai inisiatif dalam mencegah penularan jangkitan Zika di negara ini dengan mengedarkan “Zika Alert dan Arahan Pentadbiran Untuk Pemantauan dan Pengurusan Jangkitan Virus Zika” kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri, persatuan, hospital dan makmal swasta pada 4 Februari 2016.

Click to view slideshow.

KKM juga sedang memantau jangkitan virus Zika melalui survelan makmal secara berterusan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di mana dari bulan Jun 2015 sehingga 26 Ogos 2016, mendapati sebanyak 784 sampel darah daripada pesakit yang menunjukkan gejala seperti virus Zika dan setakat ini semua keputusan ujian adalah negatif.

Individu yang dijangkiti virus Zika akan menunjukkan tanda tanda seperti demam, sakit badan, ruam dan konjuktivitis (mata menjadi merah, mengalami keradangan atau gatal pada mata). Namun 80% daripada individu yang dijangkiti Zika tidak menunujukkan tanda-tanda jangkitan ini. Lebih membimbangkan pesakit yang membawa virus Zika di dalam badan mereka ini boleh menyebarkan virus tersebut kepada individu lain apabila nyamuk Aedes mengigit mereka.  Oleh itu, KKM menasihatkan orang ramai untuk mengambil serius isu ini dan membersihkan persekitaran setiap minggu samada di luar atau di dalam rumah serta memastikan tiada pembiakan Aedes seperti jentik-jentik hidup di sekeliling mereka. Keutamaan mengamalkan perlindungan diri daripada gigitan nyamuk seperti menggunakan repelan dan memakai pakaian yang menutup anggota serta berwarna terang, bagi individu yang berkunjung ke Singapura terutama ke kawasan di mana berlakunya kes yang telah dilaporkan atau apabila mereka keluar dari rumah. Bagi mereka yang pulang daripada melawati negara yang mempunyai jangkitan Zika, perlu mengamalkan hubungan seks yang selamat sekurang kurangnya 8 minggu bagi mengelakkan komplikasi microcephaly atau kecacatan pada otak bayi, sekiranya mereka atau pasangan mereka mengandung.  Dapatkan rawatan di klinik ataupun hospital serta nasihat dari doktor segera sekiranya mengalami tanda-tanda jangkitan Zika.

WhatsApp Image 2016-08-28 at 11.47.26 AM.jpeg

KKM juga memohon semua pengamal perubatan sama ada di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta hendaklah mempunyai “high index of suspicion” dan melakukan saringan ke atas pesakit yang disyaki menghidap gejala dan tanda-tanda virus Zika terutama bagi mereka yang pulang daripada negara-negara yang dijangkiti virus. Jika terdapat kes yang disyaki, pengamal perubatan perlulah melaporkan kepada Pejabat Kesihatan yang berdekatan dengan kadar segera. KKM memerlukan kerjasama dan tindakan bersepadu dari semua pihak terutamanya pihak masyarakat dalam usaha untuk mengawal dari terjadinya jangkitan virus Zika di negara ini.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

28 Ogos 2016



Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles