Pada 28 September 2016, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima satu (1) laporan mengenai jangkitan Zika melibatkan seorang wanita berumur 60 tahun yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah yang merupakan kes kedua bagi negeri Sabah. Pada 24 September 2016, pesakit hanya mengalami gejala ruam sahaja dan telah mendapatkan rawatan di hospital swasta pada 25 September sebagai pesakit luar. Pesakit yang disyaki mengidap jangkitan Zika telah disahkan positif untuk ujian sampel darah dan air kencing yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Hasil siasatan lanjut mendapati pesakit ini tidak pernah melawat negara yang endemik jangkitan Zika dalam masa terdekat atau tidak pernah berjumpa dengan mana-mana pesakit Zika. Di samping itu, suami serta anak pesakit yang tinggal serumah juga tidak menunjukkan sebarang gejala dan tanda-tanda penyakit Zika. Aktiviti kawalan iaitu larvasiding, pendidikan kesihatan dan semburan kabus telah dilaksanakan terhadap 258 buah premis di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit.
Bermula dari 1 September hingga 29 September 2016, terdapat sebanyak tujuh (7) kes yang disahkan positif Zika di seluruh negara. Bagi tempoh sama, pemantauan KKM juga mendapati sebanyak 163 kes yang mempunyai gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika telah dilaporkan, namun kesemuanya menunjukkan keputusan ujian yang negatif.
Bagi individu yang mengalami demam, ruam, konjunktivitis dan lain-lain gejala Zika serta pernah melawat ke negara endemik Zika atau mempunyai kontak kepada pesakit Zika, hendaklah berjumpa doktor dengan segera. Mereka adalah dinasihatkan untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes dengan menggunakan repelen atau pakaian cerah serta menutup anggota badan. Penggunaan aerosol juga digalakkan di dalam rumah terutama di bawah meja, belakang langsir atau tempat-tempat yang gelap. Semburan aerosol boleh dilakukan pada waktu nyamuk aktif menggigit iaitu di antara 5 hingga 7 pagi dan 5 hingga 7 petang. Apa yang lebih penting, masyarakat diseru untuk melaksanakan aktiviti menghapuskan tempat pembiakan Aedes. Maklumat tentang Zika boleh diperolehi dari laman sesawang KKM iaitu http://www.infosihat.gov.my/infosihat. Tiada Aedes, Tiada Zika dan Denggi.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
30 September 2016
