Merujuk kepada artikel dalam akhbar The MalayMail Online pada 5 Disember 2016 yang bertajuk “Why New Cancer Drugs Are Unavailable in Malaysian Public Hospitals”, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memberi penerangan mengenai beberapa salah faham seperti yang dinyatakan dalam artikel tersebut.
Seperti kebanyakan negara lain, KKM juga mempunyai formulari ubat yang juga dikenali sebagai Buku Biru atau “Blue Book”. Formulari ini mengandungi senarai ubat-ubatan dan adalah digunakan sebagai panduan bagi para doktor perubatan KKM mengenai ubat-ubatan yang boleh diberi kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan KKM. Ubat-ubatan yang disenaraikan di dalam formulari atau buku ini adalah diberikan kepada pesakit yang memerlukan, tanpa sebarang caj. Misalnya, pesakit hanya perlu membayar RM1 atau RM5 bagi mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik pesakit luar di hospital atau klinik kerajaan, dan hanya perlu membayar caj wad, ujian serta prosedur; manakala ubat adalah diberikan secara percuma. Hampir tiada negara lain di dalam dunia di mana pesakit termasuk mereka yang memerlukan rawatan bagi penyakit kanser yang boleh mendapatkan akses bagi rawatan perubatan seperti yang diberikan di fasiliti kerajaan di Malaysia.
Sunitinib, iaitu ubat yang disebutkan di dalam artikel akhbar The MalayMail tersebut sememangnya sudah disenaraikan di dalam formulari ubat MOH. Malah sebelum ianya disenaraikan di dalam Buku Biru ini, KKM telahpun membelanjakan hampir RM420,000 bagi merawat 11 pesakit yang memerlukan Sunitinib. Pada tahun 2015, KKM telah membelanjakan 10 peratus daripada jumlah bajet ubat KKM khusus untuk rawatan kanser, iaitu sejumlah RM240 million.
Bagi setiap jenis ubat yang hendak disenaraikan ke dalam Buku Biru formulari ubat ini, ubat tersebut perlulah terlebih dahulu didaftar di dalam negara ini. Syarikat yang terlibat dalam memasarkan produk ubat ini perlulah memohon agar ianya didaftarkan ke dalam formulari ubat KKM. Ubat ini kemudiannya perlu dikaji berdasarkan beberapa kriteria, misalnya bukti keberkesanan yang tinggi berbanding rawatan biasa, mempunyai cost benefit ratio yang positif, serta mempunyai profil keselamatan yang berpatutan. Namun begitu, bukan semua ubat akan disenaraikan ke dalam formulari ubat KKM ini, terutama jika ianya melibatkan impak kewangan yang tinggi; misalnya ubat-ubatan baru bagi targeted cancer therapies. Namun sekiranya pesakit sememangnya memerlukan rawatan berkos tinggi ini, pesakit ini tidak dinafikan akses terhadap rawatan tersebut, di mana KKM masih memberi kelulusan bagi kegunaan ubat-ubatan yang tidak disenaraikan di dalam formulari ubat KKM mengikut pernilaian secara case-to-case basis.
Selain itu, terdapat juga lain-lain rawatan targeted cancer therapies yang sememangnya mempunyai kos yang tinggi yang turut disenaraikan di dalam formulari ubat ini, misalnya untuk kanser paru-paru, hati, buah pinggang, barah usus, penyakit barah darah dan lain-lain kanser. Kebanyakan ubat-ubatan ini boleh didapati di hospital-hospital tertiari (berpakar) KKM kerana rawatan ini memerlukan penjagaan berpakar. Memandangkan rawatan targeted cancer therapies mempunyai kos yang tinggi, KKM telahpun bekerjasama dengan industi farmaseutikal melalui Patient Access Scheme dan Patient Assisted Program. Ini adalah antara langkah yang diambil oleh KKM bagi menjadikan kos rawatan ini lebih berpatutan bagi KKM, seterusnya memudahkah lebih ramai pesakit menerima rawatan ini. KKM akan terus komited dalam memberikan rawatan kesihatan terbaik bagi pesakit KKM melalui penggunaan ubat-ubatan yang optimum.
Terima kasih.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
6th Disember 2016
