Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 23 Disember 2016 – Penjelasan Berkaitan Kejadian Wabak Malaria di Pos Kemar, Hulu Perak dan Status Semasa Wabak

$
0
0

Kejadian wabak malaria di Pos Kemar, Hulu Perak telah dilaporkan pada 16 November 2016. Ianya telah bermula apabila tiga (3) orang penduduk di Pos Kemar telah didapati positif oleh kakitangan kesihatan di lapangan untuk jangkitan malaria jenis Plasmodium vivax (P. vivax) apabila mereka mengadu mengalami demam berpanjangan. Pos Kemar adalah kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan bebas malaria (kawasan hijau) memandangkan tiada kes malaria dilaporkan di kawasan ini sejak lebih dari 3 tahun lalu. Bagi mengekang penularan jangkitan ini, aktiviti pemeriksaan darah beramai-ramai (Mass Blood Survey, MBS) telah dilakukan bagi mengesan kes-kes lain. Sehubungan itu, semua penduduk telah menjalani pemeriksaan dan diambil sampel darah mereka untuk pemeriksaan mikroskopi bagi mengesan jangkitan malaria, samada mereka mempunyai gejala jangkitan ataupun tidak.

Bermula 17 November 2016, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak telah melaksanakan aktiviti MBS melibatkan 17 buah kampung di Pos Kemar dengan jumlah penduduk seramai 4,189. Memandangkan sebahagian kampung-kampung ini adalah agak terpencil termasuk di pulau-pulau kecil di sekitar tasik Banding, ini telah menjadi telah menjadi cabaran yang besar, terutamanya secara logistic bagi petugas di lapangan. Ditambah lagi dengan bilangan penduduk yang ramai, aktiviti MBS hanya dapat diselesaikan selepas 33 hari iaitu pada 20 Disember 2016. Sejumlah 3,967 (95%) slaid darah telah berjaya diambil untuk pemeriksaan mikroskopi.

screen-shot-2016-12-23-at-11-09-16-am oa-rps

Namun begitu, seorang Juru Teknologi Makmal Perubatan (JTMP) hanya boleh memeriksa 60 slaid sehari. Oleh itu, mobilisasi beberapa JTMP dari seluruh negeri Perak telah dilakukan ke Gerik Hulu Perak untuk membantu mempercepatkan pemeriksaan mikroskopi slaid berkenaan.

Sehingga 21 Disember 2016, secara kumulatif seramai 137 orang penduduk yang terdiri daripada 72 lelaki dan 65 perempuan (termasuk 79 kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah), telah dikesan positif malaria dan kesemuanya adalah Plasmodium vivax kecuali satu kes didapati positif Plasmodium falciparum.

Selepas MBS dijalankan di kampung-kampung berkenaan, pemantauan berterusan dilakukan oleh Petugas Kesihatan. Mana-mana individu yang mengalami demam perlu menjalani pemeriksaan darah untuk malaria.

Di samping itu, aktiviti-aktiviti kawalan lain telah dipertingkatkan di kampung-kampung yang terlibat. Sehingga 21 Disember 2016, sebanyak 724 rumah (100%) di kawasan ini telah disembur dengan racun pembunuh nyamuk (Indoor Residual Spraying), dan kesemua penduduknya telah dibekalkan dengan kelambu berubat. Aktiviti kawalan turut diperkukuhkan melalui aktiviti larvaciding bagi mencegah pembiakan nyamuk Anopheles di Pos Kemar. Selain daripada ini, para penduduk juga telah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan gigitan nyamuk apabila berada di luar rumah, seperti memakai baju berlengan panjang dan berseluar panjang, menyapu ubat repelan nyamuk dan menggunakan kelambu berubat jika bermalam di luar rumah.

Sehingga hari ini hanya satu kes yang dikesan di luar dari kelompok MBS pertama. Selaras dengan Pelan Strategik Eliminasi Malaria, aktiviti MBS akan diulangi semula selepas sebulan dari tarikh MBS pertama. Ini bagi memastikan kes baru berjaya dikesan dan seterusnya mengekang perebakan jangkitan malaria secara berleluasa. MBS kedua akan bermula 27 Disember 2016 di kampung-kampung yang melaporkan kadar insiden malaria melebihi 1%. Manakala di kampung-kampung yang lain, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection – ACD) akan turut dilaksanakan. Bagi aktiviti ACD, kakitangan kesihatan akan melawat kampung-kampung berkenaan dan hanya mereka yang menunjukkan gejala demam akan diambil contoh darah. Pihak Kementerian Kesihatan menjangkakan jumlah kes yang dikesan akan berkurangan di pusingan MBS kedua ini.

Oleh kerana sebelum ini Pos Kemar adalah kawasan bebas malaria, wabak semasa berlaku kerana parasit malaria telah dibawa masuk oleh pesakit malaria dari luar kawasan. Risiko utama adalah kemasukan pekerja asing ke kawasan ini. Saringan pengesanan malaria telah dilakukan oleh pihak JKN Perak ke atas 71 orang pekerja asing yang terlibat dalam projek pembinaan di Pos Kemar, dan kesemua slaid darah mereka didapati negatif malaria. Namun begitu, pergerakan keluar-masuk yang tinggi di kalangan pekerja asing yang terlibat dalam projek pembinaan di lokaliti ini menyebabkan kemungkinan populasi pekerja asing menjadi punca jangkitan tidak dapat ditolak. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan pekerja asing yang diambil bekerja telah disaring bagi mengesan jangkitan malaria bagi mengelakkan pekerja asing ini menjadi punca jangkitan di kalangan masyarakat tempatan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

23 Disember 2016

whatsapp-image-2016-11-21-at-8-53-22-am

whatsapp-image-2016-11-21-at-8-53-26-am



Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles