Bermula 1 Februari 2017, di bawah Peraturan 11(w) dan 11(x), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) Pindaan 2017, Taman-Taman Awam di seluruh Malaysia, Taman Negara yang telah diwartakan di bawah Akta Taman Negara 1980 [Akta 226], Enakmen Taman Negara Kelantan, Enakmen Taman Negara Pahang atau Enakmen Taman Negara Terengganu serta Taman-Taman Negeri seperti di dalam jadual kesembilan peraturan ini telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok. Bagi maksud perwartaan Taman-Taman Awam, semua kawasan di Taman Awam adalah dilarang merokok kecuali tempat letak kereta terbuka manakala bagi Taman Negara dan Taman Negeri, tiga tempat utama yang menjadi tumpuan orang awam iaitu menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan jarak lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi adalah dilarang merokok.
Selaras dengan pewartaan ini, Peraturan 21 iaitu peruntukan bagi hentian pengangkutan awam tidak berhawa dingin, tempat makan berhawa dingin dan stadium terbuka dengan keluasan satu pertiga kawasan merokok adalah dimansuhkan. Ini bermakna semua restoran berhawa dingin adalah seratus peratus kawasan bebas merokok. Penambahan kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11 dan pemansuhan Peraturan 21 PPKHT 2004 bertujuan untuk melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok atau lain-lain produk merokok. Ini adalah selaras dengan Artikel 8, WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang telah dianggotai Malaysia semenjak tahun 2005. Selain daripada itu, perluasan kawasan-kawasan dan tempat-tempat dilarang merokok bertujuan untuk mengekang aktiviti merokok di tempat awam supaya budaya ini tidak diterima oleh masyakarat. Bagi mereka yang melakukan kesalahan ini akan didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.
Pihak Kementerian Kesihatan menasihatkan agar semua rakyat Malaysia mematuhi peraturan ini dan menyeru agar semua lapisan masyarakat bersama-sama memastikan persekitaran anda terutama di tempat tumpuan awam bebas dari bahaya asap rokok dan lain-lain produk merokok.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
3 FEBRUARI 2017