Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini mengenai kejadian kluster Influenza Like-Illness (ILI) di Negeri Perak. Pada Minggu Epid 10/2017, sebanyak lima (5) episod kejadian kluster ILI yang meliputi Sekolah Kebangsaan Klebang Jaya, Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Kolej Vokasional Slim River dan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Teluk Intan.
Pemantauan ke atas kejadian kluster ILI ini sedang dilakukan secara rapi oleh KKM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak. KKM sedang melaksanakan tindakan pencegahan dan pengawalan bagi memastikan ianya tidak merebak termasuk mengasingkan kes-kes yang bergejala daripada pelajar-pelajar lain yang sihat. Semua kes mengalami gejala ringan dan telah diberikan rawatan. Ujian makmal turut dilakukan bagi menentukan penyebab kluster berkenaan. Namun begitu, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar tidak panik mengambilkira tiada trend luar biasa berkaitan ILI yang dikesan di seluruh Malaysia.
ILI merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan. Oleh kerana demam selsema atau flu sangat mudah berjangkit, penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem tentera dan polis. Oleh itu, mereka yang dijangkiti di asrama sekolah diasingkan daripada mereka yang sihat supaya ia tidak menular secara meluas. Mereka yang tidak sihat juga tidak digalakkan datang bekerja atau bersekolah. Kebanyakan kluster ILI yang dilaporkan sebelum ini adalah disebabkan virus influenza bermusim antara lainnya meliputi Influenza A(H1N1), Influenza A (H3N2) ataupun Influenza B. Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk seperti pneumonia kepada kumpulan risiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes).
KKM ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang mudah bagi mencegah penularan jangkitan influenza seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau sanitiser, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat. Bagi mereka yang mempunyai gejala ILI adalah dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai manakala golongan berisiko tinggi perlu mendapatkan rawatan di klinik yang berhampiran. Sekiranya seseorang yang bergejala tetapi perlu juga keluar rumah disebabkan sesuatu urusan yang penting, mereka dinasihatkan agar sentiasa memakai penutup mulut dan hidung (mask).
Golongan berisiko juga digalakkan supaya mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim, dari mana-mana fasiliti kesihatan swasta.
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
10 Mac 2017
