Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 22 Julai 2018 – Tiada Sekolah di Negeri Kedah Ditutup Disebabkan oleh Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) Sehingga Kini

$
0
0

Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) ingin memberi penjelasan mengenai dakwaan yang tular di media sosial menyenaraikan 11 buah sekolah di daerah Kuala Muda di negeri Kedah telah terlibat dengan kejadian kes HFMD. Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) bagi tahun 2018 bagi daerah Kuala Muda, didapati terdapat hanya satu (1) kluster HFMD dilaporkan berlaku di SJK(C) Tai Tong Taman Kempas dan satu (1) notifikasi kes diterima melibatkan SK Teluk Wang. Sekolah ini atau kelas di dalam sekolah terbabit TIDAK DITUTUP.

WhatsApp Image 2018-07-22 at 8.38.06 PM

Sekolah atau kelas yang terlibat tidak ditutup kerana mengambil kira hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan yang mendapati tiada pendedahan risiko jangkitan HFMD kepada murid-murid lain. Keadaan pelajar-pelajar yang terlibat di dua buah sekolah berkenaan adalah stabil dan terkawal. JKNK tidak menerima sebarang notifikasi kes HFMD melibatkan sekolah-sekolah lain yang ditularkan iaitu SK Hj Nyak Gam, SK Laguna Merbok, SK Seri Pinang, SK Sg. Pasir, SJK(C) Sin Kwang, SKJ(C) Sin Min B, SK Kem Lapangan Terbang, SJK(T) Saraswaty dan SK Ibrahim. Sehingga kini tiada penutupan sekolah di negeri Kedah akibat jangkitan HFMD.

Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita berkaitan HFMD sebelum mempercayainya, terutama maklumat tidak tepat yang dikeluarkan oleh pihak tertentu selain daripada KKM. Orang ramai juga diminta agar mengelak daripada menyebarkan berita yang tidak tepat tanpa mendapat pengesahan daripada pihak KKM terlebih dahulu.

Bilangan kes HFMD dijangka akan terus meningkat kerana kesedaran dan keprihatinan ibu bapa membawa anak yang mengalami gejala HFMD berjumpa pengamal perubatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Ini menyebabkan peningkatan kes kerana HFMD adalah penyakit yang perlu dinotifikasikan kepada pihak kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

HFMD 2

Orang ramai khususnya ibu bapa, pengusaha taska dan tadika serta guru-guru dinasihatkan untuk sentiasa menerapkan amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran termasuk mencuci tangan dengan betul kepada anak-anak dan murid-murid. Selain saringan di pintu masuk taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah (gate keeping), ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memeriksa anak setiap pagi sebelum dihantar ke pusat-pusat tersebut. Sekiranya anak menunjukkan sebarang gejala atau tanda jangkitan penyakit, dinasihatkan agar membawa anak untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran. Sekiranya anak ini bergejala, janganlah dibenarkan mereka menghadiri tempat belajar atau berkunjung ke tempat awam bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain.

Sesungguhnya kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit termasuk HFMD memerlukan peranan aktif oleh semua pihak dan ia hendaklah bermula dari diri sendiri dan di rumah. Semoga kerjasama dan tindakan pencegahan serta kawalan dari semua pihak akan dapat mengurangkan penularan jangkitan HFMD di negeri Kedah khususnya dan di Malaysia amnya.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

22 Julai 2018


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles