Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 24 Julai 2018 – Isu Penjualan Produk Pemutihan Kulit dan Suntikan Vitamin C Secara Dalam Talian

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum terhadap artikel bertajuk “Cucuk-cucuk terus putih” seperti yang dilaporkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 20 Julai 2018 mengenai individu yang mempromosikan penjualan pemutihan kulit membabitkan produk gel pengelupasan dan suntikan pemutihan Vitamin C secara dalam talian.

Screen Shot 2018-07-24 at 12.13.34

Sumber foto: NSTP

Screen Shot 2018-07-24 at 15.29.58

Sumber foto: NSTP

KKM memandang serius tentang penjualan produk pemutihan kulit dan suntikan Vitamin C yang dijual secara dalam talian sama ada melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram. Di sini perlu ditegaskan bahawa  Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM tidak pernah mendaftarkan produk suntikan yang mengandungi Vitamin C. Produk yang digunakan secara suntikan tidak boleh dikelaskan sebagai produk kosmetik memandangkan cara penggunaan produk berkenaan adalah di luar skop takrifan kosmetik. Sehubungan dengan itu KKM tidak dapat mengesahkan atau menjamin aspek keselamatan dan kesahihan tuntutan produk tersebut.

Bagi menangani isu penjualan produk yang melanggar undang-undang, KKM sentiasa memantau dan menyiasat mana-mana aktiviti penjualan produk farmaseutikal secara dalam talian termasuklah suntikan Vitamin C. Pada tahun 2016 sehingga Jun 2018, sebanyak 762 laman web dan media sosial yang menjual produk pemutih termasuk Vitamin C telah disaring, dipantau dan diambil tindakan di seluruh Malaysia. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 laman sesawang telah disekat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook, Google, pembekal domain dan web hoster.

Vit C

KKM juga melakukan pemantauan terhadap produk-produk farmaseutikal dan kosmetik di pasaran melalui aktiviti risikan terancang, serbuan dan persampelan. Selain itu, pemeriksaan dari semasa ke semasa dijalankan terutamanya di pejabat pos dan di pintu-pintu masuk dalam negara bagi memastikan produk-produk farmaseutikal dan kosmetik yang memasuki negara adalah yang dibenarkan. Pemeriksaan rutin turut dilakukan terhadap salun kecantikan/spa dan Pusat Aromaterapi/Pusat Rawatan Rambut. Pemeriksaan ini bertujuan untuk memastikan semua premis ini hanya menjual produk-produk kosmetik yang bernotifikasi atau produk-produk yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Semua kes akan disiasat dan jika mempunyai bukti-bukti yang mencukupi, kes-kes tersebut akan didakwa di mahkamah. Individu yang menjual suntikan Vitamin C adalah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Jika disabit kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

panduan guna kosmetik

Dakwaan di dalam artikel akhbar terbabit bahawa perkhidmatan suntikan ditawarkan oleh doktor dan jururawat di ‘klinik panel’ kepada pelanggan juga dipandang berat oleh pihak KKM. Untuk makluman, semua fasiliti jagaan kesihatan swasta termasuk klinik perubatan swasta perlu berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586]. Klinik perubatan swasta didaftarkan dengan maksud menyediakan perkhidmatan alopatik (amalan perubatan moden berdasarkan bukti saintifik) yang diiktiraf oleh Kementerian dan disediakan oleh profesional jagaan kesihatan yang berkelayakan, terlatih dan berpengalaman. Klinik-klinik perubatan swasta juga boleh didaftarkan dengan area of interest  seperti bidang estetik di mana Orang yang Bertanggungjawab bagi klinik tersebut perlu mempunyai Letter of Credentialing (LCP) serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Lanjutan itu, sebarang amalan untuk menyediakan perkhidmatan dan/atau menjalankan prosedur perubatan yang tidak diiktiraf oleh Kementerian tidak wajar dilakukan di klinik-klinik perubatan swasta kerana perbuatan tersebut adalah di luar maksud klinik tersebut didaftarkan, selaras dengan Seksyen 39, Akta 586. Malah, amalan tersebut juga bertentangan dengan etika dan profesionalisme seorang pengamal perubatan yang digariskan dalam Code of Professional Conduct yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Sehubungan itu, orang ramai disarankan supaya mendapatkan rawatan yang diiktiraf di klinik-klinik perubatan swasta yang berdaftar dan mengelakkan daripada menggunakan produk yang tidak berdaftar yang boleh membawa implikasi kesihatan yang memudaratkan. Orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Sekian, terima kasih

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

24 Julai 2018

 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles