Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK: Seminar “Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan” sempena Bulan Pencegahan Bunuh Diri 2015

$
0
0

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

Screenshot 2015-09-30 23.04.25

Seminar “Sayangi Nyawa Hidupkan Harapan” sempena

Bulan Pencegahan Bunuh Diri 2015

Menurut Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia ‘Preventing Suicide, A Global Imperative’, dianggarkan lebih daripada 800,000 orang di seluruh dunia membunuh diri setiap tahun. Ini bersamaan dengan 1 kematian akibat bunuh diri setiap 40 saat. Manakala bagi setiap 1 kes kejadian bunuh diri, terdapat lebih daripada 20 kes cubaan bunuh diri. Di peringkat global, bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab ke-2 kematian bagi mereka yang berumur 15-29 tahun.

Tingkah laku bunuh diri yang meliputi spektrum daripada idea bunuh diri, mempunyai rancangan untuk membunuh diri, cubaan bunuh diri dan kejadian bunuh diri itu sendiri turut menyumbang kepada kecederaan fizikal dan emosi ahli keluarga individu tersebut di samping mendatangkan impak negatif kepada ekonomi.

Malaysia yang kini melalui arus permodenan dan masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum, terdedah kepada stress yang tinggi dan tidak juga terlepas daripada mengalami senario tingkah laku bunuh diri. National Suicide Registry Malaysia melaporkan kadar bunuh diri adalah 1.3 setiap 100,000 penduduk dengan jumlah kes sebanyak 1100 kes dalam masa 3 tahun (2008-2010). Walaubagaimana pun, ini hanya berdasarkan kepada kes bedah siasat sahaja.

Manakala statistik daripada Pusat Informatik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tempoh lima tahun (2010-2014) menunjukkan sejumlah 338 kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan adalah disebabkan oleh perbuatan mencederakan diri atau intentional self-harm. Jumlah kematian bagi lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita manakala kumpulan umur tertinggi adalah mereka di antara 25-44 tahun.

Pelbagai faktor turut mempengaruhi tingkah laku bunuh diri antaranya gangguan mental seperti kemurungan, penyalahgunaan dadah atau substans, tragedi kehidupan, masalah hubungan, faktor kewangan dan kemiskinan, penyakit fizikal serta sejarah bunuh diri dalam keluarga. Cara yang paling sering digunakan untuk membunuh diri adalah dengan menggantung diri dan terjun daripada bangunan tinggi.

Pada tahun ini, tema Cegah Bunuh Diri adalah “Reaching Out and Saving Lives”. Tema ini mengajak masyarakat untuk menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga, sahabat dan rakan-rakan dalam menangani cabaran kehidupan. Setiap daripada kita boleh memainkan peranan untuk membantu sekiranya kita tahu ada di antara ahli keluarga, sahabat handai atau mereka yang kita kenali mengalami krisis emosi, tanda-tanda kemurungan atau berniat untuk membunuh diri. Ambil serius tentang masalah mereka, ambil masa untuk dengar keluhan mereka, ambil berat dan berikan sokongan sosial kepada mereka. Sekiranya keadaan tidak bertambah baik, bantu mereka mendapatkan pertolongan pakar. Masyarakat boleh juga membantu dengan cara menghubungkan individu yang bermasalah dengan perkhidmatan yang sedia ada di Malaysia

Kementerian menyediakan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental di hospital-hospital kerajaan untuk individu mendapatkan bantuan. Di peringkat kesihatan primer, perkhidmatan saringan dan rawatan kesihatan mental turut ditawarkan. Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan seperti The Befrienders yang amat aktif menawarkan perkhidmatan talian hayat bagi membantu mereka yang mempunyai masalah berkaitan isu-isu kesihatan mental.

Bunuh diri boleh dicegah. Tugas mencegah bunuh diri tidak hanya terletak di bahu Kementerian Kesihatan tetapi juga di semua pihak agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan. Organisasi-organisasi lain adalah diseru untuk turut mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk mempromosikan kesihatan mental dan mencegah tingkah laku bunuh diri. Dengan kerjasama semua pihak, adalah diharapkan kita dapat mencapai tahap kesihatan mental yang baik dan masyarakat yang produktif.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 OKTOBER 2015



Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles