Penyakit kanser merupakan penyebab kematian yang kedua tertinggi di dunia yang menyumbang kepada 8.8 juta kematian pada tahun 2015. Di Malaysia, kanser merupakan salah satu penyebab utama kematian di hospital kerajaan dan juga di hospital swasta. Peningkatan kematian dalam kalangan pesakit kanser di peringkat awal memberi impak kepada survival kanser yang lebih rendah.
Survival kanser atau keupayaan untuk pesakit kanser memanjangkan jangka hayat lebih lama setelah didiagnos merupakan fokus utama dalam pengurusan pesakit kanser. Selain daripada data kadar insiden dan kadar kematian, survival kanser merupakan salah satu indikator yang penting untuk menilai keberkesanan program kawalan dan pencegahan kanser.
Kajian menunjukkan pengesanan awal penyakit kanser melalui kaedah saringan yang disarankan secara saintifik mampu meningkatkan survival kanser melalui rawatan di peringkat awal. Justeru itu, ia dapat meningkatkan jangka hayat mereka dan kemungkinan untuk bebas dari kanser dalam tempoh yang lebih panjang. Penggunaan data survival kanser sebagai pengukur keberkesanan program saringan dan rawatan kanser banyak digunakan oleh para profesional dan penggubal polisi di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
Penerbitan ‘Malaysian Study on Cancer Survival‘ (MySCan) oleh Jabatan Registri Kanser Kebangsaan, Institut Kanser Negara merupakan inisiatif untuk membentuk sistem survelan survival kanser kebangsaan. Laporan ini merupakan laporan survival pertama di Malaysia yang menggunakan data daripada Registri Kanser Kebangsaan (Population-Based Cancer Registry) dan ianya boleh dijadikan titik asas pengukur kepada laporan MySCan yang seterusnya.
Laporan MyScan yang dikeluarkan pada tahun ini menganalisa survival kanser untuk tempoh 0 – 10 tahun yang merangkumi 15 jenis kanser tertinggi di Malaysia yang didiagnos pada tahun 2007-2011. Didapati 5 – year relative survival (RS) yang lima tertinggi adalah kanser kelenjar tiroid (82.3%), prostate (73.0%), corpus uteri atau rahim (70.6%), kanser payudara wanita (66.8%) dan kanser kolon atau usus besar (56.8%). Tiga kanser yang mempunyai 5 – year RS yang paling rendah adalah kanser pankreas (14%), kanser hati (12.8%) dan kanser paru-paru (11%). RS juga didapati lebih tinggi di kalangan wanita berbanding dengan lelaki.
Analisa mengikut tahap kanser (stage) menunjukkan semakin lewat kanser dikesan semakin rendah survival. Analisa hazard ratio (HR) mendapati pesakit kanser di tahap 4 mempunyai nisbah risiko kematian (HR) berbanding kanser di tahap 1 adalah sebanyak 7.52 kali ganda lebih tinggi bagi kanser payudara, 5.45 kali ganda lebih tinggi bagi kanser pangkal rahim dan 3.86 kali ganda lebih tinggi bagi kanser kolorektal.
Kajian ini dapat merumuskan bahawa pengesanan awal kanser melalui kaedah saringan yang efektif amat penting untuk meningkatkan survival terutamanya untuk kanser payudara, pangkal rahim dan kolorektal. Perhatian serius perlu diberikan bagi pencegahan kanser paru-paru dalam program pencegahan dan kawalan tembakau kerana kanser ini mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi. Program rawatan berhenti merokok kepada 5 juta perokok yg berisiko tinggi untuk mendapat kanser paru-paru adalah lebih kos efektif berbanding dengan rawatan kanser ini.
Diharapkan para ahli profesional perubatan termasuk pakar – pakar klinikal dan kesihatan awam, ahli akademik, penggubal polisi dan pertubuhan yang berurusan secara langsung dan tidak langsung dalam pelbagai aktiviti dan program pencegahan dan pengurusan kanser di Malaysia dapat memanfaatkan maklumat yang diterbitkan dalam meningkatkan pengurusan pesakit kanser di Malaysia. Laporan ini kini boleh dimuat turun melalui pautan http://nci.moh.gov.my/index.php/ms/list-penerbitan/35-laporan/522-myscan.
Sekian, terima kasih
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH