Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada berita Utusan Borneo Online yang diterbitkan pada 17 Disember 2018 jam 4.36 petang bertajuk “Mangsa rabies Indonesia mati di Kuching”. KKM mengesahkan bahawa kes ini adalah warga Indonesia yang telah digigit oleh anjing peliharaannya di negara asalnya. Notifikasi kes ini kepada Kementerian Kesihatan Indonesia telah dibuat melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point Malaysia-Indonesia.
Kes adalah seorang wanita Indonesia, berumur 69 tahun yang tinggal di Sanggau, Indonesia. Pada bulan September 2018, kaki kirinya telah digigit oleh anjing peliharaannya. Semasa kejadian, haiwan tersebut berkelakuan agresif dan abnormal menggigit tuannya tanpa sebarang provokasi.
Pesakit telah mendapatkan rawatan di Indonesia. Namun begitu, perincian rawatannya itu tidak dapat disahkan. Pada 9 Disember 2018, beliau mengadu sakit belakang badan dan sukar berjalan. Beliau telah mendapatkan rawatan lanjut sebanyak dua (2) kali di fasiliti perubatan di Indonesia. Pada 13 Disember 2018, keadaan pesakit bertambah teruk dan beliau kemudiannya dibawa ke sebuah hospital swasta di Kuching, Sarawak. Pada keesokan hari, keluarga pesakit telah memindahkannya ke sebuah hospital swasta lain di Kuching. Pesakit mula menunjukkan gejala neurologi yang teruk seperti kekeliruan (confusion), lemah kedua-dua kaki dan tidak boleh menelan. Beliau telah dirawat di Unit Rawatan Rapi namun malangnya telah meninggal dunia pada 17 Disember 2018 jam 6.00 pagi. Keputusan ujian makmal yang diterima pada 18 Disember 2018 adalah positif rabies.
Kes disahkan rabies ini tidak dimasukkan ke dalam statistik kes rabies Malaysia kerana pesakit telah digigit anjing tersebut di Indonesia. Kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 18 Disember 2018 adalah kekal 16 kes termasuk 15 kematian. Kes terakhir disahkan rabies adalah pada 10 Disember 2018.
Kerajaan Negeri Sarawak bersama-sama dengan KKM , Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi-agensi lain sedia berkerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengawal rabies dalam kalangan anjing, khususnya di sempadan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kawalan jangkitan rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Sekian, terima kasih.