Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 27 Februari 2020 – Situasi Terkini Jangkitan Coronavirus Disease (COVID-19) di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini, terdapat dua (2) kes yang disahkan positif Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) telah pulih sepenuhnya, manakala terdapat satu (1) kes baharu yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Terkini, KKM ingin memaklumkan dua (2) kes iaitu kes ke-16 dan kes ke-22 yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj daripada wad pada hari ini. Kes ke-16 merupakan seorang wanita warganegara China berumur 67 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Manakala kes ke-22 ialah seorang warganegara Amerika Syarikat yang mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh. Justeru, seramai 22 orang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad.

Case 22

Kes ke-22 yang telah pulih sepenuhnya bersama petugas kesihatan yang telah merawat beliau di Hospital Sungai Buloh (Keizinan bertulis pesakit dan suami beliau telah diperolehi untuk perkongsian gambar)

KES BAHARU KE-23

Kes ke-23 ini merupakan seorang wanita berusia 53 tahun warganegara Malaysia. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Jepun baru-baru ini. Apabila pulang dari Jepun pada 23 Februari 2020, pesakit telah mula mempunyai gejala demam pada keesokan harinya dan telah mendapat rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Ujian pengesanan COVID-19 diambil bagi kes ini dan disahkan positif pada 27 Februari 2020.

Sehingga 27 Februari 2020, seramai 1,569 individu telah diambil sampel bagi pengesanan COVID-19. Mereka terdiri daripada Patient-under-investigation (PUI), kontak rapat, Misi Bantuan Kemanusian dan kapal persiaran Dream World. Daripada jumlah ini, sebanyak 23 kes disahkan positif COVID-19, sebanyak 1,523 adalah negatif dan 23 masih menunggu keputusan makmal.

MISI BANTUAN KEMANUSIAN KE-2

Sejumlah 66 individu (46 warganegara Malaysia dan 20 bukan warganegara Malaysia yang merupakan pasangan atau anak mereka) telah dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusian ke-2 pada 26 Februari 2020. Semasa ketibaan di Malaysia, mereka telah menjalani saringan kesihatan dan sampel klinikal telah diambil untuk pengesanan COVID-19 (entry screening). Hasil saringan tersebut, tiada individu yang bergejala dan keputusan makmal bagi kesemua 66 individu tersebut didapati negatif COVID-19. Selanjutnya mereka ditempatkan di pusat pemantauan bagi menjalani pemantauan kesihatan selama 14 hari.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin memaklumkan sehingga 27 Februari 2020 pada 8.00 pagi, sejumlah 81,398 kes COVID-19 yang melibatkan 2,770 kematian dilaporkan di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, 4% (3,200 kes) dilaporkan di luar Republik Rakyat China yang melibatkan 52 kematian. Daripada pemantauan yang dijalankan, didapati Republik Korea, Jepun, Itali dan Iran menunjukkan ada peningkatan kes yang ketara dalam tempoh satu minggu yang lepas.

Berdasarkan situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan perkembangan terkini di peringkat global, KKM ingin memberi nasihat demi menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Justeru, KKM ingin menyarankan kepada rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak COVID-19 di Republik Rakyat China (seperti yang dimaklumkan sebelum ini) dan juga di Republik Korea, Jepun, Itali dan Iran.

Begitu juga, orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut, khususnya kepada para pengembara semasa berada di negara-negara tersebut dan selepas pulang ke Malaysia:

  1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer);
  2. Sentiasa mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik, iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk mahupun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta;
  3. Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu;
  4. Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan tidak bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala;
  5. Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan;
  6. Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengambil (iaitu memakan atau meminum) sebarang produk haiwan yang mentah / tidak dimasak dengan sempurna;
  7. Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut. Begitu juga, maklumkan mengenai sejarah perjalanan dari negara yang terlibat kepada doktor yang merawat.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

 

27 FEBRUARI 2020


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles