Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 5 Mac 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia & Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (COVID-19) Bil. 2 Tahun 2020

$
0
0

Sebentar tadi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (COVID-19) Bilangan 2 Tahun 2020 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara telah diadakan bersama pelbagai agensi yang berkaitan.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Adalah dimaklumkan bahawa terdapat lima (5) kes baharu (kes ke-51, kes ke-52, kes ke-53, kes ke-54, kes ke-55) jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sehingga 5 Mac 2020 jam 12.00 tengah hari adalah sebanyak 55 kes. Daripada jumlah ini, seramai 22 orang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad.

WhatsApp Image 2020-03-05 at 6.28.01 PM

Kesemua kes baharu ini berhubung kait dengan satu (1) kluster COVID-19 yang telah dikenal pasti sebelum ini yang melibatkan kes positif ke-26. Kes-kes ini merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 dalam kluster tersebut. Justeru, sehingga kini, jumlah kes positif bagi kluster ini adalah sebanyak 26 kes. Siasatan dan pengesanan kontak bagi kluster tersebut masih diteruskan.

WhatsApp Image 2020-03-05 at 6.17.58 PM

KEPUTUSAN MESYUARAT KERJA KLUSTER PENYAKIT CORONAVIRUS (COVID-19) BILANGAN 2 TAHUN 2020

Mengambilkira status semasa penularan Covid-19 di Malaysia yang telah memasuki gelombang ke-2 ini, langkah-langkah sebagaimana berikut telah diputuskan:

  1. Menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan sementara perjalanan ke bandar atau wilayah berikut:

1.1    Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna di Itali;

1.2    Hokkaido di Jepun; dan

1.3    Tehran, Qom dan Gilan di Iran.

  1. Mesyuarat juga memutuskan untuk menyekat sementara kemasukan semua pelawat (kecuali warganegara, pemastautin tetap, pemegang pas sosial dan pas pelajar Malaysia) yang berada atau berkunjung ke bandar atau wilayah tersebut di atas dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia.
  2. Bagi rakyat Malaysia yang berada di bandar atau wilayah tersebut di atas, mereka dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, meningkatkan penjagaan kesihatan diri dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
  3. Rakyat Malaysia di luar negara turut digalakkan untuk mendaftar diri dengan Kedutaan Malaysia yang berhampiran. Maklumat mengenai Kedutaan Malaysia di luar negara boleh dirujuk di laman web Kementerian Luar Negeri di kln.gov.my
  4. Mewartakan barang kawalan topeng muka di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2020 untuk memastikan bekalan topeng muka bagi kegunaan rakyat tempatan mencukupi.

NASIHAT KESIHATAN

Untuk mengelak keadaan panik di pejabat apabila terdapat kes positif atau disyaki dalam kalangan anggota agensi. KKM menasihatkan kepada organisasi yang telah dikesan mempunyai kes positif agar tidak perlu membuat penutupan pejabat, namun memadai menjalankan pembersihan dan nyahkuman/disinfeksi dengan kerap di kawasan yang selalu disentuh. Anggota yang dikenal pasti sebagai kontak rapat oleh KKM akan dibuat saringan kesihatan. KKM berharap mereka yang dikenal pasti dapat bertenang dan sentiasa bekerjasama dengan memberi maklumat yang tepat apabila dihubungi atau dikenal pasti sebagai kontak rapat. Pada masa yang sama, semua pihak diminta tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

5 Mac 2020 @ 5 petang


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles