KES DISAHKAN COVID-19
Sehingga jam 7.00 petang pada 14 Mac 2020, seramai 4,942 peserta menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling telah berjaya dikenalpasti. Daripada jumlah ini 3,069 telah datang ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan. Hanya 1,634 mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan telah diambil sampel. Seramai 137 orang telah dirujuk ke hospital. Manakala 2,932 peserta telah diarahkan bagi menjalani home surveillance di rumah masing-masing untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling. Penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan masih diteruskan.
Merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 14 Mac 2020 jam 5.00 petang, sebanyak 41 kes baharu secara keseluruhan telah dilaporkan pada hari ini, di mana tiga (3) kes adalah kontak rapat kepada kluster kes ke-33 yang dilaporkan sebelum ini dan satu (1) kes mempunyai sejarah perjalanan ke Iran. Selain itu, 37 kes pula adalah kes baharu disahkan positif COVID-19 yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan tersebut.
Dengan pertambahan 37 kes baharu ini, jumlah kumulatif kes yang disahkan dijangkiti COVID-19 yang berkaitan dengan perhimpunan itu adalah 77 kes. Kes positif banyak dikesan di Sabah 26 kes; Negeri Sembilan 11 kes; Sarawak 6 kes; masing-masing 5 kes di Johor, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang; Kelantan 3 kes; masing-masing 2 kes di Perak, WP Labuan, Pahang, Kedah dan WP KL & Putrajaya; dan satu kes di Perlis.
Kesemua 77 kes ini masih dirawat di hospital. Satu kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam keadaan stabil.
NASIHAT KESIHATAN
KKM ingin menasihati orang awam yang telah menyertai perhimpunan tabligh tersebut yang belum menjalani pemeriksaan agar menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi mendapatkan nasihat serta tindakan lanjut yang perlu diambil. Manakala jemaah yang telah diarahkan untuk menjalani home surveillance di rumah dinasihatkan untuk mematuhi arahan ini bagi mencegah penularan COVID-19.
Selain itu, ahli keluarga kepada peserta yang telah diarahkan menjalani home surveillance diminta untuk:
- sentiasa mengingatkan dan memastikan agar arahan ini dipatuhi demi kesejahteraan komuniti;
- mengambil langkah-langkah yang boleh menghindarkan diri dan ahli keluarga yang tinggal serumah daripada dijangkiti COVID-19, termasuk memastikan peserta memakai topeng muka (face mask) sekiranya keluar dari bilik dan elakkan bersentuhan; dan
- menasihati ahli keluarga agar sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan yang tinggi termasuk penjagaan kebersihan diri dan persekitaran yang bersih.
Individu atau organisasi yang bercadang mengadakan perkumpulan yang melibatkan jemaah tabligh serta orang awam perlu dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi pemantauan dan nasihat kesihatan.
Mengambilkira jemaah tabligh telah pulang ke negeri masing-masing, semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah berusaha keras bagi mengesan dan menjalankan saringan ke atas mereka yang telah hadir ke perhimpunan tersebut serta kontak rapat mereka yang positif COVID-19. Selain itu, KKM ingin memaklumkan bahawa tindakan terkini yang telah diambil oleh beberapa buah JKN; iaitu:
- JKN Perlis telah menempatkan 64 jemaah tabligh di Dewan Wawasan 2020 bagi menjalani perintah pengawasan dan pemantauan (home surveillance) ke atas jemaah tabligh yang telah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.
- JKN Labuan telah menetapkan Klinik Kesihatan Membidai, Labuan untuk saringan COVID-19 kepada Jemaah tabligh yang telah menghadiri perhimpunan tersebut serta individu yang telah menghadiri Program Klinik Hukum bersaa Mufti Wilayah. Klinik ini dibuka pada hari Sabtu dan Ahad bermula jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang.
- JK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya telah menjalankan aktiviti saringan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling sejak 12 Mac 2020. Masjid ini telah ditutupkan untuk disinfeksi. Premis ini juga digunakan untuk home surveillance jemaah dan pelajar madrasah yang ada di situ untuk tempoh 14 hari dari tarikh kes positif COVID-19 terakhir yang dikesan dalam kalangan mereka yang ditempatkan di situ. Orang awam tidak dibenarkan keluar masuk ke masjid ini bagi mengelakkan penularan jangkitan.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 dalam kalangan peserta perhimpunan ini dan orang awam akan sentiasa dimaklumkan mengenainya. Orang awam juga dinasihati agar sentiasa cakna dalam pencegahan dan pengawalan jangkitan COVID-19 ini.
Sekian, terima kasih
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
14 Mac 2020 @ 7.30 petang