MESYUARAT PASUKAN PETUGAS KHAS DENGGI PERINGKAT KEBANGSAAN BIL 24/2015
PADA 18 NOVEMBER 2015
Daripada pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tempoh 8 sehingga 14 November 2015 atau minggu ke 45, sejumlah 2,109 kes denggi dilaporkan, menunjukkan penurunan kes sebanyak 1.3% berbanding minggu sebelumnya iaitu 2,136 kes. Dari bulan Januari hingga 14 November 2015, jumlah kumulatif kes Denggi yang dilaporkan adalah 104,910 kes, berbanding 88,806 kes bagi tempoh yang sama tahun 2014, peningkatan sebanyak 18.1% (16,104 kes). Manakala jumlah kumulatif kematian Denggi adalah sebanyak 284 kematian, berbanding 169 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2014, meningkat sebanyak 115 kematian (68%).
Secara keseluruhannya terdapat tren penurunan kes denggi bagi 18 minggu kebelakangan ini yang menunjukkan corak yang sama seperti tahun lepas. Oleh yang demikian aktiviti pencegahan perlu dipertingkatkan seperti aktiviti pembersihan tempat pembiakan dan kempen kebersihan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Aktiviti kempen kebersihan perlu memfokuskan kepada mesej tidak membuang sampah merata-rata dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan Aedes setiap minggu.



Kementerian Kesihatan juga ingin mengucapkan terima kasih diatas komitmen semua Kementerian, Jabatan, Agensi dan Jabatan Kesihatan Negeri serta pihak masyarakat kerana menjayakan Program “Gotong Royong Mega” Peringkat Kebangsaan dan negeri secara bersepadu dan serentak di seluruh negara pada 8 November 2015 iaitu melibatkan aktiviti pembersihan tanah lot kosong yang menjadi punca pembiakan Aedes. KKM berharap aktiviti pembersihan ini dilakukan secara berterusan sehingga kesemua tanah lot kosong tersebut telah diambil tindakan untuk tempoh selewat-lewatnya enam bulan daripada tarikh pelaksanaan Gotong Royong Mega tersebut.
Pemantauan tanah lot kosong ini juga perlu dilakukan oleh semua JKN dan PBT. Oleh itu, senarai semua tanah lot kosong yang menyumbang kepada pembiakan Aedes perlu diujudkan dan bilangan yang telah dibersihkan serta Indeks Bekas (Container Index) sebelum dan selepas pembersihan hendaklah dipantau. Melalui aktiviti yang berterusan ini, ia akan memberi impak positif dalam mengurangkan tempat-tempat pembiakan Aedes dan seterusnya membendung kejadian kes denggi di negara ini.
Click to view slideshow.Seperti yang telah dipersetujui oleh Pasukan Petugas Khas Denggi ini, KPKT akan mengenal pasti Indeks Kebersihan universal yang digunakan di peringkat antarabangsa dengan segera, bagi meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara terbersih di dunia menjelang 2020. Indek ini akan di masukkan di dalam Dasar Kebersihan Nasional yang juga perlu disediakan dengan kadar segera untuk dipersetujui oleh pihak pengurusan tertinggi setiap Kementerian dan agensi terlibat.
Bagi memastikan kes denggi akan terus berkurang, adalah diharapkan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi secara bersepadu akan dipergiatkan lagi.
Sekian terima kasih.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
18 November 2015
