STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 127 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,000 kes (93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 18 Jun 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 14 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,529 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 408 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, tiga (3) kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua (2) warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap. Daripada 11 kes penularan di dalam negara, tujuh (7) kes adalah bukan warganegara manakala empat (4) kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.
Bagi kes jangkitan dalam negara (7 kes) di kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut:
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – dua (2) kes:
- satu (1) kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8455 dan kes ke-8508). Mereka adalah rakan serumah;
- satu (1) kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8498). Mereka adalah rakan serumah;
- Selangor: satu (1) kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8368). Kes baru ini merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8368;
- Sarawak: dua (2) kes saringan di tempat kerja sektor pembinaan;
- Sabah: satu (1) kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap di Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang;
- Perak: satu (1) kes saringan sebelum memohon pulang ke negara asal beliau.
Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (4 kes) pula adalah seperti berikut:
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: dua (2) kes Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil. Mereka merupakan kakitangan bertugas di sana;
- Sarawak – dua (2) kes:
- satu (1) kes saringan pra pembedahan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching;
- satu (1) kes saringan untuk ke luar negara atas urusan penting.
Sehingga kini, sebanyak empat (4) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
AKTIVITI SARINGAN PENDEKATAN TERTUMPU DI DEPOT TAHANAN
Seperti dimaklumkan sebelum ini, salah satu aktiviti pendekatan tertumpu (targeted approach) bagi kumpulan berisiko tinggi yang telah dijalankan Kerajaan adalah saringan COVID-19 di Depot Tahanan. Lokasi-lokasi ini telah dikenalpasti berisiko tinggi dalam penularan jangkitan COVID-19 susulan didapati berlakunya jangkitan COVID-19 di kalangan OKT. Susulan itu, beberapa fokus telah diberikan dalam saringan ini, iaitu:
- semua OKT yang baharu di Depot Tahanan perlu menjalani persampelan;
- semua OKT yang akan dipindah ke pusat tahanan lain perlu disampel terlebih dahulu;
- semua OKT yang bakal dihantar pulang ke negara asal perlu disampel terlebih dahulu;
- semua kakitangan yang bertugas di pusat-pusat tahanan perlu disampel;
- persampelan secara rawak sebagai penilaian risiko oleh Pejabat Kesihatan Daaerah/Jabatan Kesihatan Negeri.
Sehingga 18 Jun 2020, jam 12 tengah hari, sebanyak 13,149 individu telah menjalani persampelan di mana 782 kes telah dikesan positif COVID-19, 11,564 adalah negatif COVID-19 dan 803 masih menunggu keputusan. Daripada jumlah kes positif, tujuh (7) kes adalah di kalangan warganegara manakala 775 adalah bukan warganegara. Berikut adalah maklumat terperinci mengikut negeri:
NAMA TEMPAT |
Jumlah Kes Disampel | Jumlah Kes Positif | Jumlah Kes Negatif | Menunggu Keputusan | WN positif | BWN positif |
KL & PUTRAJAYA | 1,977 | 651 | 1,317 | 9 | 3 | 648 |
SELANGOR | 5,190 | 126 | 4,453 | 611 | 1 | 125 |
PAHANG | 332 | 0 | 332 | 0 | 0 | 0 |
PULAU PINANG | 1,548 | 0 | 1,442 | 106 | 0 | 0 |
PERAK | 8 | 0 | 8 | 0 | 0 | 0 |
TERENGGANU | 566 | 0 | 566 | 0 | 0 | 0 |
SABAH | 1,853 | 3 | 1,773 | 77 | 2 | 1 |
JOHOR | 993 | 0 | 993 | 0 | 0 | 0 |
KELANTAN | 0 | 0 | 0 | 0 | 0 | 0 |
LABUAN | 0 | 0 | 0 | 0 | 0 | 0 |
MELAKA | 682 | 2 | 680 | 0 | 1 | 1 |
JUMLAH | 13,149 | 782 | 11,564 | 803 | 7 | 775 |
Setelah kes COVID-19 dikenalpasti, mereka diasingkan dan dimasukkan ke hospital untuk dirawat, dan tindakan saringan kes secara aktif (active case detection) dijalankan.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Orang awam secara amnya juga sentiasa diingatkan untuk mengamalkan nasihat kesihatan yang kerap kali diingatkan oleh KKM iaitu:
- Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
- Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – face mask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
- Elak bersalaman / bersentuhan;
- Amalkan etika batuk dan bersin;
- Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
- Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
- Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Selain itu, sentiasa ingatlah kepada S.O.P, iaitu:
- S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah PKPB;
- O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
- P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
18 Jun 2020 @ 5.00 petang
BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
(SEHINGGA 18 JUN 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)
NEGERI | BILANGAN KES BAHARU *( ) | BILANGAN KES KUMULATIF |
PERLIS | 0 | 18 |
KEDAH | 0 | 96 |
PULAU PINANG | 0 | 121 |
PERAK | 1 | 258 |
SELANGOR | 2 (1) | 2,006 |
NEGERI SEMBILAN | 0 | 994 |
MELAKA | 0 | 255 |
JOHOR | 2 (2) | 686 |
PAHANG | 0 | 365 |
TERENGGANU | 0 | 111 |
KELANTAN | 0 | 156 |
SABAH | 1 | 362 |
SARAWAK | 4 | 565 |
W.P. KUALA LUMPUR | 4 | 2,422 |
W.P. PUTRAJAYA | 0 | 97 |
W.P. LABUAN | 0 | 17 |
JUMLAH KESELURUHAN | 14 (3) | 8,529 |
*( ) adalah merujuk kepada kes-kes import