Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 26 Jun 2020 – Situasi Terkini Rabies Di Sarawak

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan satu (1) kes baharu disahkan rabies iaitu seorang lelaki berumur 62 tahun dari Sibu, Sarawak. Pesakit telah meninggal dunia pada 23 Jun 2020 jam 7.00 petang semasa dalam perhatian rapi pakar perubatan di Hospital Sibu. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Mendiang telah digigit oleh seekor anjing milik saudaranya di betis kanannya semasa mengunjungi rumah saudaranya di Jalan Sentosa Barat, Sibu pada 12 Mei 2020. Beliau telah mencuci luka tersebut dengan menggunakan air dan sabun selama 15 minit dan telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan. Namun beliau tidak hadir semula ke fasiliti tersebut untuk mendapatkan suntikan vaksin anti rabies.

Beliau mula mengalami lemah kaki dan sembelit pada 16 Jun 2020. Pada 19 Jun 2020, beliau telah dirujuk ke Hospital Sibu, Sarawak untuk rawatan lanjut dan telah dimasukkan ke wad pada hari yang sama. Pesakit telah meninggal dunia pada 23 Jun 2020 dengan penyebab kematian adalah rabies. Beliau telah disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 25 Jun 2020.

Dengan pengesahan ini, kes rabies pada tahun 2020 adalah dua (2). Jumlah kumulatif kes rabies di Sarawak semenjak wabak penyakit ini diisytiharkan pada 1 Julai 2017 adalah 24 kes termasuk 23 kematian.

19554799_10154506171336237_2198791464869426564_n

Risiko jangkitan rabies di Sarawak apabila digigit anjing berkeliaran atau anjing peliharaan yang dibiarkan berkeliaran adalah tinggi memandangkan banyak anjing positif rabies dikesan di negeri Sarawak. Jangkitan virus rabies kepada manusia boleh dielakkan. Justeru, KKM ingin menasihati orang awam khususnya di Sarawak supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:

  1. Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  2. Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan tanpa sebab (unprovoked) atau digigit oleh anjing liar;
  3. Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat. Elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar sebelum dan selepas menerima suntikan vaksin;
  4. Tidak mengambil / memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies;
  5. Sentiasa elakkan diri dari digigit oleh anjing atau haiwan liar memandangkan kebanyakan kawasan di Sarawak adalah positif rabies.
  6. Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif atau tiba-tiba mati, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhampiran untuk siasatan lanjut;
  7. Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  8. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

Ahli keluarga juga digesa untuk memaklumkan kepada doktor atau pihak kesihatan sekiranya terdapat dalam kalangan ahli keluarga yang digigit haiwan khususnya anjing dan kucing, bagi memastikan rawatan sewajarnya segera diberikan.

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan rabies bermula dari setiap individu dalam masyarakat. Orang ramai hendaklah sentiasa mematuhi saranan pihak kesihatan dan segala arahan pihak berkuasa dalam pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Rabies untuk memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh bagi mencapai Sarawak bebas rabies.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

26 Jun 2020


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles