STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat lapan (8) kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,817 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 12 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 11 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,114 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 172 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, lapan (8) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tujuh (7) warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara. Lapan (8) kes import tersebut adalah dari negara:
- Singapura (3 kes: 2 kes di Johor, 1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
- Filipina (3 kes di Sabah);
- Australia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
- Jepun (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).
Daripada tiga (3) kes penularan di dalam negara, dua (2) kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan satu (1) kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia.
Dua (2) kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia adalah kes saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di negeri Kedah. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Kedua-dua kes ini tidak berkait rapat antara satu sama lain.
Satu (1) jangkitan dalam negara yang melibatkan bukan warganegara pula adalah saringan tahanan baharu di lokap Balai Polis Tawau, Sabah.
Sehingga kini, terdapat satu (1) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
BERITA TULAR KES POSITIF DI LEMBAH PANTAI SEDANG DISIASAT
KKM mengambil maklum mesej pesanan ringkas yang tular disebarkan melalui aplikasi Whatsapp dan laman media sosial mengenai kes positif COVID-19 di Lembah Pantai yang melibatkan seorang pelajar dari sebuah sekolah di Seri Pantai. Namun demikian, ingin dimaklumkan bahawa pihak KKM masih sedang menyiasat lanjut kes ini. KKM telah menerima laporan dari sekolah terbabit mengenai satu (1) kes bergejala yang melibatkan seorang pelajar. Susulan itu, siasatan telah dijalankan mengikut protokol KKM, di mana sebarang kes yang dilaporkan ke KKM akan disiasat terlebih dahulu dan tindakan selanjutnya seperti pengesanan kes akan dijalankan jika perlu.
Hasil siasatan mendapati seorang pelajar Tingkatan 5 dari sekolah tersebut telah mengalami gejala muntah dan cirit- birit pada 9 Ogos 2020. Pada 10 Ogos 2020 beliau telah dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan dan seterusnya dipindahkan ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut di mana beliau telah disaring untuk Demam Denggi dan juga jangkitan COVID-19. Keputusan saringan Demam Denggi didapati positif namun pengesahan ujian COVID-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan beliau dijangkiti Demam Denggi.
Sementara menunggu pengesahan ujian makmal tersebut, pihak KKM telah memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) iaitu sebagai tindakan proaktif yang biasa dijalankan di lapangan bagi mencegah risiko penularan jangkitan. Setakat ini, seramai 34 orang pelajar dan lapan (8) orang guru dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada pelajar tersebut. Daripada jumlah tersebut seramai 28 orang telah disaring dan 14 orang lagi telah diberi arahan untuk hadir ke Klinik Kesihatan untuk persampelan.
Semua individu yang telah disaring ini diberi arahan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan. Selain itu, proses nyah cemar dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang telah dikenalpasti. Pemantauan ke atas kes bergejala ini dan semua kontak rapat beliau akan terus dipantau oleh pihak KKM. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
KKM ingin menjelaskan kepada masyarakat bahawa kes COVID-19 hanya akan dilaporkan sebagai kes positif COVID-19 selepas ianya diumumkan secara rasmi oleh KKM. Laporan dari mana-mana sumber lain akan dianggap sebagai spekulasi sehingga siasatan dijalankan dan disahkan oleh KKM. Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
KKM menyeru orang ramai agar terus amalkan nasihat-nasihat yang sering ditekankan oleh KKM sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian. Antara nasihat-nasihat tersebut adalah seperti berikut:
- Elakkan 3S / 3C :iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
- Amalkan 3W :iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
- Elakkan bersalaman / bersentuhan;
- Amalkan etika batuk dan bersin;
- Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
- Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
- Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:
- S :Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
- O :Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
- P :Penjarakan fizikal (physical distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
12 Ogos 2020 @ 5.00 petang.
BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
(SEHINGGA 12 OGOS 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)
NEGERI | BILANGAN KES BAHARU *( ) | BILANGAN KES KUMULATIF |
PERLIS | 0 | 30 |
KEDAH | 2 | 134 |
PULAU PINANG | 0 | 125 |
PERAK | 0 | 269 |
SELANGOR | 0 | 2,139 |
NEGERI SEMBILAN | 0 | 1,032 |
MELAKA | 0 | 259 |
JOHOR | 2 (2) | 749 |
PAHANG | 0 | 370 |
TERENGGANU | 0 | 114 |
KELANTAN | 0 | 160 |
SABAH | 4 (3) | 415 |
SARAWAK | 0 | 681 |
W.P. KUALA LUMPUR | 3 (3) | 2,517 |
W.P. PUTRAJAYA | 0 | 99 |
W.P. LABUAN | 0 | 22 |
JUMLAH KESELURUHAN | 11 (8) | 9,114 |
*( ) adalah merujuk kepada kes-kes import