Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all 1621 articles
Browse latest View live

Kenyataan Akhbar Presiden MPM dan KP Kesihatan 24 Julai 2019 – Surat Layak Daftar Dengan Majlis Perubatan Malaysia Bagi Graduan Perubatan

$
0
0

logo-mmc

Kenyataan ini adalah susulan terdapat beberapa graduan perubatan yang tidak berjaya mendapat Surat Layak Daftar dari Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk kegunaan permohonan lantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah.

Adalah dimaklumkan bahawa bagi seseorang graduan perubatan untuk layak berdaftar dengan MPM, graduan tersebut perlu mengemukakan ijazah asal perubatan daripada Universiti atau Kolej Perubatan yang diiktiraf MPM. Setelah mengemukakan dokumen yang diperlukan, MPM akan mengeluarkan Surat Layak Daftar kepada pemohon bagi kegunaan permohonan lantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Namun bagi memudahkan lantikan graduan perubatan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah, KKM dan MPM telah memutuskan bahawa pemberian Surat Layak Daftar juga kini dipanjangkan kepada graduan perubatan yang mengemukakan transkrip akhir universiti (keputusan peperiksaan akhir) yang ditandatangani oleh Presiden, Senat, Rektor atau Pendaftar Universiti sebagai alternatif. Kriteria ini adalah sejajar dengan Akta Perubatan 1971.

Sekiranya telah memenuhi kriteria tersebut, Surat Layak Daftar dengan nombor siri akan diberikan oleh pihak MPM kepada graduan perubatan tersebut, dan digunakan untuk pendaftaran/permohonan secara atas talian melalui SPA8i dengan pihak SPA.

Dimaklumkan juga bahawa surat Dekan yang dikeluarkan oleh Fakulti Perubatan adalah tidak diterima. Tiada perubahan dalam proses untuk permohonan bagi pelantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah.

Bagi calon-calon yang telah ditawarkan lantikan tetapi tidak mempunyai dokumen yang disebutkan sebelum ini, dinasihatkan supaya mendapatkannya dari pihak universiti atau kolej perubatan dengan kadar segera, dan dikemukakan kepada pihak MPM.

Graduan perubatan berkaitan tidak perlu khuatir kerana tawaran pelantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah kepada pemohon adalah tidak terbatal dan lantikan akan terus dibuat pada kumpulan pengambilan yang akan datang setiap dua bulan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA,

MERANGKAP

PRESIDEN MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA

 

24 Julai 2019


Kenyataan Akhbar KPK 28 Julai 2019 – Sambutan Hari Hepatitis Sedunia Tahun 2019

$
0
0

Dunia akan menyambut Hari Hepatitis Sedunia pada 28 Julai setiap tahun. Tema sambutan di peringkat antarabangsa iaitu “Finding the missing millions” manakala untuk Malaysia “MY missing millions” adalah amat penting bagi kita untuk mengesan seramai mungkin orang yang dijangkiti Viral Hepatitis bagi membolehkan rawatan segera diberikan.

Di Malaysia, kadar notifikasi Hepatitis B menunjukkan peningkatan dalam masa 5 tahun kebelakangan ini iaitu daripada 12.94 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2014, kepada 14.52 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2018. Bagi Hepatitis C pula, dianggarkan sebanyak 3,000 kes jangkitan baru dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada setiap tahun. Pada tahun 2018, sebanyak 2,842 kes baru Hepatitis C telah dilaporkan dengan kadar notifikasi 8.77 bagi setiap 100,000 penduduk.

Untuk makluman, vaksin Hepatitis B adalah penting bagi memberi perlindungan daripada jangkitan penyakit Hepatitis B. Sejak tahun 1989, KKM memberikan imunisasi vaksin Hepatitis B sebanyak tiga dos kepada semua bayi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan. Pemberian vaksin Hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas lahir adalah 95% efektif dalam mencegah daripada jangkitan virus Hepatitis B dalam tempoh perinatal. Terdapat rawatan bagi penyakit Hepatitis B yang disediakan di fasiliti kesihatan. Manakala bagi jangkitan Hepatitis C, tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan, namun begitu pada amnya boleh dirawat dan disembuhkan dengan pengambilan ubat Direct Acting Antiviral (DAAs).

Bersempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia ini, KKM telah berjaya melaksanakan kempen saringan Hepatitis C di 112 fasiliti KKM (49 buah hospital dan 63 buah klinik kesihatan) dengan kerjasama Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi), Foundation for Innovative New Diagnostics (FIND) dan Pharmaniaga. Kempen tersebut telah dijalankan pada 15 – 21 Julai 2019 di mana sebanyak 11,000 Hepatitis C Virus Rapid Diagnostic Test Kits yang disumbangkan pihak FIND telah digunakan.

Click to view slideshow.

Selain itu, di antara aktiviti-aktiviti kesihatan yang dijalankan bersempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia adalah penganjuran kempen “Koi Sihat” di Rompin, Pahang yang turut melaksanakan saringan Hepatitis B di kalangan warga Orang Asli. Aktiviti pendidikan kesihatan dan advokasi mengenai viral hepatitis juga dijalankan semasa Sambutan Hari Penderma Darah pada 22 Jun 2019 dan semasa aktiviti kesihatan yang dijalankan di Sabah.

Hepatitis adalah satu penyakit yang menyebabkan keradangan hati akibat jangkitan virus hepatitis A, B, C, D atau E. Hepatitis A dan E biasanya disebabkan oleh pengambilan makanan atau air yang tercemar. Manakala jenis B, C dan D membawa kepada penyakit kronik dan merupakan punca utama kepada sirosis (parut) hati dan kanser hati.

Seseorang boleh dijangkiti Hepatitis B atau C apabila terdedah secara langsung dengan darah daripada seseorang yang dijangkiti menerusi luka, perkongsian jarum dan hubungan seks. Ia juga boleh menular daripada ibu kepada bayi ketika proses kelahiran.

cegah hep c

KKM menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat dan mengelakkan diri daripada risiko jangkitan. Adalah disarankan juga agar tidak berkongsi alat kebersihan diri peribadi tertentu seperti ketip kuku, berus gigi, pisau cukur dan lain-lain kerana ia boleh menyebabkan luka di mana virus boleh menular. Pesakit Hepatitis juga dinasihatkan agar tidak menderma darah kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kepada penerima darah. Amalan hubungan seks secara selamat juga dapat mencegah daripada penularan jangkitan.

Bagi mereka yang terdedah kepada risiko jangkitan viral hepatitis adalah dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan viral hepatitis bagi mengesan jangkitan dan seterusnya diberikan rawatan awal. Ibubapa dinasihatkan untuk memastikan anak mereka diberi imunisasi Hepatitis B yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Sebarang maklumat lanjut mengenai viral hepatitis dan vaksin hepatitis boleh diperolehi daripada laman sesawang Portal MyHealth dan Infosihat. Khidmat nasihat berkaitan viral hepatitis juga boleh didapati daripada anggota kesihatan di fasiliti kesihatan.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

28 JULAI 2019

Kenyataan Akhbar KPK 28 Julai 2019 – Makluman Mengenai Kes Denggi & Influenza yang Dilaporkan di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum bahawa semenjak kebelakangan ini terdapat sejumlah siaran dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia mengenai peningkatan kes denggi dan kejadian jangkitan influenza tempatan.

FB CPRC Dengue

Source: FB CPRC Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia

Khusus bagi kes denggi, Kenyataan Akhbar mingguan terkini mengenainya telah dikeluarkan pada 23 Julai 2019. Melaluinya, pihak KKM telah melaporkan bahawa kes denggi pada minggu ke 29/2019 (bagi tempoh 14 hingga 20 Julai 2019) merupakan antara jumlah kes yang tertinggi direkodkan semenjak tahun 2017. Maklumat lanjut mengenainya yang meliputi langkah kawalan dan pencegahan yang berkaitan telah diperincikan melalui Kenyataan Akhbar tersebut. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai situasi denggi di laman Facebook CPRC Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia dan laman sesawang iDengue di pautan http://idengue.remotesensing.gov.my/idengue/.

Berbeza dengan denggi, jangkitan influenza tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan / notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Namun begitu, data proksi bagi tren jangkitan influenza yang berlaku dalam kalangan masyarakat di Malaysia direkodkan daripada aktiviti survelan yang dijalankan melibatkan beberapa lokasi sentinel di seluruh negara.

Secara amnya, kejadian berkaitan jangkitan pernafasan meliputi influenza di Malaysia sentiasa dipantau rapi oleh KKM bagi mengesan situasi kejadian luar biasa melalui sistem survelan tersebut. Pemantauan tersebut meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan severe acute respiratory infection (SARI). Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga bertanggungjawab bagi memantau sebarang perubahan kepada virus influenza yang terdapat di Malaysia. Berdasarkan tren yang direkodkan daripada aktiviti survelan tersebut, kes ILI didapati mencatatkan peningkatan dalam julat normal sejak bulan Jun 2019. Tren yang direkodkan ini adalah hampir sama berbanding tren pada tahun-tahun sebelumnya. Begitu juga, analisa terhadap virus influenza yang dikesan daripada aktiviti survelan ini tidak menunjukkan sebarang tanda ianya telah mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baru (novel virus).

influenza

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan. Demam selsema atau flu adalah sangat mudah berjangkit. Oleh itu, penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem tentera atau polis. Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain. Komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi ini juga berpotensi untuk menyebabkan kematian.

Oleh itu, orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi secara khususnya adalah amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara. Begitu juga, terdapat rawatan yang berkesan bagi merawat jangkitan influenza. Justeru, mendapatkan rawatan segera bagi gejala jangkitan yang dialami adalah amat penting bagi mengelakkan ianya daripada menjadi bertambah serius dan menimbulkan komplikasi jangkitan yang tidak diingini.

cegah influenza

Bagi mencegah penularan jangkitan influenza, KKM ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat. Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza adalah dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (face mask). Orang awam diminta segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan untuk mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk / sakit tekak yang berterusan.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

28 JULAI 2019

Kenyataan Akhbar KPK 1 Ogos 2019 – Nasihat Penjagaan Kesihatan Semasa Jerebu

$
0
0
Jerebu

Sumber foto: BERNAMA

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah melaporkan beberapa negeri di tanah air bakal menerima tempias jerebu susulan kebakaran hutan di lima (5) wilayah di Indonesia. Jerebu akan berlaku berterusan dalam tempoh sekitar tujuh hari berikutan monsun Barat Daya dengan cuaca kering dan stabil. Jerebu rentas sempadan dari Sumatera boleh mempengaruhi keadaan terutamanya di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan di sebelah utara  semenanjung seperti Pulau Pinang. Sehingga jam 3 petang hari ini, bacaan Indek Pencemar Udara (IPU) di seluruh negara berada di tahap sederhana kecuali  terdapat dua (2)  kawasan yang merekodkan bacaan tahap tidak sihat iaitu Johan Setia, Selangor dan Rompin, Pahang di mana terdapat kebakaran di kawasan berkenaan.

tips jerebu.jpg

Orang ramai diminta supaya peka dengan perubahan kepada tahap kualiti udara di kawasan masing-masing. Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan sebagaimana berikut:

  1. Kurangkan aktiviti fizikal yang menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu dan cuaca panas;
  2. Sentiasa berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai dan pelindung diri seperti payung dan topi;
  3. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman;
  4. Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan;
  5. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari). Ini adalah bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan;
  6. Kerapkan mandi bagi menyejukan badan. Elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan;
  7. Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar; dan
  8. Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.

Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu dan cuaca panas menerusi laman sesawang KKM seperti berikut:

https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/51-jerebu

http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183

http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan/

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia  

1 Ogos 2019

 

Kenyataan Akhbar KPK 6 Ogos 2019 – Produk-Produk Kosmetik Yang Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

$
0
0
  1. Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti di bawah:

Screen Shot 2019-08-06 at 10.26.43 AM

  1. Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan. Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia. 

 

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

  1. Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.  Merkuri boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

 

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK KOSMETIK INI

  1. Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
  2. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

 

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

  1. Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
  2. Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://www.npra.gov.my/

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

6 Ogos 2019

 

Screen Shot 2019-08-06 at 10.32.15 AMScreen Shot 2019-08-06 at 10.32.27 AMScreen Shot 2019-08-06 at 10.48.29 AM

Kenyataan Akhbar KPK 6 Ogos 2019 – Latihan Simulasi Lapangan Avian Influenza Kebangsaan 2019 di Negeri Pahang pada 5 hingga 7 Ogos 2019

$
0
0

Avian Influenza (AI) adalah penyakit selsema dalam kalangan unggas. Jangkitan AI daripada unggas kepada manusia boleh berlaku jika terdedah kepada unggas yang dijangkiti dengan virus selsema burung tersebut. Kadar kematian dalam kalangan orang yang dijangkiti virus “highly pathogenic avian influenza (HPAI)” di negara-negara endemik penyakit ini adalah tinggi iaitu 60%. Sehingga kini, tiada kes disahkan AI dilaporkan dalam kalangan penduduk Malaysia.

Malaysia bebas daripada HPAI dalam kalangan unggas dari 2007 sehingga bulan Mac 2017 apabila berlakunya wabak H5N1 dalam kalangan ayam di Kelantan. Pada bulan Ogos 2018, berlaku pula wabak H5N1 dalam kalangan ayam di Sabah. Namun begitu, tiada kes dalam kalangan manusia dilaporkan dalam kedua-dua kejadian tersebut.

Sebagai langkah kesiapsiagaan, Latihan Simulasi AI Kebangsaan dijalankan setiap tahun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) dan Malaysia One Health University Network (MyOHUN). Objektif latihan simulasi adalah untuk menguji kesiapsiagaan anggota KKM dalam pengurusan kes di klinik, hospital dan juga di lapangan. Kekuatan dan kelemahan di setiap peringkat akan dikenalpasti untuk dibuat penambaikan bagi membantu meningkatkan kesiapsiagaan anggota dalam mengendalikan kes AI pada masa hadapan. Latihan simulasi ini juga menguji koordinasi antara pelbagai agensi yang terlibat dalam mengendalikan kes AI.

Sejak tahun 2011, latihan simulasi AI peringkat kebangsaan telah berjaya dianjurkan di enam (6) buah negeri iaitu di Johor, Sarawak, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan. Bagi tahun 2019, Latihan Simulasi AI Peringkat Kebangsaan diadakan pada 5 hingga 7 Ogos 2019 di Negeri Pahang. Latihan 2019 ini melibatkan fasiliti kesihatan KKM di Daerah Pekan dan Jerantut. Manakala DVS Malaysia terlibat dalam pengendalian unggas di Pekan dan Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam pengendalian kes manusia. Manakala Sapura Sdn. Bhd. terlibat dalam pengujian sistem komunikasi Government Integrated Radio Network (GIRN).

Click to view slideshow.

Latihan simulasi ini telah dijalankan dengan jayanya dan mencapai objektif yang ditetapkan. Kerjasama sedemikian akan diteruskan pada masa hadapan. Penambahbaikan dokumen dan prosedur berkaitan akan dibuat dengan mengambilkira cadangan dan ulasan daripada semua pegawai-pegawai penilai yang terlibat.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 OGOS 2019

 

Kenyataan Akhbar Presiden MPM 7 Ogos 2019 – Majlis Perubatan Malaysia Tidak Berkompromi Dalam Kendali Siasatan Tata Etika dan Professionalisma Pegawai Perubatan Berdaftar

$
0
0

Screen Shot 2019-08-07 at 12.47.10 PM

Majlis Perubatan Malaysia Tidak Berkompromi Dalam Kendali Siasatan Tata Etika Dan Professionalisma Pegawai Perubatan Berdaftar

  1. Majlis Perubatan Malaysia ingin merujuk kepada laporan beberapa media masa dan media atas talian pada 5 Ogos 2019, di mana Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dilaporkan telah mengesan kegiatan rangkaian sindiket membabitkan doktor perubatan yang menjual laporan perubatan untuk memastikan tuntutan pampasan difailkan pencarum mendapat kelulusan mudah. Laporan-laporan media tersebut juga melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO menyatakan bahawa tiada tindakan lanjut yang dibuat oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM) bagi mengatasi masalah ini.
  2. Adalah dimaklumkan bahawa mana-mana kegiatan jenayah dan sindiket berkaitan salah laku jenayah penipuan dan pemalsuan perlulah dilaporkan bagi disiasat pihak berwajib misalnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Aduan juga boleh dikemukakan kepada pihak MPM bagi menyiasat salah laku Pegawai Perubatan Berdaftar dari aspek tata etika dan professionalisma seorang doktor perubatan.
  3. Apabila MPM menerima sebarang aduan daripada pengadu bernama mengenai salah laku tata etika dan professionalisma mana-mana Pegawai Perubatan Berdaftar, aduan ini akan disiasat mengikut Akta Perubatan 1971 dan Peraturan-peraturannya, serta akan melalui suatu proses inkuiri yang telah ditetapkan oleh Peraturan Perubatan 1974 dan Pindaan 2017. Antara tatacara yang sangat penting dalam proses inkuiri ini adalah pembuktian mana-mana dakwaan yang dibuat oleh pengadu/pelapor bernama tersebut. Ini kerana setiap pengadilan adalah berlandaskan pembuktian kepada salah laku yang dilaporkan. Pihak yang mempunyai bukti adalah dipohon mengemukakannya kepada pihak MPM kerana ini akan membantu MPM untuk menyiasat secara lebih menyeluruh dan terperinci aduan yang dikemukakan.
  4. Selaras dengan fungsi MPM iaitu untuk membimbing doktor-doktor dan menjaga keselamatan serta kesejahteraan pesakit, pihak MPM ingin memberi jaminan bahawa ia tidak akan berkompromi dalam menyiasat aduan, tidak kiralah aduan berkaitan doktor perubatan di sektor awam, universiti, swasta mahupun di Badan Bukan Kerajaan. Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang isu mengenai Pegawai Perubatan Berdaftar yang tidak beretika bolehlah menyalurkan aduan mereka kepada pihak Sekretariat MPM. Untuk maklumat lanjut, layari http://mmc.moh.gov.my/index.php/information/ethics-complaint-ethical.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

PRESIDEN MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA

 

7 Ogos 2019

Kenyataan Akhbar KPK 10 Ogos 2019 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai satu (1) kes baharu disahkan rabies iaitu seorang lelaki berumur 46 tahun dari Kota Padawan, Kuching, Sarawak. Beliau telah disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 9 Ogos 2019. Pesakit telah meninggal dunia pada 7 Ogos 2019 jam 2.51 pagi. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Kes ini mempunyai sejarah digigit oleh anak anjing peliharaannya di bahagian belakang tapak tangan kanannya pada 15 Jun 2019. Ia berlaku semasa beliau menangkap anjing tersebut yang merayau di luar kawasan rumahnya. Pada hari yang sama juga anak perempuan beliau yang berumur lapan (8) tahun telah digigit oleh anjing tersebut. Anak anjing ini diambil daripada seorang rakan beliau yang tinggal di Kuching pada penghujung bulan Mei 2019 lalu dengan status pelalian rabies anjing tersebut tidak diketahui.

Pada hari kejadian, kedua-dua beranak ini telah mencuci luka tersebut selama 15 minit. Kes telah membawa anaknya ke Klinik Kesihatan pada 17 Jun 2019 dan telah dirujuk ke Post Bite Clinic (PBC) di Hospital Umum Sarawak (HUS). Pada keesokan harinya, beliau membawa anaknya ke PBC dan telah diberi dos pertama vaksin rabies. Sepanjang kes membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan termasuk lawatan susulan ke klinik bagi melengkapkan pemberian vaksin rabies, beliau tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana kakitangan kesihatan bahawa beliau juga telah digigit oleh anjing tersebut.

Pada 29 Julai 2019, kes mula mengalami demam, sakit kepala dan rasa lenguh di bahu kanannya. Beliau telah mendapatkan rawatan di dua (2) buah Klinik Kesihatan berbeza pada 31 Julai 2019 dan 2 Ogos 2019 tetapi tidak juga memaklumkan sejarah digigit anjing. Pada 3 Ogos 2019, kes telah mendapatkan rawatan di HUS apabila gejala bertambah teruk dan akhirnya memaklumkan bahawa beliau mempunyai sejarah digigit oleh anjing. Berikutan itu, beliau telah dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit HUS. Keadaan kes pada masa itu adalah agresif, hydrophobia, aerophobia, demam, sakit kepala dan lemah di bahagian tangan. Keadaan kes bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia pada 7 Ogos 2019 jam 2.51 pagi.  Buat masa ini anak perempuan yang telah digigit oleh anjing yang sama berada dalam keadaan sihat dan dalam pemantauan pihak kesihatan.

Dengan pengesahan ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 adalah 20 kes; termasuk 19 kematian. Daripada 20 kes tersebut, empat (4) kes berlaku pada tahun 2019.

Kes ini merupakan kes keempat mangsa gigitan oleh anjing yang diambil daripada individu lain dengan status vaksinasi rabies haiwan tersebut tidak diketahui. Justeru, KKM ingin sekali lagi memberi penekanan kepada orang ramai khususnya di Sarawak agar TIDAK MENGAMBIL / MEMUNGUT ANJING atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun ia berada dalam kawasan kejiranan kerana dikhuatiri kemungkinan haiwan tersebut telah dijangkiti virus rabies dan ia sedang dalam tempoh pengeraman sebelum haiwan menunjukkan gejala.

19554799_10154506171336237_2198791464869426564_n

KKM juga ingin menegaskan bahawa SELEPAS MENCUCI LUKA GIGITAN dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 MINIT, mangsa gigitan perlu SEGERA mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan. Sentiasa elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan liar memandangkan kebanyakan kawasan di Sarawak adalah positif rabies. Risiko jangkitan rabies disebabkan gigitan anjing dan haiwan lain di Sarawak adalah tinggi memandangkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sarawak pernah melaporkan bahawa 40% daripada anggaran 1,000 ekor anjing di negeri itu yang telah dijalankan ujian rabies ke atasnya adalah positif virus rabies. Ahli keluarga juga digesa untuk memaklumkan kepada doktor atau pihak kesihatan sekiranya terdapat di kalangan ahli keluarga yang digigit haiwan bagi memastikan rawatan sewajarnya segera dapat diberikan.

Orang ramai dikehendaki sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberi kerjasama dalam pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Rabies yang dijalankan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh bagi mencapai Sarawak bebas rabies.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

10 OGOS 2019


Press Statement President of MMC 13th August 2019 – Membership Of The Malaysian Medical Council Under The Medical Act 1971 (Amendment 2012)

$
0
0

The Malaysian Medical Council (MMC) is represented by 33 medical practitioners from various sectors of the medical profession throughout Malaysia as provided for by the Medical Act 1971 (Amendment 2012).

Members are from those appointed by the Minister of Health from the Ministry of Health, the Ministry of Higher Education and the private health sector. In addition to those appointed, there are members who are determined by elections. This provides an opportunity for medical practitioners from institutions other than mentioned above to have a vote in the Council and to determine the direction of the medical profession in Malaysia.

The duration of each membership is 3 years.

On 28 July 2019, the Council concluded the elections to replace 9 outgoing members representing Peninsular Malaysia whose tenures ended on 13 August 2019. The practitioners who were successfully elected, in alphabetical order, are as follows:

  1. Dato’ Sri Dr. Abu Hassan Asaari Bin Abdullah;
  2. Dr. Ahmad Mahyuddin Bin Mohamed;
  3. Dato’ Dr. Anuar Zaini Bin Md. Zain;
  4. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid;
  5. Datuk Dr. Kuljit Singh A/L Mahindar Singh.
  6. Dr. Milton Lum Siew Wah;
  7. Dr. Nor Hayati Othman;
  8. Dr. Suhazeli Bin Abdullah;
  9. Tan Sri Dato’ Dr. Yahya Bin Awang;

Their tenures commence on 14 August 2019.

I would like to thank the outgoing members, namely Dato’ Dr. Abdul Hamid Bin Abdul Kadir, Dato’ Dr. Zaki Morad Bin Mohd Zaher, Dr. David Quek Kwang Leng, Prof. Datuk Dr. Abdul Razzak Bin Mohd Said, Dr. Fadzilah Binti Hasan and Datuk Dr. Zainal Ariffin Bin Omar for their dedication and outstanding service while being members of the Council

The membership of the Council now stands as below:

mmc1mmc2mmc3mmc4mmc5

Council members have an obligation to uphold the trust of the public and the dignity of the medical profession. I have faith that they will contribute to the Council with responsibility, dedication and commitment.

Thank you.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

President/Returning Officer

Malaysian Medical Council

13th August 2019

Kenyataan Akhbar KPK 14 Ogos 2019 – Produk Tidak Berdaftar dan Kosmetik Tidak Bernotifikasi yang Menyalahi Undang-Undang Dirampas

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah berjaya merampas beberapa jenis produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai hampir RM200 ribu dalam satu operasi yang dijalankan serentak pada 1 Ogos 2019 di tiga buah premis iaitu masing-masing di Ipoh, Seri Manjung dan Lumut.

Maklumat awal berkaitan penjualan produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi ini telah dikesan melalui aktiviti pemantauan di media sosial yang dijalankan oleh pihak CPF Negeri. Risikan terhadap maklumat awal ini menunjukkan suspek memiliki 3 premis yang menjalankan aktiviti jualan tersebut. Semua premis berkaitan merupakan salah satu rangkaian pengedar terbesar bagi produk-produk tersebut di sekitar negeri Perak.

Hasil operasi ini telah menemui lebih 8,000 unit produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi. Produk yang telah dirampas adalah merangkumi pelbagai jenis produk tidak berdaftar dan makanan yang disyaki dicemari perangsang seks seperti Candy B+ Complex, Soloco, Hickel dan Vimax; ubat kurus tidak berdaftar seperti Surut Ayu dan Li Da; dan produk kesihatan dicemari steroid seperti Al-Barakah Ayam Selasih dan Bella Formula Sinus Care.

Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Jika disabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

KKM mengingatkan kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjual produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan produk-produk tersebut tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya. KKM menyarankan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik melalui media sosial. Orang ramai perlu menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400. Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan tersebut.

pastikan semak sebelum klik

 

Sebarang aduan berkaitan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi di pasaran.

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

14 OGOS 2019

Kenyataan Akhbar KPK 23 Ogos 2019 – Tindakan Penguatkuasaan Oleh Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia Berkaitan Isu Tular Pelajar Menghisap Rokok Elektronik

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu yang telah dibangkitkan oleh badan-badan professional dan badan-badan bukan kerajaan serta  isu yang tular di media sosial berkaitan pelajar sekolah yang terlibat di dalam aktiviti menghisap rokok elektronik. KKM ingin memaklumkan bahawa satu tindakan operasi bersepadu telah dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Ibu Pejabat KKM bersama bersama Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam (Sektor Inspektorat dan Perundangan) di seluruh negara pada 20 Ogos 2019.

ps1

Penguatkuasaan yang telah dijalankan berkaitan isu pelajar sekolah menghisap rokok elektronik  adalah dengan menggunakan peruntukan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 iaitu kesalahan menjual cecair atau sebarang persediaan yang mengandungi nikotin sebagai bahan yang tidak didaftarkan sebagai ubat dan Akta Makanan 1983 (Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004) Peraturan 13 iaitu larangan penggunaan dan pemilikan  tembakau termasuk rokok elektronik di kalangan orang belum dewasa. Operasi ini dilaksanakan hasil aduan dan maklumat yang diterima oleh pihak KKM berkenaan penjualan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin kepada pelajar sekolah.

Di dalam operasi tersebut sebanyak 78 premis penjual telah diperiksa dan BPF telah merampas cecair rokok elektronik yang disyaki mengandungi Nikotin sebanyak 66,988 botol atau bekas. Jumlah keseluruhan rampasan cecair rokok elektronik bagi pemeriksaan ini dianggarkan bernilai RM 1.4 juta. Sebarang persediaan yang mengandungi Nikotin merupakan Racun Kumpulan C adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952. Oleh yang demikian, pembekalan dan penjualan  sebarang persediaan yang mengandungi Nikotin hanya dibenarkan oleh Ahli Farmasi yang berlesen dan Pengamal Perubatan berdaftar  bagi tujuan rawatan.

ps4ps5

Di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, sebarang persediaan yang mengandungi Nikotin perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Pengilangan, pemilikan dan penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Kesemua kes akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu di bawah Peraturan 13 berkaitan larangan merokok termasuk rokok elektronik terhadap Orang Belum Dewasa (berumur 18 tahun ke bawah), tiada sebarang notis kesalahan dikeluarkan. Namun begitu, kesalahan-kesalahan lain yang berkaitan di bawah PPKHT 2204 juga diambil tindakan di mana sebanyak 4 notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(a) iaitu tiada tanda larangan merokok di dalam premis dan 3 notis kesalahan di bawah Peraturan 14(1) iaitu tiada tanda larangan menjual hasil tembakau kepada Orang Belum Dewasa telah dikeluarkan.

ps2ps3

Adalah diingatkan di bawah Peraturan 13, PPKHT 2004 Orang Belum Dewasa adalah dilarang merokok, mengunyah, membeli atau mempunyai dalam milikannya apa-apa hasil tembakau, sama ada untuk kegunaan sendiri atau tidak. Orang Belum Dewasa yang didapati melakukan kesalahan ini boleh dirampas apa-apa hasil tembakau  termasuk cecair rokok elektronik di dalam milikan mereka, dan akan menerima  notis kesalahan serta boleh didenda tidak melebihi RM1,000.

Pihak KKM menasihatkan pengilang, pengedar / penjual untuk menghentikan serta merta sebarang aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan sebarang persediaan termasuk cecair rokok elektronik yang mengandungi Nikotin. Orang ramai juga dinasihatkan bahawa sebarang bentuk tabiat merokok sama ada menggunakan rokok konvensional atau rokok elektronik adalah membahayakan kesihatan. Pihak ibu bapa juga diminta untuk sama-sama mengawasi anak-anak agar tidak terlibat di dalam masalah penggunaan rokok serta rokok elektronik.

Adalah diingatkan penggunaan rokok elektronik sebagai rawatan berhenti merokok masih memerlukan kajian lanjut dan sehingga kini pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia belum mengeluarkan mana-mana kenyataan berkaitan perkara ini. Oleh yang demikian mereka yang ingin berhenti merokok adalah diminta untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri terdekat ataupun melayari laman web www.jomquit.moh.gov.my .

Langkah-langkah yang diambil ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesalahan berkaitan aktiviti pengedaran dan penjualan sebarang bentuk persediaan yang mengandungi nikotin. Langkah ini juga adalah sebagai satu usaha untuk menigkatkan kesedaran rakyat akan bahaya merokok  termasuk merokok rokok elektronik.

Orang ramai dan pihak media boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan penjualan cecair rokok elektronik mengandungi Nikotin kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia atau melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my / ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak KKM bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran. Bagi kesalahan-kesalahan lain di bawah PPKHT 2004 terutama Peraturan 13 yang berkaitan dengan larangan merokok di kalangan Orang Belum dewasa sebarang aduan boleh disalurkan kepada Sektor Kawalan Tembakau dan Urusetia FCTC di talian aplikasi Whatsapp 010-8608949  atau menghubungi talian kami di 03-88924530.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

23 Ogos 2019

 

Kenyataan Akhbar KPK 28 Ogos 2019 – Operasi Khas Pelabelan (‘Ops Label’)

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ingin memaklumkan bahawa satu operasi khas penguatkuasaan iaitu ‘Ops Label’ telah dijalankan pada 21 dan 22 Ogos 2019 di premis makanan di seluruh negara.

Objektif Ops Label adalah untuk memastikan produk makanan berbungkus yang dihasilkan di negara ini atau yang diimport mematuhi pelabelan makanan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Operasi Khas ini juga dijalankan bagi memastikan produk makanan yang dijual dilabel dengan betul dan tidak mengelirukan pengguna. Semua makanan yang diproses atau dibungkus di Malaysia perlu dilabelkan dalam Bahasa Malaysia. Manakala bagi makanan import dibenarkan dilabel dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 12,729 produk makanan telah disita dengan nilai sitaan RM 109,289.15. Sementara itu, sebanyak 110 notis hadir ke mahkamah telah dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983 kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Antara kesalahan yang dikenalpasti adalah bahasa yang digunakan pada label dan maklumat label tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985 seperti nama sebutan sebenar, senarai ramuan tidak lengkap, tiada penyataan ramuan yang boleh menyebabkan alergi (hipersensitiviti), tiada berat bersih atau isipadu dan lain-lain.

KKM juga telah meningkatkan kawalan pada pelabelan produk makanan import di pintu masuk negara sejak Mac 2018. KKM akan terus melakukan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan produk makanan yang dijual di pasaran adalah mematuhi syarat-syarat pelabelan sebagaimana yang ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Seksyen 16, Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana orang yang menyedia, membungkus, melabel atau menjual apa-apa makanan dengan suatu cara yang palsu, mengelirukan atau memperdayakan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga (3) tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna termasuk pelabelan makanan yang tidak mematuhi kehendak Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

28 OGOS 2019

Kenyataan Akhbar KPK 5 September 2019 – Hamer Ginseng & Coffee Candy yang Dicampurpalsu Racun Berjadual “Nortadalafil”

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan beberapa premis yang menjual Hamer Ginseng & Coffee Candy di sekitar Lembah Klang. Hasil analisa makmal mendapati produk tersebut mengandungi racun berjadual “Nortadalafil” dan disahkan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Nortadalafil adalah merupakan ubat terkawal yang digunakan untuk merawat masalah fungsi seksual lelaki (impotensi atau erectile dysfunction).

Semua pembekalan produk yang mengandungi racun berjadual adalah tertakluk kepada Akta Racun 1952. Nortadalafil dikelaskan sebagai Racun Kumpulan B di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952. Bagi pembekalan produk yang mengandungi racun Kumpulan B, Ahli Farmasi berlesen hanya boleh membekalkan produk tersebut (yang berdaftar dengan PBKD) kepada pesakit melalui preskripsi yang sah yang dikeluarkan oleh Pengamal Perubatan Berdaftar, Pengamal Pergigian Berdaftar atau Pegawai Veterinar.

Penggunaan Nortadalafil tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah sehingga ke peringkat yang merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung yang boleh menyebabkan kematian.

KKM melalui Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) telah membuat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas pihak yang mengilang, mengedar dan menjual produk Hamer Ginseng & Coffee Candy di pasaran. Sepanjang tahun 2018, sebanyak 6 serbuan telah dijalankan merangkumi rampasan produk sebanyak 328 paket dengan nilai rampasan sebanyak RM 2,724. Manakala, aktiviti operasi tersebut telah meningkat kepada 19 serbuan pada tahun 2019 dengan dengan nilai rampasan keseluruhan produk tersebut sebanyak RM 18,910.

Pada tahun 2019, sebanyak 87 platform melibatkan laman sesawang dan media sosial berkaitan penjualan produk Hamer Ginseng & Coffee Candy telah disaring, dipantau dan diambil tindakan sekatan di seluruh negara oleh BPF bersama-sama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook, Google, pembekal domain dan web hoster. Selain itu, sebanyak 21 notifikasi juga telah dikeluarkan kepada  pengendali e-dagang untuk menurunkan iklan-iklan penjualan produk tersebut dari tahun 2018 hingga kini. Kolaborasi bersama pihak antarabangsa seperti Interpol dan agensi kesihatan luar negara turut diadakan dalam usaha membanteras aktiviti sedemikian.

Penjualan racun berjadual tanpa lesen yang sah boleh disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM menasihatkan orang ramai yang mempunyai stok produk ini untuk menghentikan dengan SERTA MERTA semua penjualan, pengedaran atau penggunaannya. Orang ramai dan pihak media digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak KKM untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti  ini di pasaran.

 

Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

5 September 2019

Kenyataan Akhbar KPK 6 September 2019 – Waspada Dua Produk Dikesan Dicemarpalsu dengan Racun Berjadual

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan orang awam agar tidak membeli atau mengambil dua produk yang telah dikesan mengandungi racun berjadual iaitu Skinny Lolita (dikesan mengandungi Sibutramine) dan Xtreme Candy (dikesan mengandungi Tadalafil) berdasarkan analisa makmal yang dijalankan oleh pihak Health Science Authority (HSA),  Singapura.

Bagi produk Skinny Lolita, semakan mendapati produk tersebut merupakan produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sehingga kini sebanyak 81 paket produk tersebut telah dirampas oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM dengan nilai rampasan RM1,620.00. Bagi produk Xtreme Candy pula, setakat ini, tiada produk tersebut yang ditemui di pasaran di Malaysia. Bagi kedua-dua produk terbabit, tiada maklumat pengilang yang dinyatakan pada label dan bungkusan produk. Walau bagaimanapun, pemantauan berterusan terutama melibatkan penjualan dalam talian akan diteruskan bagi mengesan produk-produk ini.

Dalam usaha untuk mengekang penjualan produk-produk yang tidak berdaftar atau dicemarpalsu dengan racun dalam talian, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sentiasa membuat pemonitoran berterusan terhadap penjualan dan pengiklanan produk farmaseutikal yang dijual dalam talian termasuk di platform e-dagang (e-commerce). KKM bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pemilik platform e-dagang dalam dan luar negara sentiasa bekerjasama memastikan laman sesawang atau platform disekat daripada menjual produk tidak berdaftar dalam talian.

Penjualan produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda di bawah Akta Jualan Dadah 1952, tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Manakala bagi makanan yang ditambah dengan bahan terlarang, penyediaan atau penjualan makanan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 yang boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebih RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Bagi produk makanan, aduan boleh dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri berhampiran atau melalui melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau melalui facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

6 September 2019

Kenyataan Akhbar KPK 6 September 2019 – Produk Tradisional TYT Jiang Tang Ling Plus Dikesan Mengandungi Racun Berjadual Glibenclamide

$
0
0

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional berikut yang telah dikesan mengandungi racun berjadual glibenclamide:

Screenshot 2019-09-06 at 12.33.56Pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-338 pada 5 September 2019 berikutan pengesanan racun berjadual glibenclamide di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Screenshot 2019-09-06 at 12.42.37

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

Glibenclamide merupakan racun berjadual dan pembekalan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual adalah tertakluk kepada  Akta Racun 1952, di mana ianya hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi berlesen. Penggunaan Glibenclamide tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan paras gula yang terlalu rendah di dalam darah dan seterusnya mengakibatkan sawan atau tidak sedarkan diri kepada pesakit.

PERINGATAN

Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ daripada Google Play Store.

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 SEPTEMBER 2019


Kenyataan Akhbar KPK 10 September 2019 – Sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia: Bersama Mencegah Bunuh Diri

$
0
0

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bunuh diri berada di antara sepuluh (10) penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab kedua kematian bagi mereka yang berumur 15 – 29 tahun. Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 20 orang ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi. Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2017 mendapati tingkahlaku bunuh diri dalam kalangan remaja berumur di antara 13 hingga 17 tahun  menunjukkan peningkatan tren iaitu prevalen idea ingin bunuh diri adalah 10.0% pada tahun 2017 berbanding 7.9% pada tahun 2012, prevalen membuat perancangan untuk bunuh diri adalah 7.3% (2017) berbanding 6.4% (2012), manakala cubaan bunuh diri adalah 6.9% (2017) berbanding 6.8% (2012).

Selari dengan tema Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada tahun ini  iaitu “Working Together to Prevent Suicide” atau “Bersama Mencegah Bunuh Diri” yang menekankan ‘smart partnership’ atau usahasama pintar, semua pihak sama ada agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan perlu memainkan peranan dan tanggungjawab bersama sebagai usaha bersepadu untuk mencari jalan penyelesaian menangani isu tingkah laku bunuh diri. Ini  memandangkan faktor-faktor yang menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri adalah di luar jangkauan kesihatan seperti komorbiditi gangguan mental, penyalahgunaan substans, masalah psikososial dalam keluarga, tragedi kehidupan, masalah hubungan dan masalah kewangan.

Bunuh diri boleh dicegah. Sebagai ahli masyarakat, kita boleh mengambil tindakan untuk membantu sekiranya kita mengetahui terdapat di antara ahli keluarga, sahabat handai atau mereka yang kita kenali mengalami krisis emosi, tanda-tanda kemurungan atau berniat untuk membunuh diri dengan:

  1. Mengambil serius tentang masalah mereka;
  2. Mengambil masa untuk mendengar keluhan mereka; dan
  3. Mengambil berat dan memberikan sokongan sosial kepada mereka.

Sekiranya keadaan tidak bertambah baik, bantu mereka mendapatkan rawatan pakar atau hubungkan mereka dengan perkhidmatan yang sedia ada. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan perkhidmatan perkhidmatan saringan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental di 60 buah hospital-hospital kerajaan,1001 buah klinik kesihatan di peringkat kesihatan primer dan 25 buah Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI). Individu yang mempunyai masalah berkaitan isu-isu kesihatan mental boleh juga mendapatkan bantuan melalui  talian Hotline (bebas tol) 24 jam 03-79568145 yang dikendalikan oleh pihak The Befrienders.

KKM juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pelbagai agensi kerajaan, antaranya Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga  dan Masyarakat, NIOSH,  serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti The Befrienders, Malaysian Mental Health Association, Mental Health Foundation, Mental Illness Awareness and Support Association (MIASA), MyPerintis, Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan lain-lain kerana telah berkolaborasi dengan KKM di dalam melaksanakan program-program promosi dan pencegahan bagi menangani permasalahan mental. Di antara program-program termasuklah Program Minda Sihat Sekolah, Program Ekspresi Anak Remaja Lestari (PEARL) dan SODA (Sweat-Off Depression Away).

KKM akan terus meningkatkan  kerjasama di samping mengalu-alukan pelbagai agensi  lain untuk lebih aktif melaksanakan aktiviti mempromosikan kesihatan mental. KKM juga ingin menyeru pihak media agar lebih prihatin dalam menyampaikan fakta yang tepat tentang kesihatan mental dan mengaplikasikan pelaporan tingkah laku bunuh diri di media cetak dan elektronik berpandukan Garispanduan Pelaporan Media Mengenai Bunuh Diri terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia. Manakala orang ramai juga diminta untuk cakna terhadap isu kesihatan mental dan lebih bertanggungjawab dalam penyebaran maklumat di media sosial. Semoga usaha-usaha ini dapat lebih meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan tingkah laku bunuh diri dan mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental dan gangguan mental.

 

BERSAMA MENCEGAH BUNUH DIRI

#SAYANGI NYAWA, HIDUPKAN HARAPAN

 

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

10 September 2019

Kenyataan Akhbar KPK 10 September 2019 – Nasihat Penjagaan Kesihatan Semasa Jerebu

$
0
0

Seperti dimaklumkan oleh Jabatan Alam Sekitar, pada masa ini jerebu sedang melanda beberapa kawasan di negara kita. Keadaan ini dijangka mungkin berterusan memandangkan masih terdapat bilangan titik panas (hotspots) di Indonesia, seperti dipaparkan di laman web ASEAN Specialised Meterorological Centre (ASMC) iaitu http://asmc.asean.org/home/ .

haze

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan orang ramai supaya peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan sebagaimana berikut:

  1. Elakkan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.
  2. Oleh itu selari dengan saranan di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
  3. Banyakkan berada berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.
  4. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.
  5. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.
  6. Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan;
  7. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari).
  8. Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar; dan
  9. Sentiasa awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang mengidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.
  10. Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.

tips jerebu

Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang KKM iaitu http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183 .

KKM dengan kerjasama rapat agensi-agensi berkaitan akan terus memantau keadaan jerebu dan juga keadaan pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Klinik dan Hospital KKM. Orang ramai disaran mengikuti perkembangan semasa jerebu melalui laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA  

 10 September 2019, 6:00 petang

 

tidakansemasajerebu

Kenyataan Akhbar KPK 12 September 2019 – Penggunaan Penutup Hidung dan Mulut Ketika Jerebu

$
0
0

Susulan keadaan jerebu yang masih berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan beberapa nasihat seperti berikut, terutama berkaitan penggunaan penutup hidung dan mulut ketika jerebu:

  1. Bagi mengurangkan pendedahan kepada bahan pencemaran semasa jerebu, orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti di luar bangunan sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 100, iaitu indeks kualiti udara yang tidak sihat. Ini terutama anak-anak kecil dan mereka yang mengidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

12.9

  1. Orang ramai disaran mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/, dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU.
  1. Sekiranya terpaksa berada di luar, hadkan kepada aktiviti yang sangat penting sahaja dan pendekkan tempoh berada di luar bangunan. Elakkan aktiviti fizikal yang akan meningkatkan kadar pernafasan (Respiratory efforts) semasa berada di luar.11.9
  2. Sekiranya masih perlu melakukan aktiviti di luar, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan penutup hidung dan mulut. Penggunaan penutup hidung dan mulut N95 adalah paling berkesan untuk kegunaan ketika keadaan berhabuk dan berjerebu dengan menapis udara yang disedut oleh manusia.
  1. Namun begitu penutup hidung dan mulut N95 juga mempunyai beberapa kelemahan, misalnya ia hanya berfungsi dengan baik sekiranya dipakai dengan sempurna atau “fit”. Penutup hidung dan mulut N95 tidak direka bagi kanak-kanak, dan pemakaian sempurna (perfect fitting) adalah sukar bagi mereka yang berjanggut atau berjambang. Penggunaan penutup hidung dan mulut N95 juga boleh menyebabkan ketidakselesaan dan sukar bernafas di kalangan pengguna, lalu menyebabkan mereka sering kali mengubah kedudukannya, yang akhirnya tidak dapat melindungi pengguna secara berkesan.
  1. Penggunaan penutup hidung dan mulut tiga lapis pula bertujuan menghalang kuman yang boleh merebak melalui pernafasan, tetapi ianya tidak sekedap respirator N95. Sungguhpun begitu, penutup hidung dan mulut tiga lapis boleh dipakai sekiranya respirator N95 tidak dapat diperolehi atas pelbagai sebab. Adalah lebih baik memakai penutup hidung dan mulut tiga lapis daripada tidak memakai pelindung pernafasan langsung terutama ketika menjalankan aktiviti di luar.

Jerebu

  1. Bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru, mereka disaran untuk datang ke klinik bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya. Bagi mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang KKM iaitu http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA     

12 September 2019, 10:00 pagi

Kenyataan Akhbar KPK 14 September 2019 – Penganjuran Acara Atau Majlis Melibatkan Aktiviti Fizikal Semasa Jerebu

$
0
0

 

Berikutan keadaan jerebu yang masih melanda Malaysia dan penganjuran beberapa acara outdoor yang melibatkan aktiviti fizikal,  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan beberapa perkara seperti berikut:

  1. Semua aktiviti keramaian atau sukan outdoor (di luar bangunan) perlu ditangguhkan apabila Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100 seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan 2019. Ini adalah kerana aktiviti fizikal lasak akan meningkatkan risiko kesihatan akibat jerebu. Semasa aktiviti fizikal lasak, kadar pernafasan akan meningkat, menyebabkan jumlah udara yang disedut turut bertambah berbanding semasa rehat. Keadaan ini menyebabkan jumlah udara tercemar lebih banyak disedut masuk ke dalam sistem pernafasan.

 

  1. Sekiranya acara berkenaan diteruskan oleh pihak penganjur, peserta disaran menggunakan penutup hidung dan mulut semasa aktiviti dijalankan. Walaubagaimanapun, penggunaannya tidak menjamin dapat mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Selain itu, ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan kesukaran untuk bernafas semasa aktiviti tersebut.

 

  1. Orang ramai yang hadir untuk menonton acara tersebut dinasihatkan supaya memakai penutup hidung dan mulut serta memendekkan tempoh berada di luar bangunan. Memilih untuk tidak berada di luar adalah lebih baik. Elakkan daripada membawa kanak-kanak bagi menonton acara sukan tersebut.

 

  1. Orang ramai disaran mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/, dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU.

 

  1. Bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata atau jangkitan paru-paru, adalah disaran untuk datang ke klinik bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya. Maklumat lanjut bagi langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu boleh didapati di laman sesawang KKM http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Tindakan semasa jerebu

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

14 September 2019 

 

 

Kenyataan Akhbar KPK 19 September 2019 – Situasi Terkini Penyakit Berkaitan Jerebu di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 3 petang, 19 September 2019 yang menunjukkan dua puluh enam (26) stesen berada pada bacaan tahap sederhana, tiga puluh enam (36) stesen berada pada bacaan tahap tidak sihat dan enam (6) stesen mempunyai bacaan tahap sangat tidak sihat.

KKM memantau penyakit-penyakit berkaitan jerebu di 31 buah klinik sentinel jerebu, KKM iaitu penyakit asma, konjuntivitis dan jangkitan saluran pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection – URTI). Terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 15.8% (1,187 kepada 1,375 kes) pada minggu epid (ME) 37 (8 hingga 14 September 2019) berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun hingga 7 September 2019). Begitu juga dengan penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 24.9% (253 kepada 317 kes) pada tempoh masa yang sama manakala penyakit URTI menunjukkan penurunan sebanyak 17.3% (7,551 kepada 6,245 kes).

Asma

Konjunktivitis

URTI

KKM akan terus memantau tren penyakit-penyakit ini. Orang ramai terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu seperti berikut:

i. Mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu;

ii. Selari dengan saranan di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila Bacaan IPU melebihi 100;

iii. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan;

iv. Jika mampu, pasang alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter / purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar;

v. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman;

vi. Banyak minum air (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari) bagi mengekalkan tahap hidrasi badan;

vii. Gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) apabila melakukan aktiviti luar rumah;

viii. Kerap membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah kepada jerebu;

ix. Awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana golongan ini lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu;

x. Hidupkan alat pendingin hawa dengan mod kitaran dalam dan menutup tingkap bagi yang menggunakan kenderaan yang berdingin hawa; dan

xi. Datang ke fasiliti kesihatan terdekat bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya jika mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru. Orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang KKM iaitu http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Perkembangan semasa jerebu dan semakan bacaan IPU di lokaliti masing-masing boleh dilayari di laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/ dan ikuti saranan pihak berwajib.

KKM sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

19 September 2019

 

 

Viewing all 1621 articles
Browse latest View live