Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 7 September 2018 – Makluman Situasi Terkini Mengenai Middle East Respiratory Syndrome (MERS) di Malaysia Selepas Kepulangan Jemaah Haji 1439H / 2018M

$
0
0

MERS COV.jpg

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau dengan rapi perkembangan jangkitan Middle East Respiratory Syndrome (MERS) yang kebanyakannya sedang dilaporkan berlaku di rantau Timur Tengah, khususnya Arab Saudi. Untuk makluman, MERS-Coronovirus (MERS-CoV) adalah salah satu ahli keluarga (strain) dari kumpulan coronavirus yang boleh menyebabkan jangkitan salur pernafasan akut. Semenjak September 2012 sehingga kini, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan sejumlah 2,229 kes yang telah disahkan MERS termasuk 791 kematian dari 27 buah negara di seluruh dunia.

Semenjak Januari 2013 sehingga kini, pihak KKM telah menerima sejumlah hampir 4,435 notifikasi kes Patient Under Investigation for MERS (PUI MERS) dari seluruh negara. Kesemua kes PUI MERS yang dinotifikasikan disahkan sebagai bebas dari jangkitan MERS-CoV melalui ujian makmal yang telah dijalankan, kecuali dua (2) kes positif yang terdahulu yang masing-masing melibatkan jemaah umrah dari Batu Pahat, Johor (April 2014) dan di Klang, Selangor (Disember 2017). Bagi pemantauan melibatkan jemaah haji 1439H / 2018M yang telah pulang ke tanah air bermula pada 29 Ogos 2018 lalu, 27 kes PUI MERS telah dinotifikasikan setakat ini dan kesemua kes tersebut telah disahkan sebagai bebas dari jangkitan terbabit melalui ujian makmal yang dijalankan.

Sebagai langkah kesiapsiagaan bagi musim haji ini dan begitu juga sebelumnya, KKM juga telah bekerjasama rapat dengan pihak Lembaga Tabung Haji (LTH) khusus untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan, memantau pemberian vaksin yang diperlukan dan mengendalikan sesi taklimat mengenai MERS kepada jemaah haji yang meliputi nasihat persediaan sebelum berlepas serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan tertentu yang perlu diambil semasa mahupun selepas pulang dari menunaikan haji.

Pasukan perubatan KKM turut dihantar ke Tanah Suci sepanjang tempoh haji bagi menjaga keperluan perubatan jemaah haji. Tahap kesedaran orang awam terhadap kejadian MERS ditingkatkan melalui hebahan pendidikan kesihatan mengenai MERS dan langkah-langkah pencegahan secara berkala melalui laman sesawang KKM, sesi wawancara dan temubual di stesen radio dan televisyen tempatan. Semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta telah diberi penekanan agar sentiasa berada pada tahap optimum dalam langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon termasuklah yang melibatkan pencegahan dan kawalan infeksi di semua peringkat fasiliti kesihatan.

MERS COV2

Susulan tamat musim haji 1439H / 2018M, KKM ingin mengingatkan agar jemaah haji yang telah kembali Malaysia sentiasa memantau kesihatan sendiri. Sekiranya mengalami gejala jangkitan respiratori seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak, sila dapatkan rawatan SEGERA dan maklumkan mengenai sejarah perjalanan ke Tanah Suci kepada doktor yang merawat. Jemaah yang tidak sihat diminta untuk mengamalkan adab batuk yang baik. Tutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk dan bersin. Tisu yang digunakan perlu dibuang terus ke dalam tong sampah diikuti mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer. Jemaah yang tidak sihat juga diminta untuk menghadkan pergaulan dengan individu sihat di sekeliling mereka serta memakai penutup mulut dan hidung (mask) apabila terpaksa berhubung / berurusan dengan orang lain. Amalan menjaga kebersihan diri sepanjang masa dapat mencegah penularan jangkitan MERS.

KKM sentiasa bersiapsiaga bagi menghadapi kemungkinan kejadian jangkitan MERS di Malaysia. KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS boleh diperolehi dari laman sesawang http://www.moh.gov.my .

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

7 September 2018


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles