Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 7 September 2018 – Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada 6 September 2018, sebanyak 399 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara iaitu berkurangan sebanyak 135 kes (25.3%) berbanding 534 kes pada hari yang sama pada minggu sebelumnya (30 Ogos 2018).

Tren pelaporan kes HFMD mingguan menunjukkan penurunan sejak 5 Ogos 2018. Bagi minggu 36 (2 September hingga 6 September 2018), sebanyak 1,475 kes dilaporkan, iaitu pengurangan sebanyak 140 kes (8.7%) berbanding 1,615 kes pada tempoh yang sama pada minggu sebelumnya (26 Ogos hingga 30 Ogos 2018).

Jumlah keseluruhan kes HFMD dari 1 Januari 2018 sehingga 6 September 2018 adalah 58,693 kes. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding dengan jumlah kes tahun 2017 dan kesemua negeri menunjukkan pertambahan kes.

Screen Shot 2018-09-07 at 16.41.28

Tiada kes kematian HFMD yang baru dilaporkan. Kematian disebabkan HFMD dan jangkitan EV71 kekal dua (2) kes, iaitu masing-masing satu (1) di Sarawak dan satu (1) di Pulau Pinang.

Memandangkan pada bulan September 2018, terdapat beberapa cuti panjang pada hujung minggu, dijangka orang ramai akan mengunjungi tempat-tempat awam termasuk taman permainan. Justeru itu, ibu bapa diminta untuk memastikan semua ahli keluarga khususnya anak-anak kecil sentiasa dalam keadaan sihat dan mengamalkan kebersihan diri yang betul. Sekiranya anak didapati tidak sihat dan mempunyai gejala HFMD, mereka hendaklah dibawa segera ke klinik untuk menerima rawatan. Elakkan menghantar mereka ke sekolah atau membawa ke tempat-tempat awam yang sesak termasuk kawasan permainan.

HFMD 2

Kawasan permainan khususnya indoor playground yang tidak bersih boleh menjadi punca penularan penyakit berjangkit termasuk HFMD. KKM menyeru pengusaha-pengusaha indoor playground supaya memberi penekanan kepada lima (5) perkara utama berikut, iaitu:

  1. Meletakkan papan tanda mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk menjaga kebersihan kawasan permainan tersebut;
  2. Menyediakan hand sanitiser di pintu masuk indoor playground dan memastikan kanak-kanak menggunakannya sebelum masuk dan apabila keluar dari taman permainan ini;
  3. Membuat saringan gejala HFMD di pintu masuk indoor playground dan membenarkan kanak-kanak yang sihat sahaja masuk;
  4. Memastikan kebersihan indoor playground sentiasa dijaga; dan
  5. Menjalankan nyah kuman (disinfection) peralatan mainan setiap hari.

Diharapkan langkah pencegahan yang diamalkan oleh semua pihak dapat menyekat penularan HFMD ini daripada merebak, seterusnya menyumbang kepada penurunan kes HFMD di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

7 September 2018


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles