Dunia akan menyambut Hari Hepatitis Sedunia pada 28 Julai setiap tahun. Tema sambutan di peringkat antarabangsa iaitu “Finding the missing millions” manakala untuk Malaysia “MY missing millions” adalah amat penting bagi kita untuk mengesan seramai mungkin orang yang dijangkiti Viral Hepatitis bagi membolehkan rawatan segera diberikan.
Di Malaysia, kadar notifikasi Hepatitis B menunjukkan peningkatan dalam masa 5 tahun kebelakangan ini iaitu daripada 12.94 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2014, kepada 14.52 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2018. Bagi Hepatitis C pula, dianggarkan sebanyak 3,000 kes jangkitan baru dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada setiap tahun. Pada tahun 2018, sebanyak 2,842 kes baru Hepatitis C telah dilaporkan dengan kadar notifikasi 8.77 bagi setiap 100,000 penduduk.
Untuk makluman, vaksin Hepatitis B adalah penting bagi memberi perlindungan daripada jangkitan penyakit Hepatitis B. Sejak tahun 1989, KKM memberikan imunisasi vaksin Hepatitis B sebanyak tiga dos kepada semua bayi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan. Pemberian vaksin Hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas lahir adalah 95% efektif dalam mencegah daripada jangkitan virus Hepatitis B dalam tempoh perinatal. Terdapat rawatan bagi penyakit Hepatitis B yang disediakan di fasiliti kesihatan. Manakala bagi jangkitan Hepatitis C, tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan, namun begitu pada amnya boleh dirawat dan disembuhkan dengan pengambilan ubat Direct Acting Antiviral (DAAs).
Bersempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia ini, KKM telah berjaya melaksanakan kempen saringan Hepatitis C di 112 fasiliti KKM (49 buah hospital dan 63 buah klinik kesihatan) dengan kerjasama Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi), Foundation for Innovative New Diagnostics (FIND) dan Pharmaniaga. Kempen tersebut telah dijalankan pada 15 – 21 Julai 2019 di mana sebanyak 11,000 Hepatitis C Virus Rapid Diagnostic Test Kits yang disumbangkan pihak FIND telah digunakan.
Click to view slideshow.Selain itu, di antara aktiviti-aktiviti kesihatan yang dijalankan bersempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia adalah penganjuran kempen “Koi Sihat” di Rompin, Pahang yang turut melaksanakan saringan Hepatitis B di kalangan warga Orang Asli. Aktiviti pendidikan kesihatan dan advokasi mengenai viral hepatitis juga dijalankan semasa Sambutan Hari Penderma Darah pada 22 Jun 2019 dan semasa aktiviti kesihatan yang dijalankan di Sabah.
Hepatitis adalah satu penyakit yang menyebabkan keradangan hati akibat jangkitan virus hepatitis A, B, C, D atau E. Hepatitis A dan E biasanya disebabkan oleh pengambilan makanan atau air yang tercemar. Manakala jenis B, C dan D membawa kepada penyakit kronik dan merupakan punca utama kepada sirosis (parut) hati dan kanser hati.
Seseorang boleh dijangkiti Hepatitis B atau C apabila terdedah secara langsung dengan darah daripada seseorang yang dijangkiti menerusi luka, perkongsian jarum dan hubungan seks. Ia juga boleh menular daripada ibu kepada bayi ketika proses kelahiran.
KKM menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat dan mengelakkan diri daripada risiko jangkitan. Adalah disarankan juga agar tidak berkongsi alat kebersihan diri peribadi tertentu seperti ketip kuku, berus gigi, pisau cukur dan lain-lain kerana ia boleh menyebabkan luka di mana virus boleh menular. Pesakit Hepatitis juga dinasihatkan agar tidak menderma darah kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kepada penerima darah. Amalan hubungan seks secara selamat juga dapat mencegah daripada penularan jangkitan.
Bagi mereka yang terdedah kepada risiko jangkitan viral hepatitis adalah dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan viral hepatitis bagi mengesan jangkitan dan seterusnya diberikan rawatan awal. Ibubapa dinasihatkan untuk memastikan anak mereka diberi imunisasi Hepatitis B yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.
Sebarang maklumat lanjut mengenai viral hepatitis dan vaksin hepatitis boleh diperolehi daripada laman sesawang Portal MyHealth dan Infosihat. Khidmat nasihat berkaitan viral hepatitis juga boleh didapati daripada anggota kesihatan di fasiliti kesihatan.