Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 28 Julai 2019 – Makluman Mengenai Kes Denggi & Influenza yang Dilaporkan di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum bahawa semenjak kebelakangan ini terdapat sejumlah siaran dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia mengenai peningkatan kes denggi dan kejadian jangkitan influenza tempatan.

FB CPRC Dengue

Source: FB CPRC Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia

Khusus bagi kes denggi, Kenyataan Akhbar mingguan terkini mengenainya telah dikeluarkan pada 23 Julai 2019. Melaluinya, pihak KKM telah melaporkan bahawa kes denggi pada minggu ke 29/2019 (bagi tempoh 14 hingga 20 Julai 2019) merupakan antara jumlah kes yang tertinggi direkodkan semenjak tahun 2017. Maklumat lanjut mengenainya yang meliputi langkah kawalan dan pencegahan yang berkaitan telah diperincikan melalui Kenyataan Akhbar tersebut. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai situasi denggi di laman Facebook CPRC Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia dan laman sesawang iDengue di pautan http://idengue.remotesensing.gov.my/idengue/.

Berbeza dengan denggi, jangkitan influenza tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan / notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Namun begitu, data proksi bagi tren jangkitan influenza yang berlaku dalam kalangan masyarakat di Malaysia direkodkan daripada aktiviti survelan yang dijalankan melibatkan beberapa lokasi sentinel di seluruh negara.

Secara amnya, kejadian berkaitan jangkitan pernafasan meliputi influenza di Malaysia sentiasa dipantau rapi oleh KKM bagi mengesan situasi kejadian luar biasa melalui sistem survelan tersebut. Pemantauan tersebut meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan severe acute respiratory infection (SARI). Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga bertanggungjawab bagi memantau sebarang perubahan kepada virus influenza yang terdapat di Malaysia. Berdasarkan tren yang direkodkan daripada aktiviti survelan tersebut, kes ILI didapati mencatatkan peningkatan dalam julat normal sejak bulan Jun 2019. Tren yang direkodkan ini adalah hampir sama berbanding tren pada tahun-tahun sebelumnya. Begitu juga, analisa terhadap virus influenza yang dikesan daripada aktiviti survelan ini tidak menunjukkan sebarang tanda ianya telah mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baru (novel virus).

influenza

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan. Demam selsema atau flu adalah sangat mudah berjangkit. Oleh itu, penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem tentera atau polis. Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain. Komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi ini juga berpotensi untuk menyebabkan kematian.

Oleh itu, orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi secara khususnya adalah amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara. Begitu juga, terdapat rawatan yang berkesan bagi merawat jangkitan influenza. Justeru, mendapatkan rawatan segera bagi gejala jangkitan yang dialami adalah amat penting bagi mengelakkan ianya daripada menjadi bertambah serius dan menimbulkan komplikasi jangkitan yang tidak diingini.

cegah influenza

Bagi mencegah penularan jangkitan influenza, KKM ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat. Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza adalah dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (face mask). Orang awam diminta segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan untuk mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk / sakit tekak yang berterusan.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

28 JULAI 2019


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles