KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
KES MEASLES MENINGKAT DI MALAYSIA
Sehingga September 2015, kes dan wabak measles meningkat tiga (3) kali ganda di seluruh negara. Bilangan kes disahkan measles telah meningkat kepada 602 kes (26.3 per sejuta penduduk) berbanding 235 kes (7.8 per sejuta penduduk) pada 2014 dan 195 kes (6.6 per sejuta penduduk) pada 2013. Malah, berlaku dua (2) kematian kanak-kanak akibat jangkitan measles pada tahun ini, berbanding satu (1) kematian pada tahun lepas. Kebanyakan kes measles adalah di kalangan bayi dan kanak-kanak berumur enam (6) tahun dan ke bawah.
Bilangan wabak juga telah meningkat lebih 3 kali ganda, iaitu 37 episod wabak berbanding hanya 11 pada tahun 2014. Wabak-wabak ini turut melibatkan beberapa institusi jagaan, sekolah dan pusat tahanan.
Punca utama peningkatan kes adalah kanak-kanak tidak mendapatkan imunisasi. Sebanyak 50% hingga 65% daripada kes pada tahun 2014 dan 2015 tidak mendapat imunisasi measles. Antara sebabnya ialah ibubapa terlupa atau terlalu sibuk untuk membawa anak mendapatkan imunisasi, salah tanggapan terhadap keterukan penyakit measles, menolak vaksin, mengamalkan perubatan homeopati dan / atau naturopati.
Kanak-kanak ini pula tinggal di kawasan yang mempunyai liputan imunisasi measles kurang dari 95%. Imuniti kelompok (herd immunity) yang rendah akibat dari jumlah kanak-kanak tidak dilindungi oleh imunisasi measles yang tinggi menyebabkan virus measles mudah menular di dalam komuniti tersebut dan mengakibatkan wabak. Situasi menjadi lebih buruk apabila penjaga kurang faham kaedah mencegah dan mengawal penularan penyakit measles ini.

Community Immunity (“Herd” Immunity). Infographic source: National Institute of Allergy and Infectious Disease, USA
Measles adalah sejenis penyakit yang amat mudah merebak. Kanak-kanak yang dijangkiti measles perlu diasingkan dan tidak dihantar ke pusat asuhan, TASKA, tadika atau sekolah. Elakkan membawa kanak-kanak ini menghadiri perjumpaan atau perhimpunan terutama yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi seperti bayi, pesakit yang mempunyai imuniti yang rendah seperti pesakit kanser, orang dengan HIV/AIDS dan mereka yang menerima rawatan kemoterapi.
Pejabat Kesihatan Daerah menjalankan kempen dan suntikan measles ke atas kanak-kanak berumur enam (6) tahun ke bawah di lokaliti wabak. Justeru, ibubapa diminta untuk memberi kerjasama dengan memastikan anak mereka mendapat imunisasi measles, sama ada pada tarikh hari lahir pertama anak atau semasa kempen imunisasi measles dijalankan di komuniti. Tindakan bijak kita akan menurunkan risiko jangkitan measles dan mengurangkan keterukan penyakit serta mencegah kematian.
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
5 November 2015
