Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Kenyataan Akhbar KPK 11 Jan 2016: Situasi Semasa Demam Denggi Di Malaysia Bagi Minggu 1/2016 (3 Januari hingga 9 Januari 2016)

$
0
0

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA

Bagi Minggu 1/2016 (3 Januari hingga 9 Januari 2016)

Screen Shot 2016-01-11 at 11.35.12.png

Kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara pada minggu pertama tahun 2016 masih menunjukkan peningkatan kes dan ini berterusan sejak  awal November  2015.  Sebanyak  3,337 kes demam denggi telah dilaporkan di seluruh negara, berbanding 2,511 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya iaitu minggu akhir tahun 2015 dengan peningkatan sebanyak 33% (826 kes). Peningkatan kes melibatkan 13  buah negeri iaitu  Selangor, Johor, WP Kuala Lumpur & Putrajaya, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang, Melaka, Sarawak,  Pulau Pinang, Kelantan, Perlis, Sabah dan Perak. Malah pada minggu pertama tahun 2016, telah ada empat (4) kematian dilaporkan daripada Selangor, WP Kuala Lumpur & Putrajaya, Negeri Sembilan dan Terengganu. Jumlah lokaliti wabak didapati turut meningkat pada minggu pertama tahun 2016 iaitu 1,044 lokaliti berbanding 907 lokaliti pada minggu sebelumnya. Di samping itu, lokaliti hotspot turut meningkat daripada 145 lokaliti kepada 161 lokaliti  melibatkan 7 buah negeri iaitu di Selangor (122), Johor (22), Perak (8), Pulau Pinang (4), Sabah (2), Negeri Sembilan (2) dan WPKL & Putrajaya (1).

Click to view slideshow.

Walaupun tren kes sejak dua tahun kebelakangan ini meningkat pada awal tahun,  namun  kes yang dilaporkan pada minggu pertama  tahun 2016 (3,337 kes) lebih tinggi daripada kes yang dilaporkan pada minggu sama 2015 iaitu 2,633 kes. Pada keseluruhan tahun 2015, sebanyak 120,836 kes telah dilaporkan, peningkatan sebanyak 11.2% atau 12,138 kes berbanding 108,698 kes yang dilaporkan pada tahun 2014.

Daripada analisa KKM, antara faktor penyumbang peningkatan kes demam denggi yang berterusan adalah faktor persekitaran yang tidak bersih, tabiat masyarakat membuang sampah merata-rata dan ketidakcekapan pengurusan sampah.  Di samping itu,  faktor pergerakan manusia yang lebih meluas, kepadatan penduduk yang tinggi dan proses urbanisasi yang pesat membangun turut menyumbang kepada peningkatan kes denggi ini. Berdasarkan pengaruh faktor-faktor ini maka pencegahan denggi memerlukan penglibatan masyarakat, agensi-agensi lain dan semua pihak.

Click to view slideshow.

Di samping itu, menurut  kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 8 Januari 2016, adalah dijangkakan fenomena El Nino dengan cuaca panas dan kering dijangka akan berlaku di seluruh negara pada penghujung Januari hingga Mac 2016. Dalam  keadaan cuaca kering dan suhu tinggi, kitaran hidup nyamuk Aedes daripada telur ke peringkat nyamuk dewasa adalah semakin singkat iaitu kurang dari tujuh hari dan ini menyebabkan populasi nyamuk akan meningkat dalam tempoh tersebut. Selain itu, suhu panas akan menyebabkan nyamuk lebih aktif dan frekuensi menggigit mangsa adalah tinggi serta penyebaran virus denggi akan lebih meluas. Fenomena ini juga menyebabkan hujan berkurangan dan isu bekalan air akan berlaku. Masyarakat akan menakung air bagi menampung bekalan air harian, oleh itu adalah penting memastikan ianya tiada pembiakan Aedes. Situasi akibat fenomena El Nino memberi kesan kepada tabiat vektor dan masyarakat dan pada tahun ini, dijangka fenomena ini berupaya menyebabkan peningkat kes denggi sehingga 50%.

Screen Shot 2016-01-11 at 09.42.05

Isu denggi ini perlu ditangani  melalui kaedah yang lebih  kreatif, inovatif, menyeluruh dan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi. Sehubungan itu, KKM berharap semua kementerian, agensi, NGO serta pihak masyarakat mengambil tindakan proaktif melakukan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:-

  • Semua Kementerian, Jabatan dan Agensi perlu meningkatkan aktiviti pembersihan persekitaran serta “cari dan musnah” tempat- tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu di institusi masing-masing
  • Pihak Berkuasa Tempatan memastikan sampah dikutip mengikut jadual yang ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya 3 kali seminggu bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes serta penyakit berjangkit yang lain. Di samping itu, meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembuangan sampah haram. Aktiviti pencegahan seperti larvaciding perlu dilaksanakan di kawasan berisiko ini.
  • Pemeriksaan dan penguatkuasaan di tapak-tapak binaan hendaklah dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
  • Pihak masyarakat diseru untuk membersihkan kawasan persekitaran masing-masing di samping melakukan aktiviti “cari dan musnah” tempat-tempat pembiakan Aedes setiap minggu. Mereka juga disaran untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes dengan menggunakan repelen dan memakai baju berlengan panjang terutama apabila berada di luar rumah, khususnya pada waktu awal pagi dan lewat senja.
  • Pihak masyarakat, Jawatankuasa Persatuan Penduduk, PBT dan KKM melaksanakan aktiviti “Gotong Royong Mega” secara bersepadu dengan jabatan dan agensi lain seperti JPAM, ATM, RELA, PDRM dan NGO dari semasa ke semasa terutama melibatkan kawasan tanah atau lot kosong yang berisiko untuk pembiakan Aedes.

Kementerian  Kesihatan Malaysia  amat berharap agar pendekatan pencegahan dan kawalan denggi yang menyeluruh melalui integrated management serta komitmen pihak masyarakat dalam memastikan persekitaran mereka bersih akan dapat mencegah kes denggi daripada terus meningkat.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia

11 Januari 2016 

Click to view slideshow.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 1621

Trending Articles