Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all 1621 articles
Browse latest View live

Rawatan Jantung Terbaik Pada Kadar Mampu Milik di Hospital-hospital KKM

$
0
0

Keunggulan Perkhidmatan Rawatan Jantung di Hospital Serdang

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada perkhidmatan kepakaran jantung di Hospital Serdang dan seluruh negara di atas pencapaian sangat cemerlang, memberikan perkhidmatan rawatan jantung yang terbaik kepada Rakyat pada kadar mampu milik. Kepimpinan yang cemerlang oleh pakar dan dedikasi anggota kesihatan dari pelbagai kategori dan peringkat telah meningkatkan kualiti perkhidmatan kepakaran jantung, pembedahan kardiotorasik, anestesiologi kardiotorasik dan kepakaran jantung kanak-kanak di Malaysia, sekaligus menjadikan pusat-pusat rawatan jantung KKM sebagai pusat kecemerlangan yang unggul dan menjadi pilihan Rakyat.

Terkini, KKM akan membina pusat rawatan jantung (dedicated heart centre) yang baru di Hospital Serdang, menempatkan lebih 250 buah katil, 6 makmal angiogram termasuk sebuah Hybrid Lab serba canggih dan makmal angiogram untuk kes kecemasan serangan jantung di Unit Kecemasan Jantung di blok baru ini.

Pesakit-pesakit yang telah banyak menerima manfaat daripada perkhidmatan kepakaran yang diberi ini sememangnya amat berterima kasih dan dapat menilai sendiri kecemerlangan pasukan anggota kesihatan KKM dalam memberikan perkhidmatan terbaik, namun hanya pada kadar caj bayaran sangat minima dan mampu milik.

Syabas dan Tahniah!

#kamisediamembantu #NegaraKu

 

Sumber Video: https://www.facebook.com/BeritaTV3/videos/2081539008527936/

2081539008527936

Kenyataan Akhbar KPK 12 Februari 2018 – Isu Tular Kematian Bayi di Johor Akibat Kelahiran Tidak Selamat

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum penularan di media sosial, pandangan yang diutarakan oleh NGO perubatan serta laporan di media cetak/elektronik tempatan mengenai kes kematian seorang bayi selepas menjalani kelahiran tidak selamat (unsafe delivery) di Johor Bahru. Seperti diketahui umum, KKM ingin mengesahkan bahawa bayi tersebut telah meninggal dunia akibat sesak nafas (asphyxia) setelah kepala bayi tersangkut di perineum ibu semasa melalui kelahiran songsang (breech delivery, footling presentation) di rumah pada 4 Februari 2018. Kelahiran bayi tersebut telah disambut oleh individu yang bukan merupakan anggota kesihatan dan tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi. KKM juga ingin menzahirkan dukacita di atas pemergian bayi ini dan mengucapkan takziah kepada kedua ibu bapa serta keluarga bayi tersebut.

KKM mengambil maklum kenyataan Ketua Polis Negeri Johor pada 9 Februari 2018 bahawa pihak polis Negeri Johor telah memulakan siasatan kes, dan juga kenyataan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada 12 Februari 2018 mengenai hasil siasatan polis setakat ini. Memandangkan pihak KKM juga mempunyai bukti dan saksi bagi kes ini, adalah dimaklumkan bahawa pihak Hospital Sultan Ismail telah turut mengemukakan laporan kepada pihak polis. Buat masa ini, masih belum ada kakitangan KKM yang dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan.

KKM sememangnya memandang serius dan amat kesal dengan kejadian kematian bayi ini, terutamanya kerana ianya merupakan kes yang boleh dielakkan (avoidable infant mortality). Kepesatan bidang kesihatan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif kesihatan Ibu dan Kanak-kanak (Maternal and Child Health) terutamanya sepanjang era pasca Kemerdekaan Malaysia telah menyaksikan pengurangan mendadak kes kematian ibu dan bayi ke tahap yang amat rendah, hampir setara dengan negara-negara maju. Misalnya Nisbah Kematian Ibu (Maternal Mortality Ratio – MMR) telah menurun daripada 280 kematian bagi setiap 100,000 pada tahun 1957 kepada 141 pada tahun 1970, 33 pada tahun 1990 dan seterusnya hanya 22.4 pada tahun 2000. Begitu juga dengan Nisbah Kematian Bayi (Infant Mortality Ratio – IMR) yang telah menurun daripada 41 setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun 1970 kepada 13.1 pada tahun 1990 seterusnya kepada 6.5 pada tahun 2000.

IMR

mmr

Kejayaan ini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menjadi contoh kepada negara-negara membangun misalnya di Benua Afrika yang kebanyakannya masih dibelenggu masalah kadar kematian yang tinggi bagi ibu dan bayi. Kerajaan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan komprehensif bagi ibu mengandung (antenatal) di 2,863 Klinik Kesihatan atau Klinik Desa di seluruh pelusuk negara. Selain itu, terdapat 133 buah hospital KKM yang memberikan perkhidmatan bersalin termasuk 4 hospital yang mempunyai blok Wanita dan Kanak-kanak tersendiri (3 lagi hospital masih dalam pembinaan) dan 1 Hospital Wanita dan Kanak-kanak (sebuah lagi hospital akan mula beroperasi kelak) dan 3 Pusat Bersalin Risiko Rendah. Rawatan selepas bersalin juga ditawarkan oleh Klinik Kesihatan di mana lawatan ke rumah dijalankan oleh jururawat yang berdedikasi, sekaligus melengkapkan skop perkhidmatan bagi ibu yang mengandung, ibu bersalin, ibu berpantang serta bayi yang baru lahir. Kesemua ini adalah kelebihan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia, pada kadar caj yang sangat minima dan mampu milik. Persoalannya, mengapakah masih terdapat ibu yang memilih untuk mengambil risiko untuk bersalin tanpa dikendalikan oleh anggota kesihatan terlatih?

KKM telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kelahiran selamat, antaranya adalah:

  • Perbincangan dengan kumpulan gentle birthing bagi memahami isu yang ingin diketengahkan dan memberi penekanan tentang kepentingan kelahiran selamat.
  • Mengeluarkan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertajuk “Langkah-Langkah Bagi Mempertingkatkan Usaha Untuk Mengurangkan Kelahiran Tidak Selamat” pada 13 Mac 2014 yang mengarahkan agar:
    • Semua hospital dan klinik diminta untuk meningkatkan aktiviti promosi kesihatan dan memberikan maklumat yang tepat kepada masyarakat, termasuk memaklumkan kepentingan kelahiran selamat, risiko kehamilan dan kelahiran serta fasiliti tempat bersalin.
    • Semua Pakar Obstetrik/Pakar Perubatan Keluarga/Pegawai Perubatan/Anggota Jururawat yang mengendalikan ibu hamil, adalah diminta untuk berbincang dengan klien dan pasangan beliau mengenai perancangan tempat bersalin berdasarkan status kesihatan klien serta memberi nasihat sewajarnya.
  • Bagi kes-kes berisiko rendah yang memilih untuk bersalin di rumah, semua anggota terlibat diarah untuk mengendalikan ibu mengikut Garis Panduan Pengurusan Ibu Hamil Yang Memilih Untuk Bersalin Di Rumah dan Garis Panduan Senarai Semak Mengikut Sistem Kod Warna Penjagaan Kesihatan Ibu dan Bayi, KKM. Kehadiran anggota kesihatan yang terlatih adalah diperlukan untuk kelahiran di rumah (termasuk untuk kes risiko rendah). Ini supaya anggota kesihatan tersebut dapat segera bertindak memberi bantuan kecemasan jika terdapat sebarang komplikasi yang mungkin timbul terhadap bayi dan ibu semasa atau selepas kelahiran.
  • Arahan telah dikeluarkan kepada semua fasiliti kesihatan supaya semua kelahiran tidak selamat mesti dilaporkan sehingga ke peringkat KKM untuk tujuan pemantauan dan penambahbaikan.
  • Sejak 2012, komponen mother friendly care (MFC) telah dimasukkan dalam Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI), iaitu ianya terdapat elemen menggalakkan ibu untuk mempunyai teman yang boleh bersama sepanjang proses kelahiran untuk memberi sokongan emosi dan fizikal sewaktu melahirkan.

Berdasarkan definisi daripada WHO, “kelahiran selamat” (safe delivery) ialah kelahiran yang dikendalikan oleh anggota kesihatan terlatih (skilled health personnel). Malaysia telah mencapai peratus kelahiran selamat sebanyak 98% semenjak tahun 2009; suatu pencapaian yang juga setanding dengan negara maju. Peratus kelahiran tidak selamat didapati menurun daripada 24.8% pada tahun 1990 kepada 1.7% pada tahun 2012 dan 0.42% pada tahun 2016. Namun begitu, didapati akhir ini terdapat tren yang membimbangkan, misalnya di negeri Johor di mana terdapat peningkatan kadar kelahiran tidak selamat yang berkaitan dengan advokasi pro-natural birthing, atau gentle birthing yang digerakkan oleh individu atau kumpulan yang juga dikenali sebagai “doula” atau peneman kelahiran.

Sepanjang tahun 2017 di Johor, didapati terdapat 58 kes yang didaftar sebagai kelahiran tidak selamat di mana lima (5) daripada bilangan kelahiran tidak selamat tersebut merupakan kejadian kelahiran di rumah yang berkaitan dengan doula. Lebih merisaukan, dua (2) daripada kes tersebut adalah kes berisiko tinggi yang memerlukan kelahiran di hospital namun memilih untuk bersalin di rumah setelah dihasut oleh pihak-pihak tertentu. Sebagai perbandingan, terdapat 35 kelahiran tidak selamat di Johor pada tahun 2016 dan tiada kes yang berkaitan dengan doula dilaporkan. Statistik oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM pula mencatatkan kes kematian ibu dan anak akibat kelahiran tidak selamat berkaitan dengan doula, iaitu:

  • Dua (2) kes kematian ibu pada tahun 2013; dan
  • Dua (2) kematian bayi (pada tahun 2016 dan 2018)

Undang-undang yang mengawal selia amalan perbidanan ialah Akta Bidan 1966 [Akta 436], di mana selain daripada doktor, hanya anggota kesihatan yang terlatih di dalam bidang perbidanan dan berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia sahaja yang boleh mengendalikan kelahiran. Subseksyen 14(1) Akta 436 memperuntukkan mana-mana individu yang mengamal amalan perbidanan tanpa pendaftaran di bawah Akta tersebut adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau pemenjaraan tidak lebih dari satu tahun atau kedua-duanya. Namun begitu, peruntukan kesalahan di bawah Akta 436 tidak mempunyai peruntukan penguatkuasaan dan amnya ia akan dikuatkuasakan oleh pihak polis. Dalam hal ini, kerjasama pihak polis untuk menjalankan siasatan yang terperinci serta mengambil keterangan semua pihak adalah diperlukan.

Sebelum ini KKM telah pun mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui Akta Bidan 1966, namun begitu, seringkali doula mendakwa bahawa mereka tidak terlibat secara aktif di dalam proses kelahiran seperti yang ditakrif di dalam Akta, sebaliknya hanya memberikan sokongan moral dan motivasi. Penafian juga sering dibuat oleh pasangan yang mendapatkan perkhidmatan daripada doula. Walaubagaimanapun, sekiranya berlaku komplikasi dan kematian, waris atau wanita yang melahirkan itu sendiri boleh mempertimbangkan tuntutan sivil di mahkamah terhadap doula itu sekiranya terdapat bukti bahawa komplikasi atau kematian adalah akibat tindakan atau kelakuan doula tersebut.

Masyarakat termasuk anggota kesihatan yang mempunyai bukti penglibatan mana-mana individu yang mengendalikan kelahiran tanpa tauliahan (termasuk doula atau suami/ahli keluarga kepada ibu mengandung) diminta tampil membuat laporan polis dan memaklumkan juga kepada KKM agar siasatan dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil terhadap individu tersebut sekiranya disabit kesalahan. Pihak KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri, Hospital atau Klinik berkaitan, serta anggota kesihatan selaku saksi adalah bersedia tampil memberi kerjasama penuh terhadap siasatan pihak polis. Adalah diharapkan kejadian tidak diingini dan boleh dielak seperti kematian ibu dan bayi akibat kelahiran tidak selamat dapat dibendung.

Katakan TIDAK kepada kelahiran TIDAK SELAMAT!

“KAMI SEDIA MEMBANTU”

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

12 FEBRUARI 2018

Kenyataan Akhbar KPK 13 Februari 2018 – Isu Susu Tepung Rumusan Untuk Kanak-Kanak Jenama Dutch Lady Curious (900 Gram) Biasa Bagi Pek-Promosi

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai aduan pengguna yang membeli pek-promosi susu tepung rumusan untuk kanak-kanak jenama Dutch Lady Curious (900g) 1-2 Tahun Biasa yang tular di media sosial. Pengadu memaklumkan bahawa anak beliau mengalami simptom ruam merah di bahagian leher dan kelangkang, batuk, cirit-birit dan demam panas setelah mengambil produk susu tepung berkenaan.

Berhubung perkara ini, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan keselamatan produk susu tepung rumusan untuk kanak-kanak terbabit.

KKM ingin menegaskan susu tepung rumusan untuk kanak-kanak untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 91B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

13 Februari 2018

Kenyataan Akhbar KPK 23 Februari 2018 – Produk-produk Kosmetik Yang Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

$
0
0

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti di bawah:

Screen Shot 2018-02-23 at 17.13.54.png

Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

Screen Shot 2018-02-23 at 17.20.31Screen Shot 2018-02-23 at 17.20.44Screen Shot 2018-02-23 at 17.21.39

PERIHAL  BAHAN RACUN BERJADUAL DAN KESANNYA PADA KESIHATAN

Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

20451863_10154599439736237_9201863773611461912_o

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK KOSMETIK INI

Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/ 

Sekian, terima kasih

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH  
Ketua Pengarah Kesihatan 
Kementerian Kesihatan Malaysia 

23 Februari 2018

Kenyataan Akhbar KPK 28 Februari 2018 – Isu Pek Promosi Susu Tepung Rumusan untuk Kanak-kanak Jenama Dutch Lady Curious (900 gram) 1-2 Tahun Biasa

$
0
0

WhatsApp Image 2018-02-12 at 10.16.53 PM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini isu pek-promosi susu tepung rumusan untuk kanak-kanak jenama Dutch Lady Curious (900 gram) 1-2 Tahun Biasa yang tular di media sosial di mana pengadu memaklumkan bahawa anak beliau mengalami simptom ruam merah di bahagian leher dan kelangkang, batuk, cirit-birit dan demam panas setelah mengambil produk susu tepung berkenaan.

Hasil verifikasi oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di kilang pengeluaran produk tersebut mendapati kilang berkenaan mempunyai program jaminan keselamatan makanan. Di samping itu, hasil analisis mengesahkan produk tersebut adalah selamat untuk dimakan.

Di bawah subseksyen 13(1), Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan produk makanan yang dijual di pasaran adalah selamat dan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 28 Februari 2018

Kenyataan Akhbar KPK 3 Mac 2018 – Penguatkuasaan “Ops Barang Lusuh” Di Bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975

$
0
0

Satu operasi penguatkuasaan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang dinamakan “Ops Barang Lusuh” telah dijalankan di seluruh negara pada 12 dan 13 Februari 2018 bagi memerangi denggi yang menjadi musuh utama negara. Sasaran utama adalah premis barang lusuh yang merupakan antara premis yang menyumbang kepada tempat berpotensi pembiakan Aedes.

Melalui operasi tersebut, sebanyak enam ratus sepuluh (610) premis barang lusuh telah diperiksa. Sejumlah seratus dua puluh satu (121) iaitu 19.8% premis barang lusuh didapati membiarkan pembiakan Aedes berlaku. Sejumlah seratus dua puluh (120) tawaran kompaun dengan nilai RM60,000 akan dikeluarkan selepas mendapat izin Timbalan Pendakwaraya. Sebanyak empat puluh sembilan (49) Notis Arahan Kerja-Kerja Pembersihan telah dikeluarkan. Satu (1) pemilik premis barang lusuh akan didakwa di mahkamah kerana kesalahan berulang.

Screen Shot 2018-03-03 at 11.19.41

Picture1Picture2Picture3

Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung peningkatan kes Demam Denggi. KKM juga menyeru setiap individu supaya bersama-sama menjalankan aktiviti pencegahan termasuk membersihkan kawasan persekitaran rumah dan meluangkan masa setiap minggu untuk melaksanakan aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes agar dapat mengurangkan risiko jangkitan Demam Denggi di kalangan masyarakat bagi mencapai keharmonian hidup melalui persekitaran yang selamat.

Tiada Aedes, Tiada Zika, Tiada Chikungunya dan Denggi.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

3 MAC 2018

 

Kenyataan Akhbar KPK 3 Mac 2018 – Maklumat Tular Berkaitan Kejadian Keracunan Makanan di Lembah Klang

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada akhir minggu ini iaitu bermula 2 Mac 2018, KKM telah menerima makluman mesej tular mengenai berlakunya wabak Keracunan Makanan (KRM) berkaitan dengan keselamatan bekalan air di Lembah Klang. Adalah dimaklumkan bahawa kandungan mesej itu adalah tidak benar dan tidak boleh dipercayai.

WhatsApp Image 2018-03-03 at 1.15.36 PM

Hasil semakan dan verifikasi pemantauan wabak penyakit berjangkit didapati tiada peningkatan kejadian KRM dilaporkan. Didapati kejadian KRM yang berlaku buat masa ini adalah terpencil dan terkawal serta tiada kaitan dengan bekalan air atau gangguan bekalan air.

5-cara-menjamin-keselamtan-makanan

Seperti pernah dinasihatkan sebelum ini, KKM sentiasa menyarankan agar orang ramai sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, serta memastikan makanan dan minuman yang diambil adalah selamat dari sebarang pencemaran. Pengendali makanan pula perlu peka dengan amalan pengendalian makanan yang selamat bagi memastikan makanan yang disediakan tidak menyebabkan keracunan makanan.

KKM akan terus memantau status kejadian KRM yang berlaku di Malaysia. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak perlu khuatir serta tidak mempercayai maklumat-maklumat tular yang tidak disahkan oleh KKM.

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

3 Mac 2018

 

10898177_10152487330621237_2847896345489996802_n-png

Kenyataan Akhbar KPK 4 Mac 2018 – Isu Penjualan Dan Penyalahgunaan Ubat Batuk

$
0
0

Screen Shot 2018-03-03 at 11.49.49

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius berkenaan laporan yang disiarkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 24 Februari 2018 bertajuk “Resipi Bunuh Diri”. Laporan tersebut menyentuh isu mengenai penjualan dan penyalahgunaan ubat batuk di mana ubat batuk tersebut digunakan sebagai salah satu bahan penyediaan “chakoroi” yang merupakan campuran air ketum dan minuman berkarbonat.

KKM ingin menegaskan bahawa persediaan ubat batuk dalam apa jua bentuk serta yang mengandungi racun berjadual adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952. Oleh yang demikian, penjualan ubat batuk tersebut hanya dibolehkan untuk tujuan perubatan. Penjualan ubat batuk tersebut juga hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan dan ahli farmasi berlesen serta perlulah mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Racun 1952.

Untuk makluman, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki menjual ubat batuk bukan untuk tujuan perubatan di seluruh negara pada 22 Ogos 2017 berdasarkan aduan yang diterima. Hasil daripada pemeriksaan, sebanyak 100,480 botol ubat batuk telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952.

Sehubungan itu, KKM ingin memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pengamal perubatan dan ahli farmasi berlesen yang didapati menjual ubat batuk bukan untuk tujuan perubatan di bawah Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sentiasa dan akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang ke atas semua premis-premis yang menjual ubat-ubatan dan produk kesihatan bagi memastikan penjualan tersebut mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan. Selain itu, kerjasama antara agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) juga akan dipertingkatkan bagi membanteras penjualan dan penggunaan ubat batuk bukan untuk tujuan perubatan.

Bagi membanteras gejala ini, KKM amat mengalu-alukan sebarang aduan, maklumbalas dan cadangan daripada orang awam berkenaan aktiviti penjualan ubat batuk yang mencurigakan atau perlanggaran-perlanggaran lain di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan melalui talian 03-7841 3200 atau dengan melayari portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

 

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

4 Mac 2018


Kenyataan Akhbar KPK 4 Mac 2018 – Isu Accuhaler Ventolin Dan Seretide Yang Ditarik Balik Di Pasaran United Kingdom Tidak Melibatkan Pasaran Di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin meredakan keresahan orang awam terutamanya pesakit asma susulan daripada penerbitan sebuah artikel yang disiarkan di laman portal berita atas talian Astro Awani bertajuk “Pesakit Asma, pastikan anda guna inhaler yang betul!” bertarikh 23 Februari 2018. Artikel tersebut menyentuh isu berkenaan tarik balik produk Accuhaler Ventolin dan Seretide yang digunakan dalam rawatan pesakit asma di pasaran United Kingdom (UK).

Screen Shot 2018-03-03 at 12.26.22

Berkenaan isu ini, KKM ingin menegaskan bahawa penarikan balik produk tersebut sama sekali tidak melibatkan pasaran di Malaysia. Sebaliknya, penarikan balik produk tersebut hanyalah untuk sebilangan kelompok yang berada dalam pasaran di UK sahaja. Semakan juga mendapati pada masa ini, hanya produk Accuhaler Seretide sahaja yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dengan nombor pendaftaran MAL20001532ARZ, manakala produk Accuhaler Ventolin tidak berdaftar dengan PBKD. Selain itu, produk Accuhaler Seretide di Malaysia adalah dikilangkan di Amerika Syarikat manakala produk yang terlibat dengan tarik balik di pasaran UK adalah kelompok produk yang dikilangkan di UK sendiri.

Dalam hal ini, KKM sekali lagi ingin menegaskan bahawa produk Accuhaler Seretide di pasaran Malaysia adalah selamat, berkualiti dan berkesan. Oleh yang demikian, pesakit asma yang telah dibekalkan dengan Accuhaler Seretide ini tidak perlu khuatir atau was-was untuk menggunakan produk tersebut.

KKM sentiasa mengambil berat akan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk farmaseutikal sebelum produk tersebut diluluskan untuk pendaftaran. Pengawasan mutu produk farmaseutikal yang berdaftar di pasaran turut dilakukan bagi memastikan produk tersebut benar-benar selamat. Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.moh.gov.my atau menghubungi pihak NPRA di talian 03-78835538 atau Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian 1800 88 6722.

Semua produk yang berdaftar di Malaysia turut dilabelkan dengan nombor pendaftaran dan dilengkapi dengan label hologram. Sekiranya ketulenan hologram diragui, orang awam juga boleh mengesahkan kesahihannya melalui aplikasi MediTag Checker yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play di telefon pintar masing-masing.

Sekian, terima kasih

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

4 MAC 2018

Kenyataan Akhbar KPK 6 Mac 2018 – Isu Buah Rockmelon Dari Negara Australia Yang Dicemari Listeria Monocytogenes

$
0
0
rockmelon

Picture: Thinkstock Source:Supplied

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan akhbar bertajuk Three Australians die, more sick in Listeria outbreak tied to melons yang disiarkan melalui laman sesawang The Star Online pada 3 Mac 2018.  Akhbar tersebut melaporkan tiga (3) kematian dan 12 orang lagi telah jatuh sakit di Sydney, Australia akibat memakan rockmelon yang telah dicemari oleh bakteria Listeria monocytogenes.

Bakteria Listeria terdapat secara meluas di persekitaran termasuk dalam tanah dan air. Makanan yang mengandungi bakteria Listeria tidak menyebabkan penyakit pada kebanyakan orang, tetapi bagi kumpulan berisiko tinggi ia boleh mengakibatkan listeriosis yang boleh menjadi serius atau membawa kematian. Kumpulan berisiko tinggi termasuk bayi, warga emas, wanita hamil dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah (immunocompromised). Listeriosis boleh menyebabkan demam, sakit otot, loya dan kadang kala cirit birit.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bekerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia berkaitan isu ini. Menurut pihak berkuasa Australia, isu ini hanya melibatkan pencemaran listeria dalam buah rockmelon dari satu ladang di Nericon, New South Wales, Australia. Ladang berkenaan secara sukarela telah menghentikan pengeluarannya pada 23 Februari 2018. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia juga telah mengesahkan bahawa pengeksportan rockmelon selepas 1 Mac 2018 adalah selamat dan tidak terlibat dengan isu ini.

Screen Shot 2018-03-06 at 11.00.54

Siaran media New South Wales Government Food Authority yang boleh dilihat selanjutnya di sini

KKM telah mengenalpasti pengimport yang mengimport rockmelon dari ladang terbabit sebelum 1 Mac 2018 dan menyita rockmelon yang terdapat di premis pengimport. Produk tersebut hanya akan dilepas sitaan sekiranya hasil analisis mendapati produk tersebut tidak tercemar dengan bakteria Listeria monocytogenes. Di samping itu, pengimport berkaitan sedang memanggil balik (recall) secara sukarela rockmelon tersebut dari pasaran.

Sehingga kini, tiada kes listeriosis di laporkan berlaku di Malaysia kerana memakan rockmelon.

Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 6 MAC 2018

5-cara-menjamin-keselamtan-makanan

Kenyataan Akhbar KPK 10 Mac 2018 – Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Kebangsaan Tahun 2018

$
0
0

“Profesion Diperkasa, Masyarakat Sejahtera”

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pembantu Perubatan kepada semua Penolong Pegawai Perubatan di pelbagai sektor kesihatan di dalam Malaysia. Tarikh 10 Mac telah diistiharkan sebagai Hari Pembantu Perubatan dan tahun ini merupakan tahun ke-7 sambutan ini diraikan di seluruh negara.

Penolong Pegawai Perubatan adalah antara profesion terawal wujud di Malaysia dan ia kini menjangkau lebih daripada 230 tahun. Terdapat profesion yang hampir sama dengan Penolong Pegawai Perubatan di luar negara seperti Physician Assistant di Amerika Syarikat, Barefoot Doctor di Australia, Kanada, Rusia, China serta di beberapa negara membangun seperti Filipina dan sebagainya. Kini seramai hampir 17,000 Penolong Pegawai Perubatan sedang menaburkan jasa dalam pelbagai bidang dan kepakaran kepada rakyat di seluruh negara.

WhatsApp Image 2018-03-10 at 12.36.02 PMWhatsApp Image 2018-03-10 at 12.36.00 PM

 

Tema Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-7 Peringkat Kebangsaan 2018 disambut dengan tema “PROFESION DIPERKASA, MASYARAKAT SEJAHTERA”. Pemilihan tema ini mencerminkan kesungguhan Penolong Pegawai Perubatan untuk meningkatkan profesionalisma dan berkhidmat dengan penuh dedikasi bagi memastikan kesejahteraan masyarakat. Sebagai salah satu profesion di barisan hadapan dalam perkhidmatan kesihatan negara ini, peranan Penolong Pegawai Perubatan adalah sangat penting bagi memastikan kesihatan rakyat terjaga dan mereka mendapat perkhidmatan terbaik.

WhatsApp Image 2018-03-10 at 12.31.00 PM

 

Peranan dan tanggungjawab Penolong Pegawai Perubatan dalam penjagaan kesihatan sebelum ini hanya sebagai pembantu sahaja. Kini peranan Penolong Pegawai Perubatan menjadi lebih penting dan meluas, di mana ianya dikembangkan sebagai rakan kongsi kepada Pegawai Perubatan, bekerjasama sebagai sebuah pasukan bersama dengan profesion perubatan yang lain dalam menjalankan prosedur dan rawatan kepada pesakit.whatsapp-image-2018-03-10-at-12-36-03-pm.jpeg

Lembaga Pembantu Perubatan telah membangunkan Pelan Pembangunan Profesion Penolong Pegawai Perubatan 2016-2030 atau dikenali sebagai 6P yang mana ianya telah dijadikan blue print. Pelan 6P yang komprehensif ini meliputi segala aspek dalam membangunkan profesion Penolong Pegawai Perubatan untuk memantapkan peranan Penolong Pegawai Perubatan sebagai anggota kesihatan yang dinamik, pembangunan pendidikan, kemajuan kerjaya, sumber manusia dan kolaborasi antarabangsa. Bagi mencapai matlamat dan objektif Kementerian Kesihatan Malaysia, Penolong Pegawai Perubatan perlu menerapkan ciri-ciri kepimpinan cemerlang untuk menjayakan dan meningkatkan lagi motivasi sesebuah pasukan.

WhatsApp Image 2018-03-10 at 12.33.43 PM

Pelan 6P dijangka akan dapat menyuntik anjakan paradigma bagi profesion yang penting ini dan mencerminkan peranan sebenar Penolong Pegawai Perubatan menuju ke Transformasi Nasional 2050 serta sejajar dengan pelan transformasi kesihatan nasional ke arah negara yang sihat sejahtera.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PEGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

10 Mac 2018

Kenyataan Akhbar KPK 16 Mac 2018 – Makluman Kes Kematian Disyaki Difteria Di Sarawak

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes kematian disyaki difteria di Miri, Sarawak pada 14 Mac 2018. Kes merupakan seorang kanak – kanak berumur 2 tahun 5 bulan dan tidak mendapat pelalian bagi difteria sejak lahir. Siasatan awal mendapati keluarga kes ENGGAN mendapatkan pelalian atas dasar kepercayaan agama. Beliau mula mengalami gejala demam, batuk, selesema dan kesukaran bernafas 7 hari sebelumnya.

Difteria

Sepanjang tahun 2017, 32 kes positif difteria telah dilaporkan di seluruh Malaysia dengan 7 (22%) kematian. Majoriti (75%) dari kes dan kematian ini adalah dari komuniti yang menolak pelalian.

Pemberian pelalian difteria yang lengkap pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan mampu mencegah dari penyakit ini. Sekiranya kanak-kanak tidak diberikan pelalian difteria ini, mereka boleh dijangkiti bakteria Corynebacterium diphtheria yang disebarkan melalui titisan cecair pernafasan dan menjangkiti tekak (tonsil dan farink). Bakteria ini akan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan kanak-kanak ini sukar bernafas. Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis). Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi.

Sekali lagi, KKM ingin menegaskan bahawa pelalian difteria yang lengkap mampu mencegah jangkitan ini dan sekiranya dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi. Justeru, ibu bapa dan masyarakat diseru untuk memastikan anak-anak di bawah umur 7 tahun diberikan imunisasi yang lengkap. Sekiranya terlepas tarikh, atau belum mendapat pelalian yang lengkap, segeralah ke fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan pelalian. KKM ingin mengingatkan sekiranya terdapat tanda dan gejala seperti demam, sakit tekak / kesukaran menelan, atau bengkak leher, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 16 Mac 2018

Kenyataan Akhbar KPK 16 Mac 2018 -Sempena Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal Mac 2018

$
0
0

Kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang sering digeruni dan boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia, jantina dan bangsa. Menurut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki (16.4%) dan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan wanita (10.7%).

kanserUsus.KPK

Pada tahun 2016, kanser menyumbang sebanyak 12.6 peratus kematian yang berlaku di semua hospital Kementerian Kesihatan Malaysia dan 26.7 peratus kematian di hospital-hospital swasta diseluruh negara. Sementara itu, pada tahun 2015, kanser kolorektal merupakan penyumbang peratus ketiga tertinggi (7.3%) kematian akibat kanser yang berlaku di hospital-hospital KKM, selepas kanser paru-paru (14.4%) dan kanser payu dara (9.1%).

Risiko kejadian kanser kolorektal meningkat dengan pertambahan usia, pernah disahkan mempunyai kolon polip, menghidap radang usus dan mempunyai keluarga yang disahkan mengidap kanser kolorektal. Selain itu, amalan gaya hidup sedentari, tidak aktif dan kurang pengambilan serat, sayur-sayuran dan buah-buahan kerap dikaitkan sebagai antara faktor yang meningkatkan risiko kejadian kanser kolorektal.

Lebih dari 60 peratus kes kanser kolorektal di negara ini dikesan pada tahap III dan IV. Di antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini ialah kurangnya kesedaran mengenai kepentingan menjalankan ujian saringan dan pengesanan awal. Di samping itu, tidak dinafikan terdapat pesakit yang cenderung untuk mendapatkan rawatan alternatif berbanding rawatan di hospital di mana kebanyakan pesakit ini akhirnya akan kembali ke hospital pada peringkat kanser yang telah merebak (advanced stage), dan, ini jelas mengurangkan peluang untuk sembuh sepenuhnya.

Kanser usus (1)

Menjalani ujian saringan bagi mengesan kehadiran kanser pada peringkat awal serta mengenali gejala-gejala dan tanda-tanda amaran kehadiran kanser kolorektal merupakan langkah yang sangat penting dalam membantu meningkatkan peluang agar kanser ini dapat dirawat dengan baik. Antara tanda-tanda amaran ini adalah perubahan pada pola kebiasaan membuang air besar (sembelit berselang dengan cirit-birit), najis berdarah, dan sakit perut yang kerap berulang. Selain itu, rasa letih dan lesu serta hilang berat badan juga merupakan tanda-tanda amaran kanser. Walaubagaimana pun, tanda-tanda ini mungkin tidak wujud pada peringkat awal. Justeru itu, menjalani ujian saringan adalah penting. KKM menyediakan menyediakan perkhidmatan saringan kanser kolorektal di lebih 500 klinik kesihatan di seluruh negara. Perkhidmatan saringan kanser ini juga turut disediakan oleh pihak swasta dan NGO dengan kadar bayaran tertentu.

Mesej utama yang ingin KKM sampaikan sempena Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal pada bulan Mac ini adalah menyeru orang ramai agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, elak kehidupan sedentari dan perbanyakkan mengambil makanan yang tinggi serat, jalani ujian saringan sekiranya anda tidak mempunyai tanda dan gejala serta berusia antara 50-70 tahun, kenali tanda-tanda amaran kanser kolorektal dan dapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut. Jangan berlengah. Tindakan anda boleh menyelamatkan nyawa.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

16 Mac 2018

Kenyataan Akhbar KPK 3 April 2018 – Penguatkuasaan “Ops Tapak Binaan” Di Bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975

$
0
0

“21 Pengarah Syarikat Tapak Binaan Akan Didakwa”

Dalam penguatkuasaan Ops Tapak Binaan yang dijalankan di seluruh negara pada 13 dan 14 Mac 2018, sebanyak 978 premis tapak binaan telah diperiksa. Sejumlah 130 (13.3%)  premis dikesan melakukan kesalahan membiarkan pembiakan  serangga pembawa penyakit berlaku. Sebanyak 127 notis kompaun akan dikeluarkan dalam masa terdekat apabila proses permohonan izin kompaun diperolehi daripada Timbalan Pendakwaraya.  Sebanyak 21 pengarah syarikat tapak binaan akan di dakwa di mahkamah.

Notis kerja pembersihan di bawah Seksyen 8(2) APSPP 1975 turut dikeluarkan kepada 65 premis yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk berlaku. Sebanyak 18 premis tapak binaan diberi arahan penutupan di bawah Seksyen 8(3)(aa), akta yang sama bagi menjalankan aktiviti pencegahan dan pembersihan agar premis bebas daripada serangga pembawa penyakit khususnya nyamuk Aedes.

Tujuan operasi dijalankan adalah bagi mengurangkan kejadian kes Denggi dikalangan masyarakat. Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa optimis dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan APSPP 1975 secara berterusan bagi membendung peningkatan kes Denggi disamping mengurangkan risiko jangkitan Demam Denggi.

Justeru KKM menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama menjalankan aktiviti pencegahan termasuk membersihkan kawasan persekitaran rumah dan meluangkan masa setiap minggu untuk melaksanakan aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes agar dapat mengurangkan risiko jangkitan Demam Denggi bagi mencapai kesejahteraan hidup melalui persekitaran yang sihat dan selamat.

 

Tiada Aedes, Tiada Zika, Tiada Chikungunya dan Denggi.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

3 April 2018

Kenyataan Akhbar KPK 5 April 2018 – Kes Terbaru Rabies Kalangan Manusia di Sarawak

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan satu (1) kes kematian yang baru di Sarawak telah disahkan rabies pada 5 April 2018 melalui ujian makmal. Bagi tahun 2018, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sehingga 5 April 2018 adalah sebanyak dua (2) kes. Tiada kes rabies dalam kalangan manusia dilaporkan dari negeri lain di Malaysia.

Kes ini merupakan seorang lelaki, berumur 26 tahun dari Taman Sri Makmur, Bt. 6 Matang, Kuching, Sarawak yang mempunyai sejarah digigit anjing liar pada 23 Disember 2017. Namun begitu, kes tidak mendapatkan rawatan dari klinik dan hanya mendapatkan ubat dari farmasi yang berdekatan. Pada Mac 2018, kes mengalami sakit otot, kebas serta sakit kepala dan mendapatkan rawatan dari klinik swasta pada 29 & 30 Mac 2018. Pada 2 April 2018, keadaan kes semakin teruk dan kes mendapatkan rawatan lanjut di klinik kesihatan kerajaan. Kes kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada hari yang sama. Kes menunjukkan gejala hydrophobia, aerophobia, sakit kepala, hallusinasi, lemah anggota kaki dan muka. Keadaan kes semakin teruk dan meninggal dunia pada 3 April 2018.

Semenjak 30 Jun 2017 hingga 5 April 2018, terdapat lapan (8) kes rabies di Sarawak, di mana tujuh (7) kes meninggal dunia, satu (1) kes telah didiscaj dari hospital dan diberikan rawatan di rumah.

Sehingga 5 April 2018, terdapat 30 kawasan di lima (5) bahagian di Sarawak iaitu Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman, Bahagian Kuching, Bahagian Samarahan dan Bahagian Sarikei yang telah diisytiharkan kawasan jangkitan rabies oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Sehubungan itu, Active Case Detection (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing mengikut prosedur sedia ada telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian yang terlibat.

 

19554799_10154506171336237_2198791464869426564_n

KKM menasihati orang awam yang tinggal di lima (5) bahagian tersebut di Sarawak agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit rabies:

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air mengalir bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan haiwan seperti anjing atau kucing peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  • Pastikan anjing atau kucing peliharaan telah mendapatkan suntikan vaksin anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama haiwan atau anjing liar;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar setempat;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.

KKM dan JKN Sarawak akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

5 April 2018


Kenyataan Akhbar KPK 9 April 2018 – Isu Produk Buah Delima (Pomegranate) Sejukbeku Import Yang Dikaitkan Dengan Virus Hepatitis A

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan akhbar bertajuk Hepatitis A in NSW linked to frozen fruit dan Recall of creative gourmet frozen pomegranate linked to Hepatitis A outbreak yang disiarkan melalui akhbar dalam talian 7 News Sydney https://au.news.yahoo.com/nsw/ pada 6 April 2018 dan 7 April 2018.  Akhbar tersebut melaporkan tujuh kes Hepatitis A di New South Wales, Australia yang dikaitkan dengan produk buah delima (pomegranate) sejukbeku yang diimport dan dijual di rangkaian pasaraya Coles.

Mengikut New South Wales Food Authority pada 9 April 2018,  sebagai langkah berjaga-jaga syarikat Entyce Food Ingredients sedang membuat penarikan balik Pomegranate Arils berjenama Creative Gourmet yang diimport dari Mesir dan dijual di pasaraya Coles. Produk yang terlibat adalah produk buah delima sejukbeku, berat 180g dengan tarikh baik sebelum dan termasuk 21 Mac 2020.

Screen Shot 2018-04-09 at 18.47.11

Makanan yang dicemari dengan virus Hepatitis A boleh menyebabkan radang atau bengkak hati. Jangkitan virus Hepatitis A boleh merebak melalui makanan yang tercemar atau pengendalian yang tidak bersih. KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang menjalankan pemantauan di semua pintu masuk dan sebagai langkah berjaga-jaga, produk buah delima sejukbeku dari Mesir akan dikenakan pemeriksaan tahan, uji, lepas di mana sampel akan diambil untuk analisis dan produk tersebut hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan analisis menunjukkan tiada pencemaran virus Hepatitis A.

Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya adalah bertanggungjawab untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan. Kegagalan mematuhi peraturan tersebut adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga (3) tahun atau denda atau kedua-duanya.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

9 APRIL 2018

Kenyataan Akhbar KPK 19 April 2018 – Siasatan Kejadian Kematian di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam oleh Kementerian Kesihatan Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan berkaitan satu (1) kes kematian yang berlaku di Lokap Berpusat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang dilaporkan di beberapa akhbar bertarikh 18 April 2018. Ia melibatkan seorang lelaki dewasa, berumur 38 tahun yang merupakan seorang yang ditahan di lokap tersebut sejak 29 Mac 2018. Pada masa yang sama, terdapat juga 10 kes yang turut mengadu tidak sihat dengan pelbagai gejala di lokap berpusat ini.

Dimaklumkan, mendiang telah mempunyai sejarah demam, sakit perut, cirit-birit dan kurang selera makan sejak 4 hari yang lepas.  Pada 17 April 2018 sebelah malam, beliau tiba-tiba tidak sedarkan diri dan segera dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam (HSAS). Semasa pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan HSAS, beliau didapati telah meninggal dunia. Sebab kematian belum diketahui, sedang menunggu hasil laporan bedah siasat yang dilakukan di HSAS.

Semasa siasatan dijalankan, didapati terdapat juga 10 kes lain di lokap berpusat IPD Shah Alam yang mengadu tidak sihat dengan pelbagai gejala.  Sembilan (9) kes mempunyai gejala ringan seperti batuk dan selsema, manakala satu (1) kes mempunyai gejala sakit perut dan cirit-birit.  Sebanyak tujuh (7) kes telah diberikan rawatan semasa di Lokap berpusat IPD Shah Alam oleh pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), manakala tiga (3) kes pula telah dirujuk ke Jabatan Kecemasan HSAS untuk rawatan dan seterusnya dibenarkan pulang.

Pasukan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sedang giat mejalankan aktiviti pencegahan dan kawalan di Lokap Berpusat IPD Shah Alam seperti berikut;

  1. Aktiviti penyahjangkitan (disinfection) melibatkan kawasan persekitaran sel dan lokap;
  2. Pengasingan di antara kes-kes yang bergejala daripada orang yang sihat sehingga kesemua mereka sembuh;
  3. Aktiviti pemantauan kesihatan harian terhadap anggota kerja IPD Shah Alam dan orang yang ditahan. Sekiranya didapati tidak sihat mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan;
  4. Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan amalan pencegahan dan kawalan jangkitan dalam kalangan anggota kerja IPD Shah Alam dan orang yang ditahan turut diperkukuhkan;
  5. Pemeriksaan kebersihan persekitaran di IPD telah dijalankan termasuk kebersihan dan keselamatan makanan yang dibekalkan. Pemeriksaan ini masih terus dijalankan.

Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan didapati situasi di dalam lokap adalah bersih dan terkawal. Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi kejadian ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sekian dan terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

19 April 2018

Kenyataan Akhbar KPK 19 April 2018 – Isu Cacing Mati Ditemui Dalam Produk Ikan Sardin Dalam Tin Dari Negara China

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan yang tular di laman media sosial berkaitan cacing mati yang ditemui dalam produk ikan sardin dalam tin dari negara China. Laporan tersebut menyatakan bahawa pihak Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Indonesia mengarahkan tiga (3) pengimport produk ikan sardin dalam tin untuk menarik balik produknya dari pasaran setelah pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk mereka yang diimport dari negara China.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan mackerel dalam tin. Dalam isu ini, hasil analisis mendapati Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd. dari negara China tidak mematuhi Akta Makanan 1983 kerana mengandungi bendasing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp.

WhatsApp Image 2018-04-19 at 4.58.55 PMWhatsApp Image 2018-04-19 at 4.58.54 PM

Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh KKM di mana syarikat pengimport terlibat telah diarah memanggil balik produk tersebut. KKM akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

19 April 2018

Kenyataan Akhbar KPK 20 April 2018 – Isu Produk Marjerin Yang Mengandungi Glycidol dan 3-MCPD (3-monochloropropane-1,2-diol)

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan portal dalam talian bertajuk “Shocking analysis reveals a causing substances in these brands of margarine” melalui pautan https://www.worldofbuzz.com/shocking-analysis-reveals-cancer-causing-substances-in-these-18-brands-of-butter/ pada 16 April 2018. Akhbar tersebut melaporkan pihak Hong Kong Consumer Council mendapati 18 jenama marjerin di pasaran Hong Kong mengandungi glycidol (epoxy propanol) dan 16 jenama marjerin pula dikesan mengandungi 3-MCPD (3-monochloropropane-1,2-diol) yang berkemungkinan boleh menyebabkan kanser.

butter

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan kandungan glycidyl esters (GE) dan 3-MCPD esters ke atas beberapa produk marjerin di Malaysia. Hasil pemantauan mendapati kadar pendedahan pengguna di Malaysia terhadap GE dan 3-MCPD esters melalui pengambilan marjerin adalah rendah dan tidak mendatangkan risiko kesihatan kepada pengguna.

Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada maklumat saintifik yang jelas mengenai peratus kandungan GE dalam makanan yang boleh bertukar kepada glycidol di dalam usus. Glycidol merupakan bahan yang terhasil dari penguraian GE di dalam usus. GE adalah sejenis bahan cemar yang dikesan dalam semua jenis minyak dan lemak sayuran yang terhasil semasa proses penapisan pada suhu tinggi yang melebihi 240°C.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)  www.facebook.com/bkkmhq

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

20 APRIL 2018

Kenyataan Akhbar KPK 26.4.2018 – Kes Demam Campak (Measles) Dalam Penerbangan Malaysia Airlines

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada laporan media di dalam akhbar bertarikh 23 April 2018 yang bertajuk New Zealand warns of measles infection on Malaysia Airlines flight. Pada 20 April 2018, KKM telah menerima pemakluman daripada pihak Kementerian Kesihatan New Zealand berkaitan kes demam campak (measles) melibatkan seorang penumpang warga New Zealand yang telah menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH781 dari Bangkok ke Kuala Lumpur pada 14 April 2018. Beliau telah transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama 10 jam, sebelum menaiki penerbangan MH133 dari Kuala Lumpur ke Auckland pada 14 April 2018.

122

Beliau disyaki mendapat jangkitan measles di Bangkok, Thailand dan telah timbul gejala ruam pada 14 April 2018 semasa dalam penerbangan. Pihak Kementerian Kesihatan New Zealand telah memaklumkan dua (2) orang penumpang warga Malaysia telah dikenalpasti sebagai kontak dan telah kembali ke Malaysia pada 21 April 2018.

Pihak KKM telah menghubungi kedua-dua kontak tersebut dan mereka didapati sihat dan tidak menunjukkan gejala jangkitan measles. Nasihat telah diberikan agar mereka mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai gejala. Pihak KKM juga sedang mendapatkan maklumat lanjut dari pihak Malaysia Airlines mengenai penumpang lain yang mungkin telah terdedah kepada kes measles dalam kedua-dua penerbangan tersebut serta terus berhubung dengan pihak Kementerian Kesihatan New Zealand mengenai status langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pengesanan kontak (contact tracing) yang telah dijalankan.

Measles adalah sejenis penyakit berjangkit yang boleh dicegah dengan pengambilan vaksin measles. Gejala penyakit ini termasuk demam, ruam, batuk, selesema dan sakit mata (konjunktivitis). Komplikasi jangkitan measles termasuk jangkitan paru-paru (pneumonia) dan radang otak (encephalitis). Di Malaysia imunisasi measles diberikan dalam bentuk vaksin tiga (3) serangkai Measles-Mumps-Rubella (MMR). Ia diberikan sebanyak dua (2) dos pada usia sembilan (9) bulan dan satu (1) tahun. Liputan imunisasi yang melebihi 95% dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti virus ini.

Sehubungan itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai terutamanya yang mengunjungi atau bekerja di KLIA atau yang menggunakan penerbangan Malaysia Airlines agar tidak khuatir dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan etika batuk yang betul. Orang ramai yang ingin melancong ke luar negara perlu memastikan mereka dalam keadaan sihat. Segera berjumpa doktor sekiranya mendapat sebarang tanda atau gejala demam campak (measles) untuk rawatan segera. Kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan measles yang teruk adalah kanak-kanak terutama mereka yang tidak pernah mendapat imunisasi measles. Kanak-kanak yang belum dapat imunisasi measles boleh dibawa ke mana-mana fasiliti kesihatan untuk mendapatkan suntikan vaksin measles. Jangkitan measles bagi orang dewasa adalah ringan dan tidak perlu khuatir sekiranya telah menerima suntikan imunisasi measles. KKM menyarankan, bagi orang dewasa yang tidak pernah menerima suntikan imunisasi measles, boleh mendapatkannya di mana-mana fasiliti kesihatan swasta sebagai perlindungan dari mendapat jangkitan measles.

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

25 April 2018

 

 

kkm

Press Statement

Ministry Of Health Malaysia

Measles Infections Reported On Board Malaysia Airlines

 

Ministry of Health (MOH) Malaysia would like to refer to media reports on the 23rd April 2018 titled “New Zealand warns of measles infection on Malaysia Airlines flight”. MOH received a notification of a measles case on 20th April 2018 from Ministry of Health New Zealand. The case was a New Zealand national on board of Malaysia Airlines MH781 from Bangkok, Thailand bound for Kuala Lumpur on 14th of April 2018. The case transited in Kuala Lumpur International Airport (KLIA) for 10 hours before boarding another Malaysia Airlines flight MH133 to Auckland on the same day.

The case was already ill on board flight from Bangkok to Kuala Lumpur with onset of rash on the same day of travel to New Zealand. The New Zealand Health Authority had alerted MOH Malaysia regarding two (2) Malaysian nationals returning to Malaysia on the 21st April 2018, whom were the contacts of the measles case. The two (2) contacts were healthy and were given necessary health advice. MOH public health response was initiated to ensure passengers on board the same flights are contact- traced and given health education.

Measles is an infectious disease which is preventable by measles vaccine. The symptoms includes fever, rash, cough, coryza and conjunctivitis. Complication of measles includes pneumonia and encephalitis which may be fatal if not treated. In Malaysia, measles immunisation (Measles-Mumps-Rubella (MMR)) is given at 9 months and 12 months old. Immunisation coverage of 95% in the community will induce herd immunity thus preventing children from being infected with measles virus.

MOH assures the public especially people who work in KLIA or travelling with Malaysia Airlines to remain calm by the news of measles infection.  Measles infection in adult is usually mild and they will be protected from measles if they are vaccinated. Children however, are more prone to measles infections and can have severe form of the disease particularly if they were not vaccinated against measles.  Hence, it is of paramount importance for the public to ensure children are given vaccination according to the recommended schedule. Please visit nearest health facilities to get measles vaccination for your children. Adults who wish to get measles vaccination can do so at any private health facilities. Travelers should be healthy before planning to go abroad. Public should observe personal hygiene and proper cough etiquette in crowded places. Seek medical treatment early if any of the measles symptoms appear.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Director General of Health Malaysia

 

25th April 2018

Viewing all 1621 articles
Browse latest View live