Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all 1621 articles
Browse latest View live

Kenyataan Akhbar KPK 28 September 2018 – Jeruk Kulit Limau dari China Dikesan Mengandungi Plumbum Tidak Diimport ke Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan akhbar Berita Harian pada 26 September 2018 bertajuk “Kulit limau jeruk dikesan ada kandungan plumbum”. Akhbar tersebut melaporkan kulit limau jeruk keluaran Jiabao Jiuzhi Chenpi dari China yang popular di beberapa negara termasuk Malaysia dan Singapura dikesan dicemari plumbum oleh pihak berkuasa negara China.

Screen Shot 2018-09-28 at 12.14.34 PM

Plumbum adalah bahan cemar yang hadir di dalam udara, air, tanah, produk hasil pertanian, makanan dan barangan lain seperti cat.  Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pendedahan kepada plumbum boleh menyebabkan gangguan kepada perkembangan minda kanak-kanak dan meningkatkan tekanan darah bagi orang dewasa.

Berdasarkan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia– FoSIM) dari tahun 2017 sehingga kini, jeruk kulit limau keluaran Jiabao Jiuzhi Chenpi dari negara China yang terlibat dalam isu ini TIDAK diimport ke Malaysia. Walaubagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah meningkatkan pemantauan ke atas semua jenis jeruk buah kering termasuklah jeruk kulit limau yang diimport dari negara China di semua pintu masuk negara. Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

28 September 2018


Kenyataan Akhbar KPK 28 September 2018 – Aktiviti Pemeriksaan Khas Bagasi Penumpang di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2)

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah mengadakan aktiviti pemeriksaan khas bagasi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2) bermula pada jam 12:00 tengah malam 24 September 2018 dan berakhir jam 8:00 pagi pada 25 September 2018.

Aktiviti pemeriksaan khas ini diketuai oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM bersama-sama dengan 28 orang Pegawai Penguatkuasaan Farmasi dari BPF dan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor dengan kerjasama pegawai-pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertugas di KLIA dan KLIA2.

Aktiviti ini diadakan bertujuan untuk memastikan kemasukan/pengimportan ubat-ubatan dan kosmetik adalah mengikut keperluan peruntukan undang-undang di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturannya, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984.

Hasil daripada pemeriksaan khas ini, sejumlah 284 jenis ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM telah dirampas. Ubat-ubatan ini kebanyakannya dibawa oleh penumpang warganegara asing yang bekerja di Malaysia dalam kuantiti yang melebihi sebulan untuk penggunaan oleh setiap orang. Kesemua produk yang dirampas akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan, individu terbabit akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama. Manakala, untuk kesalahan berikutnya akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebagai peringatan kepada orang awam, ubat-ubatan yang diimport ke Malaysia perlu berdaftar dengan KKM dan diimport oleh pengimport yang mempunyai lesen. Pengimportan ubat yang tidak berdaftar untuk kegunaan individu hanya dibenarkan bagi kegunaan sebulan oleh seorang sahaja di bawah Akta dan Peraturan yang dikuatkuasakan.

Orang awam juga dinasihatkan agar tidak menggunakan produk-produk yang tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan KKM. Selain itu, orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.

Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. Aduan juga boleh disalurkan kepada mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi di setiap negeri agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk sebegini di pasaran.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

28 September 2018

Kenyataan Akhbar KPK 1 Oktober 2018 – Penerbitan “Malaysian Study On Cancer Survival” (MySCan)

$
0
0

Screen Shot 2018-10-01 at 10.07.17

Penyakit kanser merupakan penyebab kematian yang kedua tertinggi di dunia yang menyumbang kepada 8.8 juta kematian pada tahun 2015. Di Malaysia, kanser merupakan salah satu penyebab utama kematian di hospital kerajaan dan juga di hospital swasta. Peningkatan kematian dalam kalangan pesakit kanser di peringkat awal memberi impak kepada survival kanser yang lebih rendah.

Survival kanser atau keupayaan untuk pesakit kanser memanjangkan jangka hayat lebih lama setelah didiagnos merupakan fokus utama dalam pengurusan pesakit kanser. Selain daripada data kadar insiden dan kadar kematian, survival kanser merupakan salah satu indikator yang penting untuk menilai keberkesanan program kawalan dan pencegahan kanser.

Kajian menunjukkan pengesanan awal penyakit kanser melalui kaedah saringan yang disarankan secara saintifik mampu meningkatkan survival kanser melalui rawatan di peringkat awal. Justeru itu, ia dapat meningkatkan jangka hayat mereka dan kemungkinan untuk bebas dari kanser dalam tempoh yang lebih panjang. Penggunaan data survival kanser sebagai pengukur keberkesanan program saringan dan rawatan kanser banyak digunakan oleh para profesional dan penggubal polisi di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Screen Shot 2018-10-01 at 10.09.01.png

Penerbitan ‘Malaysian Study on Cancer Survival‘ (MySCan) oleh Jabatan Registri Kanser Kebangsaan, Institut Kanser Negara merupakan inisiatif untuk membentuk sistem survelan survival kanser kebangsaan. Laporan ini merupakan laporan survival pertama di Malaysia yang menggunakan data daripada Registri Kanser Kebangsaan (Population-Based Cancer Registry) dan ianya boleh dijadikan titik asas pengukur kepada laporan MySCan yang seterusnya.

Laporan MyScan yang dikeluarkan pada tahun ini menganalisa survival kanser untuk tempoh 0 – 10 tahun yang merangkumi 15 jenis kanser tertinggi di Malaysia yang didiagnos pada tahun 2007-2011. Didapati 5 – year relative survival (RS) yang lima tertinggi adalah kanser kelenjar tiroid (82.3%), prostate (73.0%), corpus uteri atau rahim (70.6%), kanser payudara wanita (66.8%) dan kanser kolon atau usus besar (56.8%). Tiga kanser yang mempunyai 5 – year RS yang paling rendah adalah kanser pankreas (14%), kanser hati (12.8%) dan kanser paru-paru (11%). RS juga didapati lebih tinggi di kalangan wanita berbanding dengan lelaki.

Analisa mengikut tahap kanser (stage) menunjukkan semakin lewat kanser dikesan semakin rendah survival. Analisa hazard ratio (HR) mendapati pesakit kanser di tahap 4 mempunyai nisbah risiko kematian (HR) berbanding kanser di tahap 1 adalah sebanyak 7.52 kali ganda lebih tinggi bagi kanser payudara, 5.45 kali ganda lebih tinggi bagi kanser pangkal rahim dan 3.86 kali ganda lebih tinggi bagi kanser kolorektal.

Kajian ini dapat merumuskan bahawa pengesanan awal kanser melalui kaedah saringan yang efektif amat penting untuk meningkatkan survival terutamanya untuk kanser payudara, pangkal rahim dan kolorektal. Perhatian serius  perlu diberikan bagi pencegahan kanser paru-paru dalam program pencegahan dan kawalan tembakau kerana kanser ini mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi. Program rawatan berhenti merokok kepada 5 juta perokok yg berisiko tinggi untuk mendapat kanser paru-paru adalah lebih kos efektif berbanding dengan rawatan kanser ini.

Diharapkan para ahli profesional perubatan termasuk pakar – pakar klinikal dan kesihatan awam, ahli akademik, penggubal polisi dan pertubuhan  yang berurusan secara langsung dan tidak langsung dalam pelbagai aktiviti dan program pencegahan dan pengurusan kanser di Malaysia dapat memanfaatkan maklumat yang diterbitkan dalam meningkatkan pengurusan pesakit kanser di Malaysia. Laporan ini kini boleh dimuat turun melalui pautan http://nci.moh.gov.my/index.php/ms/list-penerbitan/35-laporan/522-myscan.

Sekian, terima kasih

 DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan

1 Oktober 2018

Kenyataan Akhbar KPK 4 Oktober 2018 – Operasi Khas Produk Vaksin dan Misoprostol Tidak Berdaftar Dari Luar Negara

$
0
0
  1. Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima aduan berkenaan penjualan produk vaksin tidak berdaftar dari negara India di pasaran. Hasil siasatan awal mendapati produk vaksin tersebut dijual secara terus oleh warga tempatan kepada klinik – klinik perubatan swasta di sekitar kawasan Lembah Klang.

 

TINDAKAN PENGUATKUASAAN

  1. Hasil risikan yang dijalankan, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak disyaki dalam pengedaran dan penjualan produk vaksin tidak berdaftar. Hasil operasi serbuan yang yang dijalankan terhadap 2 orang suspek di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur telah berjaya menjumpai lebih 350 vial produk vaksin tidak berdaftar bernilai lebih RM 28 ribu. Pemeriksaan juga telah menjumpai sebanyak lebih 1,400 biji tablet Misoprostol bernilai lebih RM 63 Ribu yang disyaki dijual di pasaran gelap untuk tujuan pengguguran haram. Kesemua produk yang dirampas merupakan produk keluaran dari negara India. Maklumat produk yang dirampas adalah seperti berikut :
Bil. Nama Negara pengeluar
1. Bio Typh Typhoid Polysaccharide Vaccine India
2. Tetanus Vaccine India
3. Cytolog Misoprostol Tablet India

vv3

  1. Penjualan produk- produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Produk vaksin dan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual hanya boleh dibekalkan untuk tujuan rawatan pesakit oleh pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi yang sah.
  2. Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

 

NASIHAT KEPADA ORANG AWAM

  1. Pihak kementerian menasihatkan orang ramai supaya memastikan produk-produk kesihatan yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang berkuatkuasa. Produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag pada pembungkusannya. Pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari http://www.npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.
  2. Orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran. Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

4 Oktober 2018

Kenyataan Akhbar KPK 6 Oktober 2018 – Isu Penarikan Semula Produk Iceberg Lettuce Keluaran Malaysia dari Pasaran Singapura

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk iceberg lettuce keluaran Malaysia dari pasaran Singapura di laman sesawang Agri-Food & Veterinary Authority (AVA) bertarikh 4 Oktober 2018. Laporan tersebut menyatakan pihak AVA telah mengarahkan produk lettuce berjenama Pasar dan Iceberg keluaran Malaysia dengan berat 400 gram setiap produk ditarik balik dari pasaran Singapura kerana dikesan tercemar dengan bahan kimia fipronil.

lett2

Fipronil adalah sejenis racun serangga yang biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama. Pengambilan fipronil pada paras yang tinggi dalam jangka masa pendek boleh menyebabkan berpeluh, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, pening, resah, lemah dan kekejangan.

Hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dari tahun 2017 sehingga Julai 2018, sebanyak 5,297 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan telah diambil di pasaran tempatan  dan di pintu masuk negara bagi yang diimport untuk dianalisis. Hasil analisis mendapati sebanyak 97 (1.8%) sampel dikesan mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan.

Bagi isu penjualan lettuce ini, KKM telah menjalankan siasatan dan mengesahkan bahawa produk lettuce terlibat dijual di pasaran tempatan dengan jenama Vege 2 Fresh. Sehubungan itu, syarikat terlibat sedang menarik balik produk secara sukarela dari pasaran. Manakala pihak penjual diminta untuk  menghentikan penjualan produk tersebut serta-merta. Pengguna yang telah membeli produk tersebut dinasihatkan supaya tidak memakannya.

KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas sayur-sayuran di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan ke atas perundangan makanan.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

6 Oktober 2018

Kenyataan Akhbar KPK 9 Oktober 2018 – Produk-Produk Kosmetik yang Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

$
0
0

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti di bawah:

Screen Shot 2018-10-08 at 23.27.09

Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL DAN KESANNYA PADA KESIHATAN

Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata. Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Produk yang dicampurpalsu dengan diphenhydramine bertujuan untuk memberikan kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit. Penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk.

Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan dan boleh memudaratkan kesihatan. Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Click to view slideshow.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK KOSMETIK INI

Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

9 Oktober 2018

Kenyataan Akhbar KPK 9 Oktober 2018 – Status Terkini Kejadian Keracunan Makanan Yang Disyaki Berpunca Dari Laksa Yang Dibeli Dari Premis di Kupang, Baling Kedah

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca dari memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang, Baling Kedah seperti yang dilaporkan dalam kenyataan akhbar pada 8 Oktober 2018. Untuk makluman, sehingga kini terdapat pertambahan sebanyak 42 kes baharu (14 kes di Kedah, 7 di Perak dan 21 kes di Selangor) dilaporkan dengan gejala yang sama. Hasil siasatan mendapati pesakit-pesakit yang bergejala mempunyai sejarah telah memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang Baling Kedah iaitu di premis yang sama seperti dilaporkan oleh kes-kes KRM sebelum ini.

Dengan pelaporan kes-kes baharu ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes-kes kejadian KRM sebanyak 61 kes termasuk dua (2) kematian, iaitu 24 kes di Kedah [16 kes dari daerah Baling, lima (5) kes dari daerah Sik dan (3) dari daerah Kulim], 21 kes di daerah Hulu Langat Selangor dan 16 kes dari Hulu Perak Grik. Sebanyak 21 pesakit dirawat sebagai pesakit dalam iaitu (5) di Hospital Grik, lima (5) di Hospital Pantai Sungai Petani, empat (4) di Hospital Baling, tiga (3) di Hospital Sik, tiga (3) di Pusat Perubatan UKM (PPUKM) dan satu (1) di Hospital Columbia Asia. Selebihnya sebanyak 38 pesakit dirawat sebagai pesakit luar. Kesemua pesakit dilaporkan dalam keadaan stabil. Jumlah kematian kekal pada 2 kematian setakat ini.

Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah telah menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap premis yang menjual laksa tersebut dan siasatan juga mendapati ramuan laksa yang dijual tidak ada kaitan dengan Iceberg Lettuce yang telah tular di media sosial. Setakat ini KKM masih menunggu keputusan daripada sampel makanan yang telah dihantar ke makmal untuk analisa. Sampel najis daripada dua (2) kes keracunan makanan di Baling adalah positif Salmonella spp. Kajian lanjut penemuan ini sedang dijalankan.

KKM sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan. Tatacara keselamatan makanan perlu dititik beratkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam. Makanan mesti dimakan tidak lebih daripada empat (4) jam selepas penyediaannya. Sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah di dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan.

Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi. Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

9 Oktober 2018

Kenyataan Akhbar KPK 11 Oktober 2018 – Status Terkini Kejadian Keracunan Makanan di Kedah, Perak dan Selangor Pada 11 Oktober 2018

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca dari memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang, Baling Kedah seperti yang dilaporkan dalam kenyataan akhbar sebelum ini.  Berbanding laporan sebelum ini pada 9 Oktober 2018, terdapat 19 kes baharu [satu (1) di Kedah, 15 di Perak dan tiga (3) di Selangor]. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 80 kes termasuk dua (2) kematian; dengan pecahan 31 kes di Perak [termasuk dua (2) kes kematian], 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor. Daripada jumlah tersebut, hanya sembilan (9) kes masih berada di hospital dan semuanya dalam keadaan stabil.

Setakat ini, sebanyak 10 sampel makanan telah dihantar ke makmal untuk ujian termasuk empat (4) sampel mi laksa, empat (4) sampel kuah laksa dan dua (2) sampel bahan campuran salad untuk laksa. Pihak KKM masih menunggu keputusan sepenuhnya ujian-ujian tersebut. Punca sebenar bagi kejadian keracunan makanan ini masih lagi dalam siasatan.

KKM sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan. Tatacara keselamatan makanan perlu dititik beratkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam. Makanan mesti dimakan tidak lebih dari empat (4) jam selepas penyediaannya. Sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah di dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan.

43557451_10217386731569590_7231812739834839040_n

Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi. Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

11 Oktober 2018

 

 43527223_10217386730969575_9026024229543346176_n43701042_10217386731289583_7136883057671274496_n

 

 


Kenyataan Akhbar KPK 17 Oktober 2018 – Kematian Kes Disyaki Jangkitan Difteria Di Daerah Johor Bahru, Johor

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan kejadian satu (1) kes kematian disyaki akibat jangkitan Difteria di daerah Johor Bahru pada 15 Oktober 2018.

Kes yang dilaporkan merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan. Pesakit tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarga enggan menerima imunisasi. Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Oktober 2018 dan telah dibawa oleh ibunya mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 11 Oktober 2018. Keesokan harinya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke unit kecemasan hospital kerana sesak nafas dan hilang selera makan. Pesakit dimasukkan ke wad kanak-kanak dan seterusnya dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik pada 13 Oktober 2018 kerana keadaan semakin lemah dan memerlukan bantuan pernafasan. Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada 15 Oktober 2018 akibat Severe Diphtheria with multiorgan failure. Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak pesakit menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan ujian pengesahan makmal.

infografik difteria

Penyakit difteria merupakan jangkitan kuman bakteria Corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak (farinks / kerongkong), dengan kemungkinan berlaku komplikasi bakteremia dan endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga boleh membawa maut.

Tindakan yang telah dijalankan bagi membendung penularan jangkitan ini adalah termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi, dan pendidikan kesihatan. Sehingga hari ini tiada kes baru dilaporkan kepada kementerian ini.

KKM ingin menasihati orang awam agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, measles, mumps dan lain-lain. Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperolehi daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada jangkitan kuman malahan boleh membahayakan komuniti.

Dengan itu dinasihatkan ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka tampil untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Bagi kanak – kanak yang telah tercicir suntikan, mereka masih boleh mendapatkan perkhidmatan di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

 

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

17 Oktober 2018

Kenyataan Akhbar KPK 21 Oktober 2018 – Status Terkini Kejadian Keracunan Makanan di Kedah, Perak dan Selangor Pada 21 Oktober 2018

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca dari memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang, Baling Kedah seperti yang dilaporkan dalam kenyataan akhbar sebelum ini. Tiada kes baru dikesan sejak 9 Oktober 2018 dan jumlah keseluruhan kes kekal 83 kes termasuk dua (2) kematian; dengan pecahan 34 kes di Perak [termasuk dua (2) kes kematian], 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor. Semua kes yang dirawat di hospital telah didiscaj.

Berdasarkan hasil siasatan dan keputusan makmal yang lengkap diperolehi pada 21 Oktober 2018 (Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang), agen penyebab keracunan makanan ini adalah Salmonella enterica serovar Weltevreden. Bakteria ini telah dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan sampel mi laksa yang terlibat. Untuk makluman, dengan menggunakan kaedah ujian Pulse Field Gel Electrophoresis (PFGE), didapati bakteria tersebut berpunca dari satu sumber iaitu mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober 2018 dari gerai terbabit. Mi laksa yang dijual pada 4 Oktober tersebut dihasilkan di premis pemprosesan mi laksa, milik pengusaha yang juga tuan punya gerai tersebut. Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih, serta suhu penyediaan mi laksa semasa pemprosesan dan suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman. Pada 21 Oktober 2018 petang, tuan punya gerai menjual mi laksa yang terlibat telah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling berkaitan hasil siasatan yang dijalankan.

Salmonella enterica serovar Weltevreden adalah salah satu dari serotaip bakteria Salmonella spp. Jangkitan oleh bakteria ini boleh menyebabkan gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit-birit. Jangkitan lazimnya berlaku akibat pencemaran makanan dan air oleh bakteria ini.

43701042_10217386731289583_7136883057671274496_n

Gerai menjual laksa yang terlibat telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 sejak 8 Oktober 2018. Tuan punya gerai harus mengambil langkah-langkah pembaikan segera dengan memastikan semua keperluan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan keperluan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi sepenuhnya. Tuan punya gerai terbabit juga telah dimaklumkan sekiranya semua keperluan ini dipatuhi maka premis ini boleh dibuka semula.

Aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit serta pendidikan kesihatan tentang pengendalian makanan yang selamat di premis makanan terbabit telah dijalankan oleh KKM. Selain itu, KKM juga akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di semua premis makanan. Tindakan kompaun dan undang-undang boleh diambil ke atas tuan punya atau pengendali makanan yang tidak akur akan sebarang peruntukan di bawah Peraturan-peraturan tersebut.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

21 Oktober 2018

43527223_10217386730969575_9026024229543346176_n43557451_10217386731569590_7231812739834839040_n

Kenyataan Akhbar KPK 25 Oktober 2018 -Isu Bekalan Ubat Hepatitis C kepada Pesakit

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum berkenaan artikel yang dikeluarkan oleh portal berita The Star Online bertajuk Government urged to replenish as Hepatitis C medicines stock in government hospitals run out’ yang bertarikh 24 Oktober 2018 dan Hep C patient left in the lurch’ bertarikh 25 Oktober 2018.

Sebagai makluman, rawatan terkini penyakit Hepatitis C ini adalah kombinasi dua jenis ubat iaitu Direct Acting Antivirals (DAAs) Tablet Sofosbuvir 400mg dan Tablet Daclatasvir 60mg.

Stok semasa Tablet Sofosbuvir 400mg adalah mencukupi untuk semua pesakit manakala stok Tablet Daclastavir 60mg adalah terhad buat masa ini. KKM telah mengambil langkah untuk mengagihkan semula stok ke hospital-hospital yang memerlukan bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat kepada semua pesakit.

Bekalan stok Tablet Daclastavir 60mg dijangka akan tiba pada minggu pertama November 2018 untuk merawat pesakit baru yang memulakan rawatan. Sementara itu, bekalan ubat untuk pesakit yang telah menerima rawatan adalah mencukupi.

Screen Shot 2018-10-25 at 12.48.08.png

KKM memberi jaminan akan meneruskan rawatan bagi penyakit  Hepatitis C dan sentiasa proaktif untuk memastikan pesakit sentiasa mendapat rawatan yang sewajarnya selaras dengan sasaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membasmi penyakit Hepatitis C menjelang 2030.

Sekian, terima kasih

 

Datuk Dr Noor Hisham Bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

25 Oktober 2018

Kenyataan Akhbar KPK 26 Oktober 2018 – Penutupan Sekolah Akibat Kluster Beguk (Mumps) di Selangor

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum tentang laporan oleh beberapa portal berita atas talian berkenaan penutupan dua buah sekolah di Kajang dan Gombak akibat kluster beguk (mumps) dan kenyataan media oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 25 Oktober 2018.

Pihak KKM ingin memaklumkan bahawa, kejadian kluster beguk di kalangan pelajar di sebuah sekolah di Kajang telah dilaporkan pada 14 Ogos 2018. Tindakan kawalan dan pencegahan telah dijalankan termasuk pengasingan pelajar dan pendidikan kesihatan sejak kluster ini dilaporkan. Namun begitu, masih berlaku penularan jangkitan akibat pergaulan pelajar yang berterusan, walaupun arahan pengasingan kes telah diberikan. Penutupan sekolah dari 23 Oktober 2018 hingga 9 November 2018 adalah sebagai salah satu langkah memutuskan rangkaian jangkitan beguk. Manakala pelaporan kejadian sama di sebuah sekolah di Gombak pula diterima pada 16 Oktober 2018 dan sekolah ditutup dari 24 Oktober 2018 hingga 6 November 2018 untuk tujuan yang sama. Semua pelajar yang terlibat dari kedua – dua sekolah ini berada dalam keadaan stabil dan telah mendapatkan rawatan.

Penyakit beguk disebabkan oleh jangkitan virus Paramyxovirus. Pesakit akan mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur). Jangkitan boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar dengannya. Pesakit biasanya akan sembuh sepenuhnya selepas dua (2) hingga tiga (3) minggu. Komplikasi beguk seperti jangkitan testis, telinga, otak dan ovari adalah sangat jarang berlaku.

Beguk

Sehingga 20 Oktober 2018, sebanyak 75 kluster beguk telah dilaporkan di seluruh Malaysia berbanding sebanyak 64 kluster bagi tempoh yang sama pada tahun 2017. Dari jumlah 75 kluster dilaporkan tersebut, sebanyak 59 kluster (78.7%) berlaku di sekolah. Oleh kerana tempoh keboleh-jangkitan beguk yang panjang iaitu bermula sebelum sebarang tanda dan gejala timbul, ia menyebabkan sukar mengesan kes pada peringkat awal rebakan jangkitan. Pergaulan di antara murid semasa di sekolah pula memudahkan jangkitan tersebar.

Pemberian imunisasi terhadap beguk akan memberi perlindungan terhadap jangkitan dan mengurangkan risiko dijangkiti penyakit ini atau bila dijangkiti gejala jangkitan adalah ringan. Imunisasi beguk di Malaysia bermula sejak tahun 2002 dan ia terdapat dalam vaksin tiga (3) serangkai Measles-Mumps-Rubella (MMR).

Screen Shot 2018-08-31 at 09.44.08

KKM ingin menasihati murid-murid yang mempunyai gejala beguk untuk tidak hadir ke sekolah untuk mengelakkan jangkitan kepada rakan-rakan sepersekolahan. Orang ramai yang mengalami gejala dan tanda-tanda beguk pula diminta untuk mendapatkan nasihat doktor; dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul bagi mengelakkan penularan penyakit ini.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

26 Oktober 2018

Kenyataan Akhbar KPK 27 Oktober 2018 – RM2.8 Juta Ubat-Ubatan Dirampas Sepanjang OPERASI PANGEA XI 2018 di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi bersama-sama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cybersecurity Malaysia (CSM) telah menyertai operasi antarabangsa, OPERASI PANGEA XI bermula 9 hingga 16 Oktober 2018.

Tahun ini merupakan penyertaan Malaysia yang ke-6 dalam operasi ini yang diselaraskan oleh INTERPOL bersama-sama dengan 116 buah negara-negara lain dalam usaha membanteras penjualan ubat-ubatan serta peranti perubatan yang berbahaya kepada pengguna secara dalam talian.

Operasi Pangea XI  kali ini mensasarkan 3 aspek utama iaitu pembekal perkhidmatan internet (ISP), sistem pembayaran elektronik dan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan (kurier dan pos).

Sepanjang tempoh operasi tersebut, tindakan penguatkuasaan seperti pemeriksaan di semua pintu masuk utama dan serbuan ke atas premis yang menjual produk kesihatan secara dalam talian telah dilaksanakan.

Hasilnya, sebanyak 251,782 jenis produk kesihatan yang melanggar undang-undang yang dianggarkan bernilai RM2.8 juta telah dirampas. Antara ubat-ubatan yang dirampas ialah pil gugur, suntikan vitamin C, antibiotik, steroid serta produk kesihatan disyaki mengandungi racun.

Screen Shot 2018-10-27 at 11.39.02

Selain itu, seramai 339 peniaga yang mengiklankan produk kesihatan dan melanggar undang-undang telah diambil tindakan di mana sebanyak 403 laman sesawang dan 723 akaun di laman sosial telah disekat atau ditutup.

Sebanyak 144 kempen kesedaran pengguna turut diadakan sepanjang tempoh operasi ini bagi meningkatkan kesedaran pengguna tentang risiko dan bahaya pembelian ubat-ubatan secara dalam talian. Ini termasuklah edaran “Garis Panduan kepada Selebriti dalam Pengiklanan Produk Kesihatan” dengan kerjasama akhbar Berita Harian sebagai panduan kepada selebriti semasa mengiklankan produk kesihatan.

pastikan semak sebelum klik

Pengguna adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada professional penjagaan kesihatan sebelum menggunakan ubat-ubatan. Selain itu, pengguna juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimonial di laman sesawang dengan tuntutan perubatan yang tidak munasabah.

Sebarang pertanyaan atau aduan berhubung penjualan ubat-ubatan, sila hubungi Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau menerusi laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my

 

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

27 Oktober 2018

Kenyataan Akhbar KPK 5 November 2018 – RM300 Ribu Produk Campurpalsu Dengan Racun dan Tidak Berdaftar Dirampas

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah menjalankan serbuan pada 1 November 2018 ke atas 8 buah premis pengedar dan penjual yang terletak di Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu kerana disyaki menjual produk tidak berdaftar dan dicampurpalsu dengan racun Sildenafil dan Tadalafil.

Serbuan dijalankan berikutan aduan awam mengenai penjualan produk tersebut secara dalam talian. Hasil analisa kimia yang dijalankan terhadap 2 sampel yang diperolehi di pasaran telah dikesan mengandungi racun seperti berikut:

Screen Shot 2018-11-05 at 4.31.03 PM

Selain itu, turut ditemui ialah produk yang disyaki tidak berdaftar dengan KKM iaitu Gambir Emas Performance Gel dengan Estrak Ginseng, Gambir Emas Performance Gel, G.E Herbs Performance Oil dan Kama-Max Performance Spray. Kesemua produk yang dianggarkan bernilai RM 300,000 telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.

Di bawah Akta Jualan Dadah 1952, jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu. Bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000. Manakala bagi produk yang dicampurpalsu dengan racun, jika sabit kesalahan, individu/syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM menasihatkan orang ramai yang mempunyai stok produk ini untuk menghentikan dengan SERTA MERTA semua penjualan, pengedaran atau penggunaannya. Sildenafil dan Tadalafil merupakan sejenis racun kumpulan B yang hanya boleh digunakan melalui preskripsi oleh pengamal perubatan berdaftar. Apabila diambil tanpa nasihat profesional kesihatan, boleh mengakibatkan kesan sampingan yang serius seperti serangan jantung yang boleh membawa maut.

pastikan semak sebelum klik

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk-produk kesihatan yang dibeli di pasaran adalah produk yang berdaftar dengan KKM.

Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari http://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store.

Orang ramai juga digalakkan untuk mengemukakan aduan berkenaan produk kesihatan kepada pihak BPF, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

5 November 2018

 

Screen Shot 2018-11-05 at 4.32.45 PMScreen Shot 2018-11-05 at 4.33.10 PMScreen Shot 2018-11-05 at 4.33.28 PMScreen Shot 2018-11-05 at 4.33.38 PMScreen Shot 2018-11-05 at 4.33.47 PMScreen Shot 2018-11-05 at 4.33.56 PM

Press Statement DG of Health 7th November 2018 – Malaysia Zoonotic Malaria and the Prevention Program in Malaysia

$
0
0

The Ministry of Health Malaysia (MOH) takes note of the article entitled Malaysia is ground zero for the next malaria menace which was published in ScienceNews on the 4th November 2018 and a report published by The Malay Mail entitled “Next global malaria threat will happen in Malaysia”, on 6th November 2018. The MOH acknowledges that while the number of locally acquired human Malaria has plummeted from 6,071 in 2008 to 85 cases in 2017, the number of knowlesi Malaria (or monkey Malaria in human) increased from 376 cases in 2008 to 3,614 cases in 2017. These were contributed by multiple factors. It is important to highlight that among the reasons for this increase were due to improvement in diagnosis capacity to differentiate knowlesi Malaria from the other human Malaria variants.

Screen Shot 2018-11-07 at 5.09.52 PM

The MOH Malaysia had introduced molecular based diagnosis for Malaria in 2009 which is more sensitive in diagnosing knowlesi Malaria. Since then, more knowlesi Malaria were detected instead of it previously being classified as human malaria (which are done through microscopic identification). On the other hand, the implementation of Malaria Elimination Program by MOH in 2011 had resulted in reduction of human Malaria and had improved awareness amongst the medical practitioner to be more on the look for knowlesi Malaria. Apart from that, reduction in malaria cases means there is less exposure to human malaria infection among community, subsequently led to loss or reduced of immunity amongst the community member in general, including against knowlesi Malaria infection. Another contributing factor for the increase in cases is the change in land use patterns creating increased opportunity for spill over of infections to humans through closer associations with natural reservoir hosts or access to infected vectors.

Based on data from MOH surveillance system, people involved with forest related activities are at higher risk of contracting knowlesi Malaria. Among the high risk activities which are common to the cases are farming, working in plantations, logging, collecting forest produce, hunting and forest related recreational activities.

Realising the potential threat posed by knowlesi Malaria, Ministry of Health Malaysia has undertaken the following pragmatic steps:

  1. Since 2009, MOH has strengthened its surveillance for monkey Malaria in human by making molecular diagnosis for Malariaavailable in all Public Health Laboratories including the National Public Health Laboratory in Sungai Buluh, regional Public Health Laboratories in Johor, Perak, Kelantan and Sabah. The molecular diagnosis is also made available at the referral hospitals since 2014. Where else Institute for Medical Research (IMR) has established the molecular diagnosis test for malaria much earlier as the research centre of Malaria for Ministry of Health.
  2. MOH has developed a National Guidelines for Treatment of Malaria including treatment for monkey Malaria since 2014 and has been used nationwide in all hospitals.
  3. MOH has intensified health education amongst the people at risk of knowlesi Malaria such as distribution of educational leaflets and installation of Malaria billboards in high risk areas to advise people on use of personal protection against mosquito bites when they enter these areas.
  4. In 2016, MOH Malaysia established collaboration with the Malaysian Remote Sensing Agency (MRSA) and developed risk maps of knowlesi Malaria in Malaysia which is to be used for planning and implementation of control programme.
  5. Knowlesi Malaria has become key agenda in an Inter-Ministerial Committee for Control of Zoonotic Diseases in Malaysia which isco-chaired by the Director General of Ministry of Health and the Director General of Department of Veterinary Services, Malaysia. Under the purview of this high level committee, MOH is collaborating with various Ministries especially with the Wildlife Department in identifying hotspots of knowlesi carrier macaque population and identify steps that can be implemented to mitigate them.
  6. Knowing that anopheles vectors for monkey Malaria primarily bite outdoor, MOH via IMR is studying the effectiveness of insecticide Outdoor Residual Spraying in the control of monkey Malaria.
  7. MOH is embarking on a study to determine effectiveness of repellent for prevention of knowlesi Malaria especially in the states reporting of high burden of knowlesi Malaira.
  8. In collaboration with local universities spearheaded by UM, MOH is participating in a large scale study on A multi-pronged approach in combating knowlesi Malaria in Malaysia.

Ministry of Health would like to encourage the involvement of the employers from Agricultural and Plantation sector in providing protection to their workers such as the use of insecticide nets and repellent, as prevention of knowlesi Malaria. MOH also encourage local researcher to conduct study on monkey malaria including its natural host which is the macaques. Interagency involvement in the prevention of knowlesi Malaria is important in reducing the burden of this disease.

Thank you.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

DIRECTOR GENERAL OF HEALTH MALAYSIA

 

7thNovember 2018


Kenyataan Akhbar KPK 7 November 2018 – Produk Irbesartan Yang Telah Ditarik Balik di Amerika Syarikat Adalah Tidak Melibatkan Pasaran Malaysia

$
0
0

Kenyataan ini dikeluarkan berikutan notis panggil balik oleh United States Food and Drug Administration (USFDA) ke atas tiga (3) produk dengan bahan aktif Irbesartan iaitu Irbesartan Tablets USP 75mg, Irbesartan Tablets USP 150mg dan Irbesartan Tablets USP 300mg melibatkan 22 kelompok kerana kehadiran impurityN-nitrosodiethylamine (NDEA). NDEA berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang. Produk-produk ini dikilangkan oleh ScieGen Pharmaceutical, Inc. New York dan bahan aktifnya dikilangkan oleh Aurobindo Pharma Limited., India. Tablet Irbesartan digunakan dalam rawatan tekanan darah tinggi dan/atau penurunan fungsi buah pinggang akibat komplikasi kencing manis. 

Screen Shot 2018-11-07 at 5.24.57 PM

Semakan mendapati bahawa produk tersebut TIDAK DIPASARKAN DI MALAYSIA.Sehubungan itu, KKM ingin menegaskan bahawa produk Irbesartan di Malaysia tidak terlibat dengan panggil balik ini.

Produk-produk yang berdaftar di Malaysia telah dinilai dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan sebelum produk tersebut diluluskan untuk pendaftaran. Pengawasan mutu produk yang berdaftar di pasaran turut dilakukan bagi memastikan produk mematuhi piawaian yang ditetapkan. Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan produk yang berdaftar dengan PBKD. Semakan status pendaftaran sesuatu produk boleh dibuat melalui laman sesawang NPRA di www.npra.gov.myatau melalui applikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun di Google Play.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

7 November 2018

 

Kenyataan Akhbar KPK 23 November 2018 – Produk Valsartan dan Losartan Yang Ditarik Balik di Amerika Syarikat Serta Situasi di Pasaran Malaysia

$
0
0

Kenyataan akhbar ini dikeluarkan berikutan notis panggil balik oleh United States Food and Drug Administration (USFDA) ke atas produk-produk yang mengandungi bahan aktif valsartan dan losartan kerana kehadiran impurity N-nitrosodiethylamine (NDEA). NDEA berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang. Tablet valsartan dan losartan digunakan dalam rawatan tekanan darah tinggi.

Produk Valsartan

Produk valsartan yang terlibat dengan notis panggil balik USFDA adalah dikilangkan oleh Mylan Pharmaceuticals Inc dan Mylan Laboratories Limited, dengan sumber bahan aktif daripada Mylan Laboratories Limited, India. Walau bagaimanapun, produk-produk tersebut tidak berdaftar dan tiada di pasaran Malaysia. Semakan lanjut mendapati terdapat dua (2) produk berdaftar di Malaysia daripada sumber bahan aktif Mylan Laboratories Limited, India tetapi tidak dipasarkan seperti di Jadual 1.

val

Produk Losartan

Produk losartan yang terlibat dalam notis panggil balik produk oleh USFDA merupakan keluaran Sandoz Inc. iaitu Losartan Potassium Hydrochlorothiazide Tablets, USP 100 mg/25 mg (kelompok JB8912). Produk ini dikilangkan oleh Lek Pharmaceuticals dd, Ljubljana, Slovenia dengan sumber bahan aktifnya daripada Zhejiang Huahai Pharmaceuticals Co. Ltd., China. Hasil semakan mendapati produk ini tidak berdaftar dan tiada di pasaran Malaysia.

Walau bagaimanapun, semakan lanjut mendapati terdapat tiga (3) produk berdaftar di Malaysia dengan sumber bahan aktif losartan daripada Zhejiang Huahai Pharmaceuticals Co. Ltd., China seperti di Jadual 2. Namun, hanya satu (1) produk sahaja yang berada di pasaran iaitu Lostad HCT 50/12.5mg film-coated tablets (MAL12105072AZ). Syarikat yang terlibat telah diarahkan untuk menghentikan penjualan dan pembekalan produk tersebut sehingga pihak syarikat dapat mengesahkan ianya tidak mengandungi NDEA. Pesakit yang menggunakan ubat ini diminta untuk tidak menghentikan pengambilannya secara mendadak dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan.

los

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk menggunakan produk yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Semakan status pendaftaran sesuatu produk boleh dibuat melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my atau melalui applikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun di Google Play.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

23 November 2018

Kenyataan Akhbar KPK 26 November 2018 – Isu Sayur Romaine Lettuce dari Negara Amerika Syarikat Yang Dicemari Bakteria Escherichia Coli

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan artikel bertajuk “Romaine Lettuce Is Not Safe To Eat, CDC Warns U.S. consumers” yang disiarkan melalui laman sesawang https://www.washingtonpost.com/ pada 20 November 2018. Artikel tersebut menyatakan bahawa pihak Centers For Disease Control (CDC) and Prevention di Amerika Syarikat melaporkan seramai 32 orang dari 11 daerah di Amerika Syarikat telah jatuh sakit akibat memakan sayurRomaine lettuce yang telah dicemari oleh bakteria patogenik Escherichia coli.

COEJ2YNYL43QLJKEEQPKQVYMHU

Escherichia colimerupakan sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit birit, demam dan kesakitan abdomen. Dalam kes-kes yang tertentu boleh menyebabkan kematian khususnya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti bayi, orang tua atau orang yang mempunyai sistem imuniti yang rendah.

Berdasarkan maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia – FoSIM), Malaysia ada mengimport sayur Romaine lettuce dari negara Amerika Syarikat. Sehubungan dengan itu, berkuatkuasa mulai 23 November 2018, KKM telah mengenakan tindakan penguatkuasaan “Tahan, Uji dan Lepas” (TUL) terhadap sayur Romaine lettuce yang diimport.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengenalpasti pengimport yang mengimport sayur Romaine lettuce dari negara Amerika Syarikat. Dalam hal ini, syarikat terlibat dimaklumkan untuk menarik balik sayur tersebut dari pasaran mengikut peruntukan di bawah Seksyen 13C(2), Akta Makanan 1983. Kegagalan mematuhi peruntukan seksyen tersebut adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Manakala pihak penjual diminta menghentikan penjualan serta-merta. Pengguna pula dinasihatkan menyemak label produk untuk mengenalpasti negara asal produk dan pengguna yang telah membeli sayur Romaine lettucedari negara Amerika Syarikat dinasihatkan supaya tidak memakannya. Bagi mereka yang mempunyai gejala keracunan makanan seperti sakit perut, loya, muntah dan sakit kepala setelah memakan sayur Romaine lettucetersebut hendaklah segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital yang berdekatan.

KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas sayur-sayuran di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan ke atas perundangan makanan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Sekian, terima kasih

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

26 November 2018

 

 

 

 

 

Kenyataan Akhbar KPK 28 November 2018 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes rabies dalam kalangan manusia yang baru disahkan melalui ujian sampel klinikal pada 27 November 2018. Kes adalah seorang lelaki berumur 21 tahun yang tinggal di Batu 7, Kuching, Sarawak.

Pesakit pernah digigit oleh seekor anjing tidak bertuan pada 4 Oktober 2018. Status vaksinasi anjing tersebut serta keadaan kesihatannya tidak diketahui. Selepas digigit, pesakit tidak mencuci luka gigitan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan. Beliau hanya membeli ubat di farmasi untuk disapu di luka tersebut.

Pada 21 November 2018, pesakit mengalami sakit di bahagian belakang badannya dan mengadu jatuh sehari sebelumnya. Beliau tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing. Pada 24 November 2018, pesakit telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) apabila mengalami lemah kedua-dua kakinya. Pesakit telah dimasukkan ke wad dan pemeriksaan mendapati beliau mempunyai gejala hydrophobia, aerophobia dan kekeliruan. Pesakit kini sedang menerima rawatan dan dalam pemerhatian rapi pakar-pakar klinikal HUS.

Dengan pengesahan terbaru ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 30 Jun 2017 adalah 14 kes; di mana 12 kes telah meninggal dunia, satu (1) kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi dan kes terbaru ini masih dalam rawatan.

Sehingga 25 November 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 54 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies. Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan.

rabies1

KKM ingin mengingatkan semula dan menegaskan kepada orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

28 November 2018

Kenyataan Akhbar KPK 5 Disember 2018 – Isu Minuman Dalam Tin Kitar Semula

$
0
0

IMG_3175

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu minuman dalam tin kitar semula yang tular di media sosial. Isu ini timbul apabila sebuah kedai makan di Pulau Pinang dipercayai menghidangkan minuman kepada pelanggan menggunakan bekas tin susu (krimer manis) yang dikitar semula.

Penggunaan tin bekas susu dan tin-tin lain yang dikitar semula bagi tujuan penyediaan minuman boleh memberikan risiko kepada pengguna. Kebersihan tin kitar semula adalah diragui kerana sukar dibersihkan dengan sempurna disebabkan rekabentuk tin tersebut dan kemungkinan terdapat permukaan tin yang kemek. Di samping itu, ia boleh mencederakan pengguna semasa minum disebabkan permukaan tin yang tajam.

Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 melarang penggunaan apa-apa bungkusan yang boleh mengeluarkan bahan beracun, merosakkan atau mencacatkan atau yang membantu dalam pemerosotan kualiti makanan. Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan supaya orang ramai khususnya peniaga makanan menghentikan penggunaan tin yang dikitar semula dalam penyediaan minuman kerana tin tersebut bukan bertujuan untuk penghidangan minuman. Peniaga hendaklah menggunakan bekas minuman yang bersesuaian dengan jenis minuman yang hendak dihidangkan bagi mengelakkan pencemaran makanan dan bahaya kepada kesihatan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Bahagian/Kawasan yang terdekat atau pengguna boleh menghubungi KKM melalui laman web  atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)  www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

5 DISEMBER 2018

Viewing all 1621 articles
Browse latest View live