Quantcast
Channel: From the Desk of the Director-General of Health Malaysia
Viewing all 1621 articles
Browse latest View live

Kenyataan Akhbar KPK 2 Julai 2018 – Situasi Semasa Japanese Encephalitis Di Sarawak

$
0
0

Merujuk kepada artikel oleh The Borneo Post bertajuk Health Dept confirms JE endemic in S’wak, urges cautiondan malaymail bertajuk Sarawak confirms Japanese Encephalitis now endemic in state, sounds alarmpada 29 Jun 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa situasi kes Japanese Encephalitis (JE) di Sarawak dipantau dengan rapi di peringkat Kementerian dan Jabatan Kesihatan Negeri  Sarawak.

Pada tahun 2018, bagi tempoh Januari sehingga 23 Jun sejumlah lima (5) kes dilaporkan di Sarawak dan kesemua kes yang dilaporkan adalah kes sporadik dan tiada wabak JE dilaporkan di negeri Sawarak. Bahagian yang terlibat adalah masing-masing satu (1) kes di Samarahan, Lawas, Julau, Miri dan Sri Aman.

JE disebabkan oleh virus flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala ‘viral encephalitis’ dan merupakan sejenis penyakit bawaan vektor iaitu nyamuk. JE adalah endemik (penyakit yang sentiasa terdapat di kawasan tertentu) di kesemua negara di Asia termasuk Malaysia. Program Imunisasi JE diperkenalkan pada tahun 2002 di negeri Sarawak kerana kejadian kes JE di Sarawak yang tinggi, iaitu 55 kes pada tahun 1999 dengan kadar insiden 2.61 per 100,000 populasi. Dua tahun selepas program Immunisasi dilaksanakan di negeri tersebut, iaitu pada tahun 2004 jumlah kes JE dilaporkan berkurang kepada 22 kes dan selepas 16 tahun program ini dijalankan, jumlah kes JE terus berkurang kepada 10 kes pada tahun 2017.

Menurut kajian yang dilakukan oleh (Wong et al. 2008) semenjak  Program Imunisasi JE di Sarawak, kadar insiden JE bagi kumpulan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun di Sarawak berkurang daripada 9.8 kes per 100,000 populasi kepada 4.3 kes per 100,000 populasi. Ini jelas menunjukkan kejayaan pelaksanaan program ini di negeri Sarawak. Justeru itu, KKM menyarankan agar setiap ibu bapa di Sarawak memastikan agar anak-anak mereka mendapatkan suntikan imunisasi JE pada umur 9 bulan dan 21 bulan seperti yang ditetapkan dalam jadual imunisasi.

Masyarakat setempat dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda dan gejala JE seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan. Selain itu, amalan perlindungan diri seperti penggunaan repelen dan memakai pakaian cerah yang menutup anggota dapat mengurangkan risiko digigit nyamuk dan seterusnya jangkitan JE.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

2 JULAI 2018


Press Statement DG of Health 3 July 2018 – Launching Of The Second Edition Of ‘Guidelines On Safe Surgery Saves Lives Programme’

$
0
0

Screen Shot 2018-07-03 at 14.41.14

The Ministry of Health Malaysia today launched the second edition of the ‘Guidelines on Safe Surgery Saves Lives Programme’ in conjunction with a two-day Patient Safety Seminar in Putrajaya. The seminar is themed ‘Enhancing Surgical Safety’ which aligns with the World Health Organisation’s agenda to ensure universal access to quality, safe and affordable surgery throughout the world. Apart from promoting these new guidelines, the Patient Safety Seminar also aims to disseminate crucial information on various aspects of patient safety especially surgical safety and the latest improved version of the ‘Safe Surgery Checklist’ based on the invaluable feedback from end users. More than 450 healthcare staff throughout Malaysia are in attendance to listen and learn from experienced speakers who are critical experts in their field.

It has been estimated that for the year 2012, the total global volume of surgery performed was 312.9 million operations with the mean global surgical rate of 4,469 operations per 100,000 people per year. In Ministry of Health Malaysia facilities alone, about 1.103 million surgical procedures were performed in 2016. Although surgery is beneficial, there are risks related to it. In industrialised countries, major complications during surgery have been documented to occur in 3 to 22% of inpatient surgical procedures with the death rate at 0.4 to 0.8%.  Nearly 50% of the adverse events in these studies were deemed to have been preventable.  Studies in developing countries suggest a death rate of 5–10% associated with major surgery. In Malaysia, there were only a few cases of wrong surgery and unintended retained foreign body, which involved various surgical disciplines.

Screen Shot 2018-07-03 at 14.35.26

To improve patient safety and avoid preventable harm in surgery, Ministry of Health has taken proactive measures to become one of the pioneer countries implementing the ‘World Health Organization Second Global Patient Safety Challenge – Safe Surgery Saves Lives Programme’ since 2009. We also produced our very own ‘Safe Surgery Checklist’ based on the World Health Organization’s Checklist.  The mandatory use of Safe Surgery Checklist during surgery is the primary element in this programme. This checklist is a simple tool designed to improve the safety of surgical procedures by bringing together the whole operating team to perform key safety checks during vital phases of perioperative care. This checklist also encourages communication and teamwork within multidisciplinary teams. Worldwide studies have shown that the implementation of this checklist managed to reduce morbidity and mortality.

Screen Shot 2018-07-03 at 13.59.49

We also use various strategies to make this ‘Safe Surgery Saves Lives Programme’ part of our safe work culture. Besides policies, we also conduct promotional activities and specific training throughout the country. This programme has also been included in the mandatory ‘Patient Safety Course for House Officers and Post-graduate Surgical Training’ in Malaysia. In order to ensure nationwide implementation, this programme has been made one of the 13 Malaysian Patient Safety Goals, with the targets of “zero incidences of wrong surgery” and “zero incidences of unintended retained foreign body”.

Ministry of Health has always been committed to improving the quality of healthcare service throughout the country. Patient safety has always been our priority, and it is hoped that with the latest version of the ‘Safe Surgery Checklist’ and the availability of these new guidelines, surgical safety will be further improved. This initiative will also increase the confidence of our ‘rakyat’ to the surgical service in this country.

 

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

Director General of Health Malaysia

3 July 2018

 

Pelancaran Edisi Kedua Garis Panduan Program

Safe Surgery Saves Lives

Kementerian Kesihatan Malaysia pada hari ini telah melancarkan edisi kedua ‘Garis Panduan Program Safe Surgery Saves Lives’ sempena Seminar Keselamatan Pesakit yang berlangsung selama dua hari di Putrajaya. Seminar bertemakan ‘Pengukuhan Keselamatan Pembedahan’ ini selari dengan agenda Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) untuk memastikan akses kepada perkhidmatan pembedahan yang menyeluruh, berkualiti, selamat serta dengan kos yang berpatutan di seluruh dunia. Selain daripada mempromosikan garis panduan tersebut, Seminar Keselamatan Pesakit ini turut bertujuan untuk memberi pengetahuan berkenaan pelbagai aspek keselamatan pesakit, khususnya keselamatan pembedahan serta ‘Senarai Semak Keselamatan Pembedahan’ yang telah ditambahbaik berdasarkan maklumbalas pengguna. Lebih daripada 450 anggota kesihatan dari seluruh Malaysia menghadiri seminar ini yang menampilkan para pembentang yang berpengalaman dan mahir dalam bidang masing-masing.

Dianggarkan bahawa pada tahun 2012, sejumlah 312.9 juta pembedahan telah dijalankan di seluruh dunia dengan kadar purata 4,469 pembedahan per 100,000 individu pada setiap tahun.  Pada tahun 2016, sejumlah 1.103 juta prosedur pembedahan telah dijalankan di fasiliti-fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia. Sungguhpun pembedahan mempunyai banyak faedah, ia juga turut mempunyai risiko. Di negara-negara maju, komplikasi major semasa pembedahan adalah antara 3 hingga 22% bagi prosedur pembedahan yang dijalankan di hospital dengan kadar kematian 0.4% hingga ke 0.8%. Hampir 50% daripada insiden buruk yang tidak diingini semasa pembedahan adalah boleh dielakkan. Kajian di negara-negara membangun mendapati kadar kematian adalah antara 5 hingga 10% bagi pembedahan major. Di Malaysia, hanya terdapat beberapa kes kesilapan pembedahan dan kes bendasing yang tidak diingini tertinggal selepas pembedahan dilaporkan melibatkan pelbagai disiplin pembedahan.

Bagi mempertingkatkan aspek keselamatan pesakit dan mengelakkan daripada berlakunya kesilapan atau insiden yang tidak diingini, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah proaktif di mana Malaysia merupakan salah satu negara pelopor dalam menjalankan ‘World Health Organization Second Global Patient Safety Challenge – Safe Surgery Saves Lives Programme’ sejak tahun 2009.  Pihak KKM turut menghasilkan ‘Senarai Semak Keselamatan Pembedahan’ versi Malaysia berdasarkan senarai semak daripada WHO. Penggunaan senarai semak ini secara mandatori adalah merupakan elemen utama dalam Progam ‘Safe Surgery Saves Lives’. Senarai semak ini adalah alat bantuan mudah yang direka bagi mempertingkatkan keselamatan pembedahan dengan cara memastikan pasukan bedah menjalankan prosedur semakan keselamatan utama. Senarai semak ini juga menggalakkan komunikasi dan kerja berpasukan pasukan bedah yang terdiri daripada pelbagai kategori anggota dan disiplin. Kajian di serata dunia telah membuktikan bahawa penggunaan senarai semak ini dapat mengurangkan morbiditi dan kematian.

Pelbagai strategi turut digunakan bagi memastikan program ini menjadi sebahagian daripada budaya kerja selamat. Selain daripada polisi, aktiviti promosi dan latihan khusus turut dijalankan di serata negara.  Program ini juga telah dijadikan sebahagian daripada ‘Kursus Mandatori Keselamatan Pesakit bagi Pegawai Perubatan Siswazah dan Kursus Pasca-Siswazah Kepakaran Pembedahan’ di Malaysia.  Demi memastikan pelaksanaan menyeluruh di seluruh negara, program ini turut dijadikan salah satu daripada 13 Matlamat Keselamatan Pesakit dengan sasaran “sifar insiden kesilapan pembedahan” dan “sifar insiden bendasing yang tidak diingini tertinggal selepas pembedahan”.

Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa komited dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di seluruh negara. Aspek keselamatan pesakit sentiasa menjadi prioriti dan diharapkan dengan penghasilan senarai semak yang baru ini serta Garispanduan Program Safe Surgery Saves Lives Edisi Kedua dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di seluruh negara. Inisiatif ini juga dapat mempertingkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan pembedahan di negara ini.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

3 Julai 2018

Kenyataan Akhbar KPK 7 Julai 2018 – Isu Produk Valsartan yang Ditarikbalik di United Kingdom Tidak Melibatkan Pasaran di Malaysia

$
0
0

Screen Shot 2018-07-07 at 15.28.50

Kenyataan ini dikeluarkan berikutan Drug Alert yang dikeluarkan oleh Medicines and Healthcare Products Regulatory Agency (MHRA), United Kingdom pada 5 Julai 2018. Terdapat 7 produk terlibat yang ditarikbalik dari pasaran United Kingdom seperti berikut:

No. Nama Produk Pemegang Pendaftaran Produk (Product Registration Holder)
1. Valsartan 40mg Capsule, Hard Dexcel Pharma Limited
2. Valsartan 80mg Capsule, Hard Dexcel Pharma Limited
3. Valsartan 160mg Capsule, Hard Dexcel Pharma Limited
4. Valsartan 40mg Film-Coated Tablets Actavis Group PTC EHF
5. Valsartan 80mg Film-Coated Tablets Actavis Group PTC EHF
6. Valsartan 160mg Film-Coated Tablets Actavis Group PTC EHF
7. Valsartan 320mg Film-Coated Tablets Actavis Group PTC EHF

Semakan daripada senarai daftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati bahawa ketujuh-tujuh produk daripada pemegang pendaftaran produk di atas adalah tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Produk-produk tersebut sepatutnya tiada dalam pasaran dan tidak boleh digunakan di Malaysia.

KKM sentiasa mengambil berat akan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk farmaseutikal sebelum produk tersebut diluluskan untuk pendaftaran. Pengawasan mutu produk farmaseutikal yang berdaftar di pasaran turut dilakukan bagi memastikan produk tersebut benar-benar selamat. Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan produk yang berdaftar dengan PBKD dan boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan melayari laman sesawang NPRA di www.npra.moh.gov.my atau menghubungi pihak NPRA di talian 03-78835560 / 61 / 62 atau Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian 1800 88 6722.

Semua produk yang berdaftar di Malaysia turut dilabelkan dengan nombor pendaftaran dan dilengkapi dengan label hologram. Sekiranya ketulenan hologram diragui, orang awam juga boleh mengesahkan kesahihannya melalui aplikasi MediTag Checker yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play di telefon pintar masing-masing.

 

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Merangkap Pengerusi Pihak Berkuasa Kawalan Dadah     

Kementerian Kesihatan Malaysia

7 Julai 2018                                                                          

 

Kenyataan KPK 11 Julai 2018 – Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat peningkatan bilangan kes penyakit HFMD di Malaysia. Sehingga 30 Jun 2018, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 27,296 kes berbanding hanya 21,303 kes pada tempoh yang sama pada tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak 28%. Bilangan kes di 12 buah negeri telah melepasi paras amaran kecuali Johor, Sabah dan Sarawak. Paras amaran adalah purata bilangan kes HFMD untuk lima (5) tahun kebelakangan dan nilainya berbeza-beza mengikut bilangan kes HFMD bagi setiap negeri.

Penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak  di premis tempat tumpuan mereka seperti taska dan tadika. Ianya disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis kes. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh (7) ke 10 hari. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis. Tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit HFMD.

Sehingga kini, di seluruh Malaysia, sebanyak 341 buah taska / tadika / tabika / pra-sekolah telah melaporkan kluster HFMD di premis mereka, iaitu 50% dari jumlah wabak yang dilaporkan pada tahun ini. Survelan virus HFMD juga mendapati peningkatan aktiviti virus EV71 dalam persekitaran semenjak bulan Mac  2018.

17883931_10154290000441237_3008173333874785848_n

Bagi menghalang sebaran virus HFMD, KKM menggesa orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska / tadika / tabika / pra-sekolah untuk:

  1. Sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak dengan membersihkan dan menyahkuman meja, kerusi serta alatan mainan kanak-kanak tersebut;
  2. Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD. Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya;
  3. Sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain;
  4. Membersihkan dan memastikan kebersihan tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin;
  5. Memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup; dan
  6. Melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

KKM juga ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD supaya:

  1. Meningkatkan kesedaran dan keupayaan mengenalpasti tanda-tanda penyakit HFMD pada kanak-kanak yang kurang sihat seperti tanda lepuh pada tangan, kaki dan mulut;
  2. Memastikan anak berada di rumah dan tidak membawa anak ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan;
  • Mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;
  1. Membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin; dan
  2. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.

 

Sekian, terima kasih.

 Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

11  Julai 2018

HFMD 1

Kenyataan Akhbar KPK 19 Julai 2018 – Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini HFMD di Malaysia. Pada minggu epid 28/2018 (08/07/2018 sehingga 14/07/2018) sebanyak 2,346 kes dilaporkan berbanding minggu epid 27/2018 (01/07/2018 hingga 07/07/2018) sebanyak 1,436 kes; iaitu peningkatan sebanyak 910 kes (63.4%).

Pada 18 Julai 2018, hari keempat minggu epid 29/2018, sebanyak 722 kes penyakit tangan kaki, tangan dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara. Secara kumulatif, kes HFMD dari minggu epid 1 sehingga kini ialah 33,425 kes. Kebanyakan negeri menunjukkan peningkatan kes pada tahun 2018 berbanding 2017 untuk tempoh yang sama, kecuali Sabah dan Sarawak.

hfmd

HFMD disebabkan oleh enterovirus, di mana dua (2) jenis virus penyebab utama HFMD ialah virus Coxsackie A16 dan Enterovirus71 (EV71). Pada tahun 2018, aktiviti EV71 didapati meningkat sejak Mac 2018. EV71 boleh menyebabkan komplikasi iaitu dehidrasi, keradangan otak (encephalitis), kegagalan jantung dan sistem pernafasan (cardiorespiratory failure) dan kematian. Bagi tahun 2018, tiada kematian disebabkan oleh HFMD atau jangkitan EV71 dilaporkan.

Selain dari promosi kesihatan mengenai kebersihan diri, pengasingan kes dan saringan kanak-kanak sebelum menghadiri sesi di taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah; penutupan premis yang mengalami wabak HFMD juga dibuat. Penutupan dibuat selama 10 hari bagi memastikan rantaian jangkitan diputuskan dan pembersihan premis dilaksanakan.

Wabak HFMD didefinisikan sebagai dua (2) atau lebih kes dalam satu lokaliti pada satu tempoh inkubasi yang sama. Untuk sekolah, lazimnya hanya kelas yang terlibat sahaja yang akan ditutup.

Pada 17 Julai 2018, sebanyak 18 premis ditutup melibatkan enam (6) buah taska dan 12 buah tadika/pra-sekolah. Jumlah premis yang ditutup sehingga kini adalah 419 iaitu 198 taska, 197 tadika/prasekolah dan 23 sekolah.

HFMD 1

Justeru, KKM ingin mengingatkan orang ramai, khususnya ibu bapa, pengusaha taska/tadika/pra-sekolah serta pihak sekolah terlibat untuk:

  1. tidak membawa anak yang dijangkiti HFMD ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan;
  2. bawalah anak ke fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya menunjukkan gejala HFMD.
  3. sentiasa mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;
  4. membersihkan alatan mainan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran kloroks;
  5. memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul; dan
  6. membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum masuk ke kelas.

HFMD 3

KKM akan terus memantau situasi kejadian HFMD di Malaysia. Keadaan HFMD di Malaysia masih dalam keadaan terkawal meskipun kes didapati meningkat. Orang ramai diminta sentiasa mematuhi nasihat yang diberikan oleh pihak kesihatan. Kerjasama semua pihak dan agensi berkaitan adalah amat diharapkan agar dapat kita bersama-sama menangani situasi ini.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

19 Julai 2018

Kenyataan Akhbar KPK 20 Julai 2018 – Tiada Sekolah di Negeri Selangor Ditutup Disebabkan oleh Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) Sehingga Kini

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius kepada dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat 51 buah sekolah telah ditutup di sebuah daerah dalam negeri Selangor. Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh KKM bagi tahun 2018, sehingga kini TIADA sebarang penutupan sekolah mahupun kelas dalam sekolah di seluruh negeri Selangor akibat jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Didapati terdapat hanya dua (2) kluster HFMD dilaporkan berlaku di dua (2) sekolah berlainan dan kedua-dua sekolah ini atau kelas di dalam sekolah terbabit TIDAK DITUTUP. Sekolah atau kelas yang terlibat tidak ditutup kerana mengambilkira hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan yang mendapati tiada pendedahan risiko jangkitan HFMD kepada murid-murid lain.

 

WhatsApp Image 2018-07-20 at 13.40.06

Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita berkaitan HFMD sebelum mempercayainya, terutama maklumat tidak tepat yang dikeluarkan oleh pihak tertentu selain daripada KKM. Orang ramai juga diminta agar mengelak daripada menyebarkan berita yang tidak tepat tanpa mendapat pengesahan daripada pihak KKM terlebih dahulu.

Bilangan kes HFMD dijangka akan terus meningkat kerana kesedaran dan keprihatinan ibu bapa membawa anak yang mengalami gejala HFMD berjumpa pengamal perubatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Ini menyebabkan peningkatan kes kerana HFMD adalah penyakit yang perlu dinotifikasikan kepada pihak kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Bagi tahun 2018, sehingga hari ini tiada kematian disebabkan HFMD atau enterovirus 71 (EV71) dilaporkan di Malaysia.

HFMD 2

Orang ramai khususnya ibu bapa, pengusaha taska dan tadika serta guru-guru dinasihatkan untuk sentiasa menerapkan amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran termasuk mencuci tangan dengan betul kepada anak-anak dan murid-murid. Selain saringan di pintu masuk taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah (gate keeping), ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memeriksa anak setiap pagi sebelum dihantar ke pusat-pusat tersebut. Sekiranya anak menunjukkan sebarang gejala atau tanda jangkitan penyakit, dinasihatkan agar membawa anak untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran. Sekiranya anak ini bergejala, janganlah dibenarkan mereka menghadiri tempat belajar atau berkunjung ke tempat awam bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain.

Sesungguhnya kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit termasuk HFMD memerlukan peranan aktif oleh semua pihak dan ia hendaklah bermula dari diri sendiri dan di rumah. Semoga kerjasama dan tindakan pencegahan serta kawalan dari semua pihak akan dapat mengurangkan penularan jangkitan HFMD di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

20 Julai 2018

Kenyataan Akhbar KPK 22 Julai 2018 – Tiada Sekolah di Negeri Kedah Ditutup Disebabkan oleh Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) Sehingga Kini

$
0
0

Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) ingin memberi penjelasan mengenai dakwaan yang tular di media sosial menyenaraikan 11 buah sekolah di daerah Kuala Muda di negeri Kedah telah terlibat dengan kejadian kes HFMD. Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) bagi tahun 2018 bagi daerah Kuala Muda, didapati terdapat hanya satu (1) kluster HFMD dilaporkan berlaku di SJK(C) Tai Tong Taman Kempas dan satu (1) notifikasi kes diterima melibatkan SK Teluk Wang. Sekolah ini atau kelas di dalam sekolah terbabit TIDAK DITUTUP.

WhatsApp Image 2018-07-22 at 8.38.06 PM

Sekolah atau kelas yang terlibat tidak ditutup kerana mengambil kira hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan yang mendapati tiada pendedahan risiko jangkitan HFMD kepada murid-murid lain. Keadaan pelajar-pelajar yang terlibat di dua buah sekolah berkenaan adalah stabil dan terkawal. JKNK tidak menerima sebarang notifikasi kes HFMD melibatkan sekolah-sekolah lain yang ditularkan iaitu SK Hj Nyak Gam, SK Laguna Merbok, SK Seri Pinang, SK Sg. Pasir, SJK(C) Sin Kwang, SKJ(C) Sin Min B, SK Kem Lapangan Terbang, SJK(T) Saraswaty dan SK Ibrahim. Sehingga kini tiada penutupan sekolah di negeri Kedah akibat jangkitan HFMD.

Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita berkaitan HFMD sebelum mempercayainya, terutama maklumat tidak tepat yang dikeluarkan oleh pihak tertentu selain daripada KKM. Orang ramai juga diminta agar mengelak daripada menyebarkan berita yang tidak tepat tanpa mendapat pengesahan daripada pihak KKM terlebih dahulu.

Bilangan kes HFMD dijangka akan terus meningkat kerana kesedaran dan keprihatinan ibu bapa membawa anak yang mengalami gejala HFMD berjumpa pengamal perubatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Ini menyebabkan peningkatan kes kerana HFMD adalah penyakit yang perlu dinotifikasikan kepada pihak kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

HFMD 2

Orang ramai khususnya ibu bapa, pengusaha taska dan tadika serta guru-guru dinasihatkan untuk sentiasa menerapkan amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran termasuk mencuci tangan dengan betul kepada anak-anak dan murid-murid. Selain saringan di pintu masuk taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah (gate keeping), ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memeriksa anak setiap pagi sebelum dihantar ke pusat-pusat tersebut. Sekiranya anak menunjukkan sebarang gejala atau tanda jangkitan penyakit, dinasihatkan agar membawa anak untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran. Sekiranya anak ini bergejala, janganlah dibenarkan mereka menghadiri tempat belajar atau berkunjung ke tempat awam bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain.

Sesungguhnya kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit termasuk HFMD memerlukan peranan aktif oleh semua pihak dan ia hendaklah bermula dari diri sendiri dan di rumah. Semoga kerjasama dan tindakan pencegahan serta kawalan dari semua pihak akan dapat mengurangkan penularan jangkitan HFMD di negeri Kedah khususnya dan di Malaysia amnya.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

22 Julai 2018

Kenyataan Akhbar KPK 24 Julai 2018 – Kerjasama Interagensi Bagi Menangani Peningkatan Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan, pada minggu epid 29/2018 (15/07/2018 hingga 21/07/2018) sebanyak 3,852 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan berbanding minggu epid 28/2018 (08/07/2018 hingga 14/07/2018) sebanyak 2,346 kes; iaitu peningkatan sebanyak 1,506 kes (64.2%).

Pada 23 Julai 2018, hari kedua minggu epid 30/2018, sebanyak 564 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara. Kumulatif kes HFMD dari minggu epid 1 sehingga 23 Julai 2018 ialah 35,886 kes. Kebanyakan negeri menunjukkan peningkatan kes pada tahun 2018 berbanding 2017 untuk tempoh yang sama, kecuali negeri Sarawak. Jumlah premis yang ditutup di seluruh negara sehingga kini adalah 469 iaitu 217 taska, 223 tadika/prasekolah, beberapa kelas dari 27 sekolah, sebuah (1) sekolah di Pulau Pinang dan sebuah (1) sekolah lagi di Pahang (di mana buat masa ini kedua-dua sekolah ini telah ditutup sepenuhnya).

HFMD (1)

Berikutan jumlah kes HFMD yang melebihi paras amaran (alert threshold) bagi semua negeri, KKM telah mengadakan satu mesyuarat antara agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam pemantauan taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah rendah. Mesyuarat yang telah diadakan pada 19 Julai 2018 bertujuan untuk membincangkan strategi bagi pencegahan dan kawalan HFMD.

Pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah bersetuju untuk bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mencegah dan mengawal HFMD melalui:

  1. pelaksanaan dan pengukuhan saringan di pintu masuk taska, tadika, pra sekolah dan sekolah rendah tahap satu (darjah 1 hingga 3) (gate keeping) bagi memastikan hanya kanak-kanak yang tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sahaja yang dibenarkan masuk ke kelas.
  2. meningkatkan tahap kebersihan di luar dan di dalam premis, termasuk kebersihan alatan mainan kanak-kanak dan keperluan disinfeksi harian setiap kali sesi persekolahan tamat.
  3. penambahan bilangan dan liputan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran dan keprihatinan ibu bapa, guru dan kanak-kanak termasuk murid sekolah mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Ini termasuk juga cara membasuh tangan yang betul, membuang sampah di tong sampah yang disediakan, serta mencuci tangan selepas ke tandas, sebelum dan selepas makan.

Mesyuarat juga turut dihadiri oleh pegawai dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membincangkan kebersihan taman permainan di pasaraya dan kompleks membeli belah. Cadangan menyediakan cecair pencuci tangan di tempat terbabit perlu diteliti dan dibincangkan lebih lanjut bagi pelaksanaannya. Mesyuarat juga berpendapat pentingnya tanggungjawab sosial korporat dalam melaksanakan inisiatif ini kelak, di mana dengan kolaborasi ini diharapkan dapat membantu pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penyakit HFMD.

Kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11/2016 telah memberi cuti kuarantin kepada kakitangan Kerajaan sekiranya anak atau jagaannya menghidap enam (6) jenis penyakit termasuk HFMD. Ia bagi memudahkan ibu atau bapa menguruskan anak khususnya apabila dimasukkan ke wad atau apabila pusat jagaan anak diarahkan tutup oleh pihak berkuasa. Wakil Persekutuan Majikan-majikan Malaysia yang turut serta dalam mesyuarat ini akan meneliti perkara ini dari segala aspek termasuk perundangan, sekiranya langkah yang sama hendak diambil oleh sektor swasta.

Hasil mesyuarat ini merupakan langkah bagi memperkukuhkan kolaborasi di antara pelbagai kementerian, agensi dan pelbagai pemegang taruh dalam kawalan serta pencegahan penyakit HFMD. Diharapkan kerjasama bersepadu dari semua pihak ini akan dapat mengurangkan kejadian wabak dan penularan jangkitan HFMD di Malaysia dalam masa terdekat dan berterusan.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

24 Julai 2018

 


Kenyataan Akhbar KPK 24 Julai 2018 – Isu Penjualan Produk Pemutihan Kulit dan Suntikan Vitamin C Secara Dalam Talian

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum terhadap artikel bertajuk “Cucuk-cucuk terus putih” seperti yang dilaporkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 20 Julai 2018 mengenai individu yang mempromosikan penjualan pemutihan kulit membabitkan produk gel pengelupasan dan suntikan pemutihan Vitamin C secara dalam talian.

Screen Shot 2018-07-24 at 12.13.34

Sumber foto: NSTP

Screen Shot 2018-07-24 at 15.29.58

Sumber foto: NSTP

KKM memandang serius tentang penjualan produk pemutihan kulit dan suntikan Vitamin C yang dijual secara dalam talian sama ada melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram. Di sini perlu ditegaskan bahawa  Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM tidak pernah mendaftarkan produk suntikan yang mengandungi Vitamin C. Produk yang digunakan secara suntikan tidak boleh dikelaskan sebagai produk kosmetik memandangkan cara penggunaan produk berkenaan adalah di luar skop takrifan kosmetik. Sehubungan dengan itu KKM tidak dapat mengesahkan atau menjamin aspek keselamatan dan kesahihan tuntutan produk tersebut.

Bagi menangani isu penjualan produk yang melanggar undang-undang, KKM sentiasa memantau dan menyiasat mana-mana aktiviti penjualan produk farmaseutikal secara dalam talian termasuklah suntikan Vitamin C. Pada tahun 2016 sehingga Jun 2018, sebanyak 762 laman web dan media sosial yang menjual produk pemutih termasuk Vitamin C telah disaring, dipantau dan diambil tindakan di seluruh Malaysia. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 laman sesawang telah disekat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook, Google, pembekal domain dan web hoster.

Vit C

KKM juga melakukan pemantauan terhadap produk-produk farmaseutikal dan kosmetik di pasaran melalui aktiviti risikan terancang, serbuan dan persampelan. Selain itu, pemeriksaan dari semasa ke semasa dijalankan terutamanya di pejabat pos dan di pintu-pintu masuk dalam negara bagi memastikan produk-produk farmaseutikal dan kosmetik yang memasuki negara adalah yang dibenarkan. Pemeriksaan rutin turut dilakukan terhadap salun kecantikan/spa dan Pusat Aromaterapi/Pusat Rawatan Rambut. Pemeriksaan ini bertujuan untuk memastikan semua premis ini hanya menjual produk-produk kosmetik yang bernotifikasi atau produk-produk yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Semua kes akan disiasat dan jika mempunyai bukti-bukti yang mencukupi, kes-kes tersebut akan didakwa di mahkamah. Individu yang menjual suntikan Vitamin C adalah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Jika disabit kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

panduan guna kosmetik

Dakwaan di dalam artikel akhbar terbabit bahawa perkhidmatan suntikan ditawarkan oleh doktor dan jururawat di ‘klinik panel’ kepada pelanggan juga dipandang berat oleh pihak KKM. Untuk makluman, semua fasiliti jagaan kesihatan swasta termasuk klinik perubatan swasta perlu berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586]. Klinik perubatan swasta didaftarkan dengan maksud menyediakan perkhidmatan alopatik (amalan perubatan moden berdasarkan bukti saintifik) yang diiktiraf oleh Kementerian dan disediakan oleh profesional jagaan kesihatan yang berkelayakan, terlatih dan berpengalaman. Klinik-klinik perubatan swasta juga boleh didaftarkan dengan area of interest  seperti bidang estetik di mana Orang yang Bertanggungjawab bagi klinik tersebut perlu mempunyai Letter of Credentialing (LCP) serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Lanjutan itu, sebarang amalan untuk menyediakan perkhidmatan dan/atau menjalankan prosedur perubatan yang tidak diiktiraf oleh Kementerian tidak wajar dilakukan di klinik-klinik perubatan swasta kerana perbuatan tersebut adalah di luar maksud klinik tersebut didaftarkan, selaras dengan Seksyen 39, Akta 586. Malah, amalan tersebut juga bertentangan dengan etika dan profesionalisme seorang pengamal perubatan yang digariskan dalam Code of Professional Conduct yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Sehubungan itu, orang ramai disarankan supaya mendapatkan rawatan yang diiktiraf di klinik-klinik perubatan swasta yang berdaftar dan mengelakkan daripada menggunakan produk yang tidak berdaftar yang boleh membawa implikasi kesihatan yang memudaratkan. Orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Sekian, terima kasih

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

24 Julai 2018

 

Kenyataan Akhbar KPK 24 Julai 2018 – Penularan Gambar Notis Penutupan Klinik 1Malaysia

$
0
0

Penubuhan Klinik 1Malaysia bertujuan meningkatkan akses kesihatan primer di kawasan bandar, khususnya komuniti berpendapatan rendah. Sejumlah 347 buah Klinik 1Malaysia telah beroperasi di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan bukan sahaja kepada golongan sasar, malah kepada setiap golongan masyarakat setempat.

Seperti diumumkan oleh YB Menteri Kesihatan sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya sedang dalam proses untuk mengkaji semula Klinik 1Malaysia di mana ianya akan dijenamakan semula kepada Klinik Komuniti. Dalam proses semakan semula ini, KKM akan turut meneliti samada untuk:

  1. Menaik taraf beberapa Klinik Komunti ini kepada Klinik Kesihatan
  2. Menempatkan lebih banyak Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi/Pembantu Pegawai Farmasi ke Klinik Komuniti secara berperingkat
  3. Menutup beberapa Klinik Komuniti yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Di antara kriteria yang diteliti untuk cadangan penutupan adalah jumlah kedatangan pesakit yang rendah, keberadaan fasiliti kesihatan lain yang berdekatan dan sewa atau kos operasi yang tinggi.

Merujuk kepada gambar notis pemberitahuan penutupan Klinik 1Malaysia di sekitar Lembah Klang yang tular di media sosial, KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga kini KKM masih belum memuktamadkan atau memberi arahan penutupan Klinik Komuniti/Klinik 1Malaysia yang telah dikenal pasti. Ini memandangkan proses kaji semula ini masih perlu dimurnikan sebelum dimuktamadkan oleh pengurusan tertinggi KKM.

Keputusan akan dibuat dalam masa terdekat mengenai perkara ini dan KKM memberi jaminan bahawa proses penutupan klinik yang berkaitan di bawah penjenamaan semula ini akan dijalankan dengan tertib bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan kesihatan yang diberikan.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

 

24 Julai 2018

 

Kenyataan Akhbar KPK 28 Julai 2018 – Situasi Terkini Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Sarawak

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak telah meninggal dunia disyaki Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang dilaporkan pada 28 Julai 2018. Kanak-kanak tersebut yang berumur 2 tahun 5 bulan, berasal dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah, Sarawak. Beliau mula mengalami demam pada 24 Julai 2018 dan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut pada 25 Julai 2018. Selanjutnya kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Klinik Kesihatan (KK) Daro pada 25 Julai 2018 dan telah didiagnosa sebagai disyaki HFMD di mana beliau telah diberikan rawatan serta ibunya telah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera jika anak beliau masih tidak sembuh.

Pada 27 Julai 2018 malam, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Daro dalam keadaan tidak stabil dan telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. Walau bagaimanapun, beliau telah meninggal dunia di Hospital Sibu pada pukul 2:08 pagi 28 Julai 2018 dengan penyebab kematian adalah disebabkan oleh jangkitan paru-paru yang teruk (severe pneumonia) dengan jangkitan HFMD. Sampel klinikal telah diambil untuk ujian pengesahan bagi mengetahui penyebab kematian.

KKM ingin menasihati orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga berikut untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti:
a) Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.
b) Tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin.
c) JANGAN berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu.
d) Sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, dan persekitarannya.
e) Basuh semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, lantai, dan sebagainya, yang telah tercemar dengan air liur kanak-kanak.
f) Bawa kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau simptom jangkitan.
g) Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas, dan lain-lain.
h) Ibu bapa kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala jangkitan, jangan menghantar kanak-kanak tersebut ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah. Kanak-kanak yang sakit harus dibawa ke klinik untuk rawatan.

HFMD (1)

Sehubungan itu, KKM ingin memberi penekanan semula berkaitan amat pentingnya pelaksanaan lima (5) amalan di bawah bagi mengawal dan mencegah jangkitan HFMD. KKM dengan kerjasama semua Kementerian dan agensi berkaitan akan mempertingkatkan lagi langkah-langkah pencegahan dan kawalan dan memberi penekanan mengenai pentingnya amalan seperti berikut;

1. Penjagaan kebersihan diri;
2. Amalan cuci tangan yang betul;
3. Penjagaan kebersihan persekitaran;
4. Pemeriksaan/saringan di pintu masuk (gatekeeping screening) taska / tadika / tabika / pra-sekolah dan sekolah; dan
5. Disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar.

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

28 Julai 2018

Soalan Lazim (FAQ) Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (Hand, Foot and Mouth Disease, HFMD)

$
0
0

Soalan 1: Apakah Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD)?

HFMD adalah penyakit yang disebabkan oleh enterovirus.  Dua (2) jenis virus utama penyebabnya adalah Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71).

Soalan 2: Siapa yang berisiko mendapat jangkitan HFMD?

Sesiapa sahaja pada semua peringkat umur boleh mendapat jangkitan HFMD tetapi golongan kanak-kanak berusia di bawah lima (5) tahun mudah mendapat jangkitan. 90% kes HFMD berlaku pada kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah.

HFMD 3

Soalan 3: Tanda dan Gejala Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut.

HFMD biasanya bermula dengan demam, rasa tidak sihat yang disusuli dengan kurang selera makan. Dalam sehari atau dua, luka (ulser) di mulut akan timbul. Sebilangan kanak-kanak mungkin mengalami ruam merah pada tapak tangan atau celah jari yang berkemungkinan menjadi lepuh. Ruam ini juga boleh terjadi pada lutut, siku dan bahagian bawah badan kanak-kanak. Ruam merah ini biasanya tidak menyebabkan kegatalan.

Kekeringan badan atau dehidrasi akan mudah terjadi disebabkan ada sebilangan kanak-kanak menjadi kurang selera makan dan minum akibat sakit pada mulut.

Tidak semua kanak-kanak yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami tanda dan gejala yang sama. Sesetengah kanak-kanak mungkin hanya mengalami ruam merah atau lepuh pada kulit atau luka pada mulut. Sebilangan kanak-kanak lain mungkin dijangkiti tanpa kehadiran sebarang tanda atau gejala.

Soalan 4: Bagaimana Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut berjangkit?

Penyakit HFMD adalah sejenis penyakit berjangkit. Virus penyebab penyakit ini boleh ditemui di hidung, tekak, cecair lepuhan kulit dan pada najis pesakit.

Virus akan tersebar daripada pesakit kepada orang lain (khususnya kanak-kanak) melalui:

  • Batuk atau bersin;
  • Hubungan rapat contohnya bermain;
  • Berlaku sentuhan dengan cecair lepuhan atau najis pesakit;
  • Perkongsian peralatan makanan seperti sudu, garpu atau peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan berus gigi;
  • Bersentuhan dengan permukaan atau barang yang telah dijangkiti virus seperti pemegang pintu tandas.

Pesakit boleh menyebarkan virus dalam tempoh seminggu ia mengalami gejala dan tanda-tanda penyakit HFMD.

Soalan 5:  Berapa lama enterovirus boleh hidup di permukaan?

Enterovirus boleh hidup beberapa hari atas permukaan dalam suhu bilik. EV71 adalah virus tanpa selaput, maka ianya amat sukar untuk dimusnahkan oleh suhu persekitaran biasa. Kajian menunjukan virus EV71 di atas permukaan plastik yang didedahkan kepada persekitaran panas dan lembap masih berupaya menyebabkan penyakit dalam masa 3 hari.

Soalan 6: Bagaimana HFMD dikenalpasti atau didiagnosa?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kemudahan untuk melakukan ujian ke atas virus penyakit ini, namun pesakit HFMD didiagnosa melalui kewujudan gejalan dan tanda klinikal penyakit HFMD. Ujian makmal kebiasaannya tidak diperlukan.

Soalan 7: Bagaimana penyakit HFMD dirawat?

Rawatan bagi penyakit ini adalah simptomatik atau berdasarkan tanda dan gejala yang berlaku.

Tiada ubatan atau rawatan khusus untuk membunuh virus penyakit ini. Rawatan diberi bagi mengurangkan suhu badan (akibat demam) dan kesakitan pada mulut sahaja. Amat penting kanak-kanak yang dijangkiti penyakit HFMD diberikan minuman secara berterusan untuk mengelakkan dehidrasi.

Jangkitan penyakit ini selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan ianya sembuh dengan sendiri dalam tempoh 7-10 hari apabila ketahanan atau imuniti tubuh terbentuk.

Soalan 8: Bagaimana menguruskan pesakit tangan, kaki dan mulut di rumah? 

Kanak-kanak yang mendapat jangkitan ringan boleh dirawat di rumah;

  • Pesakit hendaklah mendapat rehat yang secukupnya;
  • Diberi rawatan perubatan sebagai mana dinasihatkan untuk mengurangkan demam dan sakit mulut;
  • Galakkan pesakit meminum air dan mengambil makanan dan minuman kegemaran mereka; dan
  • Buat pemantauan rapi bagi mengenalpasti tanda dan gejala yang serius seperti kekeringan atau dehidrasi badan dan keletihan yang teruk.

Soalan 9: Adakah Penyakit tangan, kaki dan mulut boleh memudaratkan?

HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan ianya akan sembuh dengan sendiri.

Namun begitu, segelintir pesakit HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.

Soalan 10: Bagaimana untuk mengesan penyakit HFMD yang teruk?

Apabila penyakit ini membawa kesan kepada otak ataupun jantung, kanak-kanak yang dijangkiti biasanya akan menunjukkan gejala berikut:

  • Sakit kepala, pening dan ketegangan pada leher;
  • Perasaan cepat marah, mengantuk dan menjadi keliru;
  • Sawan atau pergerakan tak normal;
  • Pernafasan cepat atau menjadi pucat; atau
  • Lesu

Ibubapa pesakit perlulah sentiasa memantau anak-anak yang mengalami HFMD bagi mendapatkan rawatan segera. Sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai tanda-tanda begini, ianya perlu dimasukkan ke hospital.

HFMD 2

Soalan 11: Bolehkah seorang mendapat penyakit HFMD semula?

Ya, boleh kerana penyakit HFMD disebabkan oleh pelbagai virus di dalam kumpulan enterovirus sekiranya jangkitan kedua disebabkan oleh virus yang berbeza.

Soalan 12: Bolehkah seorang perempuan mengandung dijangkiti HFMD dan apakah kesannya?

Ya, risiko jangkitan perempuan mengandung adalah sama seperti orang dewasa yang lain. Sehingga kini, tiada kajian menunjukkan kesan kepada bayi dalam kandungan. Namun, sekiranya ibu mendapat jangkitan HFMD sekitar minggu terakhir mengandung dan kelahiran, terdapat risiko anak yang dilahirkan akan mendapat jangkitan penyakit HFMD.

Soalan 13: Bolehkah Penyakit tangan, kaki dan mulut dielakkan?

Sehingga kini, tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah penyakit HFMD. Oleh itu, orang awam perlu mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

  1. Kerap cuci tangan terutamanya selepas menyentuh pesakit HFMD atau barangan yang digunakan pesakit;
  2. Elakkan sentuhan langsung dengan pesakit;
  3. Elakkan dari berkongsi peralatan makanan dan barangan peribadi dengan pesakit HFMD;
  4. Jangan menyentuh bahagian tubuh seperti mata, hidung dan mulut selepas menyentuh pesakit HFMD; dan
  5. Pastikan kebersihan persekitaran rumah atau tempat kerja dengan mencuci atau menyahkuman permukaan lantai dan tandas.

HFMD (1)

Soalan 14: Bagaimana memastikan keselamatan kanak-kanak lain dari penyakit ini?

Wabak HFMD biasanya berlaku di pusat jagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah.

TANGGUNGJAWAB YANG PERLU DIAMBIL OLEH IBUBAPA

Jika anak anda mempunyai tanda dan gejala penyakit ini, anda boleh memastikan kanak-kanak lain tidak dijangkiti dengan melakukan beberapa langkah mudah seperti berikut:

  1. Meningkatkan kesedaran dan keupayaan mengenalpasti tanda-tanda penyakit HFMD pada kanak-kanak yang kurang sihat seperti tanda lepuh pada tangan, kaki dan mulut;
  2. Memastikan anak berada di rumah dan tidak membawa anak ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan. Maklumkan pusat jagaan, tadika atau sekolah anak-anak anda mengenai penyakitnya;
  3. Mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;
  4. Pastikan peralatan makanan dan barangan peribadi anak anda seperti tuala, sudu, garfu, cawan dan sebagainya sentiasa bersih dan tidak dikongsikan dengan kanak-kanak lain. Pastikan peralatan ini dibawa balik setiap hari untuk dicuci bersih.
  5. Membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin atau sabun dan air bersih;
  6. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuang ke dalam tong sampah yang bertutup.

TANGGUNGJAWAB YANG PERLU DIAMBIL OLEH PENGUSAHA DAN PENJAGA KANAK-KANAK DI TASKA / TADIKA / TABIKA / PRA-SEKOLAH

Bagi menghalang sebaran virus HFMD, langkah-langkah tersebut perlu diambil oleh pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska / tadika / tabika / pra-sekolah;

  1. Sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak dengan membersihkan dan menyahkuman meja, kerusi serta alatan mainan kanak-kanak tersebut. Ia hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari, sebelum dan selepas sesi harian;
  2. Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD. Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya;
  3. Sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain;
  4. Membersihkan dan memastikan kebersihan tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin;
  5. Memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup; dan
  6. Melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

Soalan 15: Apakah disinfeksi terbaik membunuh enterovirus?

EV71 adalah rentan kepada banyak jenis disinfektan. Kaiian menunjukkan cecair yang mengandungi 95% ethanol diperlukan untuk membunuh 99.99% virus EV71.

Bahan pencuci tangan yang mengandungi 75% ethanol, begitu juga cecair pencuci tangan yang mengandungi 0.5% chlorhexidine gluconate in 70% isopropanol TIDAK berkesan membunuh virus EV71

Soalan 16: Bagaimana dan apakah sukatan untuk membasmi/menyahkuman pada alatan yang tercemar dengan virus HFMD.

Pembasmian kuman boleh dilakukan menggunakan larutan campuran pembasmi kuman yang terdapat di pasaran. Berikut anggaran campuran larutan tersebut:

Screen Shot 2018-07-30 at 16.03.41

*Penggunaan bekas yang sama untuk mengukur air dan cecair pembasmi kuman  

Pastikan alatan dan pembersihan dibilas dengan air bersih dan dikeringkan.

Soalan 17: Adakah ibu bapa kanak-kanak yang disahkan HFMD mendapat cuti?

Ibu bapa kanak-kanak yang disahkan HFMD oleh doktor boleh mendapatkan cuti kuarantin iaitu selama 5 hari tetapi cuti ini hanya terguna pakai bagi pekerja sektor kerajaan.

Disediakan oleh:

Sektor Zoonosis, 

Bahagian Kawalan Penyakit, 

Kementerian Kesihatan Malaysia       

29 Julai 2018

Kenyataan Akhbar KPK 8 Ogos 2018 – Penjualan Produk Anti HFMD/Flu Spray Berjenama Thymos

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima aduan mengenai produk Anti HFMD/Flu Spray yang berada di pasaran iaitu produk penyahjangkitan atau pembunuh kuman (disinfectant) yang mendakwa dapat memberi pertahanan sepenuhnya daripada virus Hand Foot and Mouth Disease (HFMD) dan Influenza A.

IMG_2283

Produk ini diperbuat daripada mineral yang diaktifkan (activated minerals) dan syarikat pengeluar telah dengan jelas melabelkan bahawa ianya boleh membunuh dengan serta merta 99.99% virus-virus HFMD dan Influenza A. Produk ini adalah untuk kegunaan luaran dan kaedah penggunaan adalah dengan menyembur produk ini pada baju, permukaan, permainan dan juga topeng (mask).

Buat masa ini, pihak syarikat didapati membuat tuntutan anti HFMD yang tidak berasas kerana tiada bukti yang kukuh menunjukkan tuntutan tersebut adalah berkesan seperti dilabelkan. Namun begitu, memandangkan produk ini tidak digunakan secara langsung pada manusia, maka produk ini bukanlah di bawah kawalan KKM dan tiada keperluan untuk pendaftaran di bawah agensi berkaitan di bawah KKM.

Atas keperluan untuk memastikan masyarakat tidak keliru terutama ketika penularan jangkitan HFMD yang melanda negara, pihak syarikat telah dinasihatkan untuk mengeluarkan tuntutan Anti HFMD/Flu bagi pasaran di Malaysia dan menggantikan dengan tuntutan yang lebih umum serta bersesuaian di label produk bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang awam.

KKM ingin mengingatkan orang awam agar tidak mudah percaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada produk ini. Orang awam disarankan untuk mengamalkan lima (5) perkara utama dalam pencegahan dan kawalan HFMD, iaitu:

  1. Penjagaan kebersihan diri;
  2. Amalan cuci tangan yang betul;
  3. Penjagaan kebersihan persekitaran;
  4. Pemeriksaan/saringan di pintu masuk (gatekeeping screening) taska/tabika/tadika/pra-sekolah; dan
  5. Disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan

 

8 Ogos 2018

Kenyataan Akhbar KPK 14 Ogos 2018 – Isu Penjualan Udang Galah Murah yang Didakwa Memudaratkan Kesihatan

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu yang tular di media sosial dan laporan pihak media massa pada 13 Ogos 2018 berkaitan isu lambakan udang galah murah di Malaysia yang didakwa telah menyebabkan gatal-gatal, badan bengkak, bengkak hidung, mata berair serta cirit-birit dan muntah.

Screen Shot 2018-08-14 at 15.18.08

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus menjalankan pemantauan ke atas makanan di pasaran tempatan dan di semua pintu masuk negara. Sejak 1 Januari 2005, semua konsainan udang (termasuk udang galah) yang diimport perlu disertai dengan Sijil Kesihatan yang memberi jaminan bahawa konsainan udang tersebut adalah bebas daripada bahan terlarang yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa (Competent Authority) negara pengeksport terlibat. Sekiranya Sijil Kesihatan ini tidak disertakan, konsainan udang berkenaan tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

Bagi tujuan pemantauan, pada tahun 2017 sejumlah 183 sampel udang import telah diambil di pintu masuk negara manakala sejumlah 56 sampel udang import telah diambil di pintu masuk negara bagi tempoh Januari sehingga Julai 2018. Kesemuanya telah didapati mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Di dalam isu penjualan udang galah murah ini, KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas produk tersebut di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas perundangan makanan. Di samping itu, KKM juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

                                                                   

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

14 OGOS 2018

Kenyataan Akhbar KPK 16 Ogos 2018 – Isu Penangguhan Pemberian Pek Percuma Ubat-Ubat Baru Yang Berkos Tinggi Kepada Pesakit Melalui Patient Access Scheme (PASc).

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum berkenaan artikel yang dikeluarkan oleh portal berita online Malay Mail dan Free Malaysia Today (FMT) berkenaan penangguhan pemberian pek percuma ubat-ubat baru yang berkos tinggi kepada pesakit melalui Patient Access Scheme (PASc).

Untuk makluman, PASc adalah skim yang ditawarkan oleh syarikat farmaseutikal kepada KKM untuk menambahbaik akses ubat kepada pesakit terutamanya bagi ubatan yang mahal.

Satu garis panduan iaitu Garis Panduan Permohonan Melaksanakan Patient Access Scheme (PASc) di KKM telah disediakan pada 1 Jun 2018, di mana ianya bertujuan untuk menerangkan proses permohonan, penilaian dan kelulusan PASc di fasiliti KKM. Garis panduan ini bertujuan untuk menyeragamkan proses permohonan melaksanakan PASc agar ianya telus dan memastikan kertas cadangan PASc oleh syarikat farmaseutikal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Salah satu skim PASc yang ditawarkan oleh pihak syarikat farmaseutikal melibatkan pemberian pek percuma/bonusing yang mengikat dengan pembelian ubat oleh fasiliti kerajaan. Pemberian pek percuma ini dikhuatiri melanggar etika dan menimbulkan isu integriti memandangkan pemberian pek percuma ini tidak dinyatakan secara terperinci dalam rekod pembelian antara pihak syarikat farmaseutikal dan fasiliti KKM. Perkara ini perlu diteliti bersama dengan pihak berwajib.

Oleh itu, proses permohonan PASc yang melibatkan pek percuma/bonusing ditangguhkan buat sementara waktu sehingga  mendapat ulasan daripada Jabatan Audit Negara. Untuk makluman, perkara ini juga telah dijelaskan kepada pihak-pihak berkepentingan (stakeholders).

KKM ingin menegaskan bahawa skim-skim lain dan sedia ada yang sedang dilaksanakan adalah diteruskan seperti biasa di fasiliti kesihatan kerajaan. Pihak KKM juga tiada halangan bagi sebarang pemberian pek percuma (charity/compassionate use) kepada pesakit dengan syarat-syarat (caveats) yang tidak mengikat pembelian oleh KKM.

KKM sentiasa komited di dalam memastikan pesakit mendapat akses kepada ubat-ubatan dan dijalankan secara telus demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

16 Ogos 2018

 

 


Kenyataan Akhbar KPK 16 Ogos 2018 – Isu Kopi Pracampur Green 35 yang Diminum bersama Peluntur

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merujuk kepada isu yang tular dalam media sosial berhubung kopi pracampur Green 35 yang didakwa anti racun dan boleh mengubati pelbagai penyakit, yang mana ini kononnya dibuktikan melalui demonstrasi dengan mencampurkan bahan peluntur ke dalam kopi pracampur sebelum diminum sebagai bukti keberkesanan produk kopi tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga laporan yang mengatakan individu yang meminum kopi pracampur Green 35  semasa sesi demontrasi sebegini telah mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital selepas beberapa jam meminum kopi berkenaan yang dicampur cecair peluntur.

kopi.jpg

KKM memandang serius isu ini dan melarang pengusaha makanan  dan mana-mana orang lain membuat pemasaran dengan menggunakan bahan yang merbahaya seperti bahan peluntur, racun dan seumpamanya dalam demonstrasi produk makanan. Mereka yang didapati mengiklankan produk makanan bagi tujuan jualan untuk memperdaya pembeli boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17, Akta Makanan 1983.

KKM juga mendapati maklumat pengilang yang dinyatakan pada label produk tersebut adalah palsu di samping tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta menyalahgunakan logo sistem jaminan keselamatan makanan yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983. Tindakan penguatkuasaan sedang diambil ke atas pihak terbabit.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Pengguna dinasihatkan tidak meminum apa-apa bahan yang boleh memudaratkan kesihatan. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

16 OGOS 2018

Kenyataan Akhbar KPK 17 Ogos 2018 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes rabies dalam kalangan manusia yang baru disahkan. Pesakit adalah seorang lelaki, petani berbangsa Iban, berumur 49 tahun yang tinggal di Bahagian Sri Aman, Sarawak.

Beliau pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada Januari 2018 dan tidak mendapatkan rawatan selepas itu. Pada 11 Ogos 2018, pesakit telah mendapatkan rawatan di Hospital Serian kerana mengalami demam dan sesak nafas. Di dalam wad, pesakit menunjukkan tanda-tanda hidrofobia dan lemah badan. Pesakit kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 14 Ogos 2018. Beliau kini dirawat di Wad Penyakit Berjangkit (Infectious Disease Ward) dan dalam keadaan kritikal.

19983438_10154541842811237_7532608910120239056_o

Anjing peliharaan pesakit ini bebas bercampur dengan anjing liar dan telah mati seminggu selepas menggigit beliau. Walau bagaimanapun, tiada pengesahan dapat dibuat bagi punca kematian anjing tersebut.

Anjing ini juga pernah mengigit seorang penduduk dari kampung yang sama dalam bulan Januari 2018. Mangsa gigitan ini telah dikenal pasti dan telah diberikan suntikan vaksin anti-rabies pada 16 Ogos 2018. Beliau dalam keadaan sihat dan akan dipantau oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk tempoh enam (6) bulan.

Dengan pengesahan terbaru ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 30 Jun 2017 sehingga 16 Ogos 2018 adalah 12 kes; di mana 10 kes telah meninggal dunia, satu kes (1) kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi dan satu (1) kes terbaru masih dalam rawatan.

Sehingga 16 Ogos 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 33 buah kawasan di lima (5) Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies; iaitu Serian (21 kawasan), Kuching (6 kawasan), Samarahan (3 kawasan), Sarikei (2 kawasan) dan Sri Aman (1 kawasan).

19554799_10154506171336237_2198791464869426564_n

KKM ingin menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

17 Ogos 2018

Kenyataan Akhbar KPK 18 Ogos 2018 -Situasi Terkini Rabies di Sarawak

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 17 Ogos 2018 yang melaporkan mengenai seorang lelaki berumur 49 tahun dari Sri Aman, Sarawak yang telah disahkan rabies dalam kalangan manusia. Untuk makluman, pesakit tersebut telah meninggal dunia pada 18 Ogos 2018 jam 3:57 pagi di Hospital Umum Sarawak (HUS). Punca kematiannya adalah Encephalitis Rabies. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.

Kematian baru kes rabies ini menjadikan jumlah kematian sebanyak 11 dari 12 kes yang telah disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak; semenjak ia diisytiharkan wabak pada 30 Jun 2017; dengan kadar kematian 91.7 peratus.

Sementara itu, terdapat seorang lagi pesakit disyaki rabies yang telah dimasukkan ke wad HUS pada 16 Ogos 2018. Pesakit merupakan seorang lelaki berumur 44 tahun dari Jalan Matang, Kuching, Sarawak. Berdasarkan maklumat yang diterima, beliau tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain, Namun pernah memukul seekor anjing liar yang telah menggigit isterinya pada 13 Januari 2018. Ketika itu, pesakit mempunyai luka terbuka di tangan kanan beliau. Dilaporkan bahawa anjing tersebut kemudiannya telah mati.

Pesakit tidak mendapatkan sebarang rawatan walaupun telah membawa isteri beliau ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi. Lelaki tersebut mula mengalami sakit di tangan kanannya pada awal Ogos 2018 dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos 2018. Keadaannya bertambah teruk sejak 11 Ogos 2018 dan mengalami gejala kebas dan lemah tangan kanan, tidak boleh bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia. Beliau telah dibawa ke Unit Kecemasan HUS untuk mendapatkan rawatan pada 16 Ogos 2018. Ujian ke atas sampel klinikal dijalankan untuk mengesahkan punca dan penyakit yang dihidapi. Untuk makluman, buat masa ini isteri kepada pesakit berada dalam keadaan sihat.

19554799_10154506171336237_2198791464869426564_n

Orang awam diingatkan agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada jangkitan rabies.

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit anjing atau haiwan yang agresif;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bergaul dengan haiwan liar;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif, dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

KKM akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain dalam memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan dengan berkesan. Orang awam diingatkan untuk sentiasa mematuhi nasihat yang diberikan oleh KKM dan lain-lain agensi Kerajaan demi memastikan jangkitan rabies dapat dikekang sepenuhnya.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

18 Ogos 2018

Kenyataan Akhbar KPK 21 Ogos 2018 – Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi semasa kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD). Pada 18 Ogos 2018, sebanyak 380 kes penyakit HFMD dilaporkan di seluruh negara. Jumlah ini kurang sebanyak 81 kes (17.5%) berbanding dengan hari yang sama pada minggu sebelumnya (pada 11 Ogos 2018), iaitu 461 kes.

Jumlah kes mingguan untuk tempoh 12 Ogos hingga 18 Ogos 2018 juga menunjukkan penurunan sebanyak 1,304 kes (25.4%) berbanding dengan minggu sebelumnya (5 Ogos hingga 11 Ogos 2018); iaitu sebanyak 3,826 kes berbanding 5,130 kes. Kesemua negeri menunjukkan pengurangan kes kecuali Perak, meningkat sebanyak 92 kes (28.0%).

Kumulatif kes HFMD dari 1 Januari 2018 sehingga 18 Ogos 2018 adalah 53,156 kes. Tiada kes kematian HFMD yang baru dilaporkan. Kematian disebabkan HFMD dan jangkitan EV71 kekal dua (2) kes, iaitu masing-masing satu (1) di Sarawak dan satu (1) di Pulau Pinang.HFMD (1)

Ibu bapa dijangkakan akan membawa anak-anak bercuti sempena cuti sekolah dan cuti Hari Raya Aidil Adha. Justeru itu, ibu bapa diminta untuk memastikan kebersihan diri dan ahli keluarga khususnya anak-anak kecil sentiasa terjaga. Elakkan dari ke tempat-tempat awam yang sesak kecuali perlu. Sekiranya mempunyai gejala HFMD, elakkan keluar rumah atau bergaul dengan orang yang sihat.

KKM juga ingin memberi saranan kepada pengusaha-pengusaha indoor playground supaya memberi penekanan kepada empat (4) perkara utama, iaitu:

  1. Menyediakan hand sanitiser di pintu masuk indoor playground dan memastikan kanak-kanak menggunakannya sebelum masuk dan apabila keluar dari taman permainan ini;
  2. Membuat saringan gejala HFMD di pintu masuk indoor playground dan membenarkan kanak-kanak yang sihat sahaja masuk;
  3. Memastikan kebersihan indoor playground sentiasa dijaga; dan
  4. Menjalankan nyah kuman (disinfection) peralatan mainan setiap hari.

Kawasan permainan (indoor playground) yang tidak bersih boleh menjadi punca penularan penyakit berjangkit termasuk HFMD. Semoga dengan langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh semua pihak akan dapat membendung penularan jangkitan HFMD.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

21 Ogos 2018

 

hfmdd

Kenyataan Akhbar KPK 21 Ogos 2018 – Isu Penarikan Semula Susu Rumusan Bayi Jenama Dumex Mamil Gold-Step 1 (850g) dari Pasaran Singapura

$
0
0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik susu rumusan bayi jenama Dumex Mamil Gold-Step 1 buatan Malaysia dari pasaran Singapura di laman sesawang Agri-Food & Veterinary Authority (AVA) bertarikh 20 Ogos 2018. Laporan tersebut menyatakan pihak Agri-Food & Veterinary Authority (AVA) telah mengarahkan produk susu rumusan bayi jenama Dumex Mamil Gold-Step 1  ditarik balik dari pasaran di Singapura kerana dikesan tercemar dengan bakteria Cronobacter sakazakii. Produk susu rumusan bayi yang terlibat mempunyai berat bersih 850g setiap tin, nombor batch 09117R1 dan tarikh luput pada 11 September 2019.

WhatsApp Image 2018-08-21 at 10.44.14 AM

Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran yang boleh hidup dalam keadaan kering seperti susu formula bayi. Jangkitan Cronobacter jarang berlaku, namun bakteria ini boleh membawa maut kepada bayi baru lahir kerana ia menyebabkan meningitis atau sepsis. Simptom yang ditunjukkan oleh bayi seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan.

Hasil siasatan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati produk susu rumusan bayi jenama Dumex Mamil Gold-Step 1 hanya untuk pasaran eksport ke Singapura dan tidak dijual di pasaran tempatan.

WhatsApp Image 2018-08-21 at 6.48.19 PM

KKM ingin juga menegaskan bahawa sebarang susu rumusan bayi untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 389, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983. Hasil pemantauan KKM dari tahun 2015 sehingga kini, sejumlah 129 sampel telah diambil dan didapati tiada bakteria Cronobacter sakazakii dikesan dalam produk susu rumusan bayi. KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas produk susu rumusan bayi di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Di bawah subseksyen 13(1), Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

21 Ogos 2018

 

Viewing all 1621 articles
Browse latest View live